Saturday, 28 August 2010

KAUM PENDATANG SEMAKIN DOMINAN?




SONGSANG….Kerakyatan Fatmah bolehlah disifatkan sebagai Ayam jantan bernikah dengan seekor gajah yang kemudiannya menelur dan menetaskan Fatmah. Silap mata abad ke 21!


Oleh: MUTALIB M.D

KEPRIHATINAN Kerajaan Barisan Nasional Sabah (USNO, Berjaya dan UMNO) menawarkan kerakyatan melalui jalan songsang kepada pendatang asing tanpa izin daripada Filipina, Indonesia, Pakistan, India, China dan sebagainya telah memberi peluang kepada golongan ini untuk mencipta kejayaan sebagaimana kehebatan Zionis di bumi Palestin.

Kejayaan Salman Majid memperolehi semula kerakyatan yang telah dirampas oleh kerajaan Malaysia, terutama dengan sokongan moral Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh; mungkin menjadi ‘mercu kejayaan’ PATI yang memperolehi kerakyatan seperti Salman mendabik dada bahawa mereka rakyat Malaysia secara ‘Mutlak’ dan tidak dapat dicabar di Mahkamah Undang-Undang.

Pendedahan Mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar MP Ebrahim bahawa isteri Mantan Speaker DUN Sabah, Tan Sri Hassan Alban Sandukong iaitu Datin Nurifrideri Bederi adalah Datin Pendatang Haram agak mengejutkan, namun tidak mendatangkan banyak masalah kerana Hassan sudah pencen ketika pendedahan dibuat.

Kemudian pendedahan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan bahawa Mantan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (kini Pencetak Kerajaan), Haji Salsidu Ibrahim juga adalah PATI yang memperolehi dokumen pengenalan diri Malaysia sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan menjadi Pegawai Daerah juga membuatkan mata saya terbeliak. Selain Salsidu, Jeffrey juga mendakwa bahawa Penyuki Matta (Pegawai Belia) dan Haji Sulaiman Abdullah (Mantan Pegawai Pertanian Lahad Datu) adalah PATI yang memperoleh kerakyatan secara tidak sah.

Diikuti dengan pendedahan saya bahawa Mantan Tuan Yang Terutama, Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai adalah PATI yang telah memalsukan keterangan diri untuk mendapat kerakyatan Malaysia dengan mengakui sebagai anak kandung Dandai, sedangkan Sakaran @ Hashim adalah anak Tidung daripada Bolongan, Indonesia.

Pendedahan ini juga amat mengejutkan semua pihak sehingga beberapa laporan polis dibuat terhadap saya dan polis telah menyalahguna kuasa menyiasat saya sedangkan Sakaran sepatutnya memfailkan kes berkenaan di mahkamah, jika merasakan dakwaan saya palsu; apatah lagi dengan wujudnya Akta DNA, boleh menentu sahkan sama ada Sakaran saudara kandung dengan anak Dandai yang masih hidup, termasuk ibu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Kemudian Hassnar muncul lagi dengan dakwaannya seorang peguam, Jahara @ Susanti Patimbangi adalah PATI yang memalsukan keterangan diri untuk mendapat pendidikan tinggi dan diterima menjadi Peguam dan menjadi peniaga yang memiliki City Bus, berdasarkan rekod daripada Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan Jahara tidak mempunyai ibu bapa, namun mendapat kad pengenalan Malaysia.

Rentetan daripada pendedahan demi pendedahan ini, seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara mempersoalkan tindakan saya membongkar Skandal Kerakyatan Songsang secara tidak adil kerana tidak memasukkan Adun Sebatik, Muis Picho sebagai salah seorang ‘target’ untuk disiasat.

Menurut Pegawai JPN (namanya terpaksa dirahsiakan), Muis adalah Warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap Malaysia sebelum menyerahkan taraf penduduk tetapnya untuk mengeluarka semua caruman di dalam Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan datang kembali menggunakan pasport Indonesia; menjadi PATI seketika sebelum mendapat kad pengenalan biru yang ditaja oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Pegawai tersebut telah memaklumkan kepada Cawangan Khas PDRM, namun Muis terlepas tapisan dan berjaya menjadi ADUN Sebatik, menggantikan ADUN yang dilahirkan pada 30 Februari!




