Wednesday 25 August 2010

KELUARGA BIMBANG NYAWA DUA TEBUSAN



Oleh: MUTALIB M.D

KELUARGA mangsa culik di Terumbu Karang Sebangkat, Semporna bimbang dengan perkembangan terbaru di Filipina setelah berakhirnya drama pembebasan pelancong Hong Kong yang menyebabkan lapan pelancong Hong Kong terbunuh.

Jurucakap mereka yang menamakan dirinya sebagai Chung MS, bimbang dengan tindakan tentera Filipina yang akan menyerang para penculik yang kini terkepung di sebuah pulau kerana bimbang tragedi komando polis Filipina menyerang balas bagi membebaskan tebusan dalam bas pelancong berkenaan berulang ke atas keluarga mereka.

“Kami harap agar pihak berkuasa Filipina tidak melakukan serangan yang boleh membahayakan nyawa dua keluarga kami yang diculik dan berada dalam tawanan mereka sementara menyelesaikan masalah wang tebusan,” ujar Chung yang kesal kerana penafian Pesuruhjaya Polis Sabah bahawa para penculik tidak meminta wang tebusan adalah seperti meletakkan pisau ke leher Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau.

Kata Chung, tidak ada penculik yang melakukan penculikan sebagai suka-suka atau hobi di masa lapang melainkan meminta wang tebusan, sama ada berupa ‘Food & Lodging’ atau wang pampasan di atas khidmat mereka memastikan mangsa terus bernyawa.

Chung berharap agar Pesuruhjaya Polis Sabah tidak membuat kenyataan liar kerana keluarga mereka telah menyediakan wang tebusan yang diminta (enggan menyatakan jumlah) namun ada sedikit masalah teknikal kerana dikepung oleh Tentera Filipina dan beberapa syarat belum dipatuhi oleh pihak berkuasa Filipina.

Sebelum ini, enam warga Taiwan yang diculik selama satu tahun dibebaskan setelah wang tebusan sejumlah 20 juta USD dijelaskan sebelum mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina untuk pembebasan rasmi (tanpa menyebut pembayaran wang tebusan).

Terdahulu, Komander Polis Manila, Leocadio Santiago, berkata anggota komando polis melakukan keputusan yang tepat apabila memecah tingkap dan mengepung bas yang ditawan selama lebih 10 jam.

“Polis bersetuju untuk terus berunding kerana kami percaya perampas masih bersikap rasional ketika itu," katanya kepada siaran televisyen, GMA 7. Namun selepas pemandu bas berkenaan berjaya keluar, ketika itulah tebusan mula dibunuh. Serentak itu, komander di lapangan membuat keputusan untuk menyerang balas ke dalam bas itu demi melindungi nyawa tebusan," katanya.

Ditanya sama ada polis mematuhi proseder yang ditetapkan, beliau berkata: "Ya".

Namun, katanya polis mengambil kira beberapa faktor setempat sebelum melakukan serangan balas itu.

“Kami mendapati beberapa taktik yang digunakan serta hasil tindakan kami itu untuk disiasat semula," katanya.

Drama tebusan membabitkan sebuah bas pelancong berakhir selepas polis menembak mati seorang bekas anggotanya selepas menahan 15 pelawat asing dari Hong Kong di tengah kota Manila.

Penyerang yang dikenali sebagai bekas Kapten Rolando Mendoza, 55, menggunakan senjata M-16, menahan bas itu yang awalnya membawa 25 orang di jalan raya tidak jauh dari taman terbesar Manila.

Dia menuntut diterima semula sebagai anggota polis selepas dipecat kerana terbabit dalam peras ugut. Pemecatan itu menyebabkan Mendoza tidak layak mendapat faedah persaraan.

No comments:

Post a Comment