SUKAR.... Betapa sukarnya Salleh mengheret ayam ini, begitu jugalah sukarnya beliau menyembunyikan identiti isterinya yang diketahui ramai sebagai PATI yang mendapat kad pengenalan projek.

Terbaru, seorang pembaca daripada Semporna, Mohammad JHM, telah menulis surat kepada Sabahkini.net dan mendakwa bahawa isteri Ahli Parlimen Silam, Fatmah Abd Aziz merupakan PATI yang mendapat kad pengenalan setelah memalsukan dokumen pengenalan diri seperti Surat Sumpah, kerana beliau dilahirkan di Filipina dan datang ke Sabah bersama keluarga ketika berusia 10 tahun; seangkatan dengan Sulaiman Abdullah (Pegawai Pertanian).

Pendedahan terbaru ini menyebabkan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi memecat Ketua Pegawai Perhubungannya, Chong Su Vun melalui helah VK Lingam, memberi surat cuti selama dua tahun bagi membolehkan beliau melantik birasnya, Haji Mohammad Haji Bin Imam Basirun sebagai Ketua Pegawai Perhubungan yang baru dengan alasan ‘budak tadika’ iaitu Chong telah membocorkan rahsia kepada Citra yang telah menulis surat kepada Perdana Menteri Malaysia.

Pemecatan Chong dilakukan tanpa sebarang surat tunjuk, sedangkan menurut peraturan perkhidmatan Chong boleh ditamatkan dengan memberikan sebulan notis setelah memberikan surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak harus dipecat atau ‘dipercutikan’ mengikut tafsiran Salleh.

Hajjah Fatmah yang sebelum ini terlalu ego dengan memandu kenderaan mewah ke SK Pekan 1, Lahad Datu yang mempunyai pelekat Ahli Parlimen, kini mula gelisah dengan sindiran tajam guru-guru yang pernah dinistanya sebelum ini.

Warga jati Lahad Datu tidak mempersoalkan jodoh Ahli Parlimen mereka dengan PATI seperti Fatmah, namun mereka kesal kerana kesombongan Fatmah yang lupa daratan dan asal usul; apatah lagi setelah berjaya lahir dua kali iaitu di Filipina dan Semporna.

Fatmah dengan sifat ‘Queen Control’ telah bertindak sebagai Ahli Parlimen sebenar dan membaham semua peruntukan Ahli Parlimen terutama peruntukan khas yang disalur terus ke akaun Ahli Parlimen sehingga program sebenar tidak dapat dilaksanakan, terutama pembayaran gaji kakitangan dan sewa pejabat.

Sifat ‘Tangkai Jering’ Fatmah menyebabkan Ketua Pegawai Perhubungan terpaksa mencari sumber kewangan sendiri melalui projek kecil untuk membayar gaji kaki tangan dan segala urusan pentadbiran yang sepatutnya dibayar dengan peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri.



RAMAI.... Walaupun hanya 212 sahaja yang mahu didaftarkan sijil lahir daftar lewat, namun lebih 7,000 orang hadir untuk mendaftar kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Mujur Pegawai Pendaftaran yang bertugas menolak permintaan untuk mendaftarkan warga asing dan hanya menumpukan kepada gerakerja mengesan mereka yang telah mendaftar sebelum ini.

Sebagai PATI yang mempunyai keluarga yang ramai dan mempunyai masalah dokumen, Fatmah cuba mengambil kesempatan untuk mendaftar keluarganya yang masih PATI di beberapa program pendaftaran bergerak JPN sehingga menyebabkan rakyat tempatan memandang jengkel sikapnya, sehinggalah pendedahan dibuat oleh Mohammad JHM yang juga jirannya sewaktu kecil.

Rekodnya di JPN juga tidak mempunyai nama ibu atau bapa kerana nama sebenar bapanya ialah Mohd Anjotal dan ibunya Hajjah Pating, namun di dalam kad pengenalannya mencatatkan nama Abd Aziz sebagai bapanya.

‘Bapanya’ (Mohd Anjotal) juga agak bertuah kerana sekalipun berasal daripada PATI, namun dilantik sebagai Ketua Kampung di Kampung Air Look, Semporna.

Menurut Mohammad JHM, dua orang adik perempuan Fatmah bernikah dengan AJK UMNO Semporna, Imbran Lambai dan pegawai Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) Haji Hamad Purang.

Pendedahan ini sebenarnya bukanlah satu masalah besar kepada Fatmah kerana beliau telah diterima sebagai Guru di SK Pekan 1 dan bakal Datin PATI jika Salleh Kalbi mendapat gelaran Datuk (kelaziman di Silam kerana setiap Ahli Parlimen akan mendapat gelaran datuk).

Namun dari segi moralnya, sebagai seorang Ahli Parlimen, Salleh tidak boleh memperjuangkan dasar kerajaan untuk menghapuskan PATI disebabkan saudara dan suku sakat isterinya masih berstatus pendatang tanpa izin yang mendapat suaka politik di rumahnya.

Dengan kedudukan Salleh sebagai Ahli Parlimen yang kononnya rapat dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, Salleh bukan sahaja telah menyokong permohonan seorang PATI, Nasri Subairah mendapatkan kad pengenalan (nombor mykad yang digunakan Nasri tidak sah); malah boleh membantu saudara mara isterinya mendapatkan kad pengenalan melalui kaedah Daftar Lewat kelahiran dan Daftar Lewat Kad Pengenalan melalui operasi bergerak JPN, yang sering disalahgunakan untuk merekrut PATI atas tajaan parti politik seperti UMNO.



SIBUK.... Fatmah juga sibuk membantu keluarganya (terlindung) untuk mendaftar, namun ditolak pegawai JNP yang terlibat.


Seperti kes Salman yang lahir di Pakistan dan mengaku lahir sekali lagi di Ranau pada 1962 dengan memalsukan Sijil Akuan, Fatmah, seperti juga PATI yang lain seperti Sharif Saidi Sharif Alawi atau Abidin Jabang; boleh menggunakan kes Salman sebagai ‘Precedence’ jika tertangkap atau didakwa.

Agak mengejutkan apabila Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd Salleh yang didakwa terlibat sebagai penaja IC Projek dan membantu Salman Majid, menggesa kerajaan pusat mengambil tindakan tegas dengan membatalkan kad pengenalan yang dikeluarkan menerusi ‘Projek IC’ serta menahan dan mendakwa mereka yang didapati memiliki dokumen berkenaan.

Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata kerajaan perlu bertegas terhadap isu itu memandangkan dua pelakunya yang sudah mengaku dan mengesahkan wujudnya penipuan tersebut.

Pada 1997, polis menahan 52 penduduk Sabah termasuk Hassnar Ebrahim dan Jabar Khan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana terlibat dalam Projek IC itu.



SKANDAL.... Harris menafikan kerajaan menaja IC Projek dan mendakwa dilakukan individu seperti Hassnar Ebrahim sehingga mereka yang tidak layak mendapat kad pengenalan seperti Penyuki (kiri) Datin Nurifideri dan Salsidu menjadi warganegara Malaysia secara songsang.


"Mereka dilaporkan menjual kad pengenalan dan pasport palsu. Berdasarkan pengakuan mereka, ramai, termasuk warganegara asing, membayar untuk mendapatkan kad pengenalan menerusi Projek IC menggunakan dokumen sokongan palsu. Oleh itu, menerusi modus operandi inilah kad-kad pengenalan palsu dikeluarkan untuk manfaat kewangan," katanya dalam satu kenyataan empat muka surat baru-baru ini.

Menurut Harris yang juga bekas presiden Parti Berjaya yang memerintah Sabah antara 1976 dan 1985, kerajaan tidak terlibat dalam Projek IC itu, sebaliknya dilakukan oleh sekumpulan individu.

"Mereka turut mengaku dokumen palsu seperti kad pengenalan, pasport dan Surat Anak Negeri dijual pada harga daripada RM1,000 hingga RM30,000. Pemalsuan dokumen-dokumen kerajaan semakin menguntungkan dan berlaku di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali.

"Malah di Amerika Syarikat yang mempunyai sumber tenaga manusia dan sistem yang canggih, turut menghadapi masalah yang sama. Kad pengenalan Malaysia yang dihasilkan menggunakan komputer, mudah diklon atau dipalsukan, sama seperti kad kredit," katanya.

Harris berkata kerajaan persekutuan mula mengeluarkan kad pengenalan pada 1970 dan pada masa yang sama perakuan berkanun diperakui sebagai bukti dokumen dan bukannya sijil kelahiran.

"Sepanjang tempoh pendaftaran lewat dijalankan sejak 10 tahun lepas hingga sekarang, perakuan berkanun dan bukan sijil kelahiran, masih diterima.

"Selama ini di Sabah, Ketua Kampung boleh menandatangani perakuan berkanun menyatakan seseorang itu dilahirkan di Sabah. Pada 1970an dan awal 1980an, ketua-ketua kampung ini dilantik oleh kerajaan yang dipimpin oleh Usno dan Berjaya.

"Apabila Parti Bersatu Sabah (PBs) berkuasa pada pertengahan 1980, 1990 peratus daripada mereka digantikan oleh penyokong PBS. Ketua-ketua kampung yang dilantik oleh PBS ini terikat dengan arahan untuk menjayakan agensi terbuka dan tersembunyi parti.

"Perakuan yang dibuat semasa pemerintahan kerajaan pimpinan Usno dan Berjaya merupakan dokumen yang sah dan kekal begitu kecuali dibuktikan di mahkamah sebagai palsu ada undang-undang yang mengawal perakuan berkanun," katanya.

Harris berkata berdasarkan bancian penduduk, jumlah penduduk di Sabah lebih tinggi berikutan pembukaan hampir 1.6 juta hektar ladang kelapa sawit, yang menggaji ribuan pekerja.

Beliau juga menggesa kerajaan pusat mengambil tindakan ke atas mereka yang membuat dakwaan bahawa kerajaan terlibat dalam Projek IC.

"Dakwaan palsu ini juga dimuatkan dalam beberapa buku, mendakwa pendatang asing tanpa izin diberikan kad pengenalan.

"Ia dakyah semata-mata dan boleh menjejaskan keharmonian kaum. Dalam satu buku, penulis mendakwa 600,000 kad pengenalan dikeluarkan. Ini tidak benar kerana jumlahnya yang sukar dipercayai, namun sangat provokasi yang bertujuan membangkitkan sentimen perkauman," katanya.

Oleh itu, Harris berkata sudah sampai masanya kerajaan persekutuan memulakan siasatan dan mendakwa mereka yang membuat dakwaan palsu itu.

"Sudah ada bahan bukti bertulis yang mencukupi, akhbar dan buku untuk dijadikan bukti. Jika tidak, penduduk Sabah akan terus menganggap dakwaan terhadap kerajaan persekutuan itu benar.

"Kerajaan persekutuan itu perlu mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati terlibat, tanpa mengira status dan kedudukan mereka. Dalam urusan kritikal ini, perbuatan salah laku perlu ditangani," katanya.

Sehubungan itu, Kaum Pendatang atau PATI yang telah ditulenkan akan menjadi semakin dominan jika Kerajaan tidak membatalkan kerakyatan mereka dan menyebabkan semua pihak mempolitikkan isu PATI untuk survival politik mereka.

Dapatkah Fatmah mempertahankan kad pengenalannya jika semakan yang dibuat mendapati beliau mendapat kerakyatan secara tidak sah, sebagaimana saranan Harris Salleh?

Jika Menteri Dalam Negeri sedar wujudnya 1.6 juta PATI yang mendapat dokumen kerakyatan Malaysia secara tidak sah, sudah pasti beliau tidak akan mencabar Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing mengemukakan bukti di Parlimen!

No comments:

Post a Comment