TUTUP…. Hotel Sri Jaya (X) yang telah ditutup beberapa bulan lalu kerana kemerosotan penginap. Manakala bertanda (/) Hotel Sri Perdana yang berada di tengah-tengah pekan masih bertahan walaupun dikatakan ‘hidup segan mati tak mahu’. Gambar sisipan, Siriman (kiri) dan Ng.
Oleh: MAIL MATHEW
KELEMBAPAN ekonomi Tenom, terutamanya sektor pelancongan seperti yang didakwa para peniaga hanya bersifat sementara dan akan pulih dalam sedikit masa lagi; sebagaimana jaminan yang diberikan Jawatankuasa Pelancongan Daerah (JPD).
Menurut Pengerusi JPD, Siriman M.F Basir, pihaknya kini dalam kerangka perancangan melaksanakan beberapa aktiviti menarik yang menjadi daya tarikan pelancong, termasuk mempelawa mereka (pelancong) supaya bermalam di sini.
“Kita sudah sedar masalah itu selama ini dan itu sebab kita mula bergerak sekarang menerusi gotong-royong membersihkan kawasan pekan dan perumahan termasuk mengecat semua bangunan,” tegas Siriman yang juga Pegawai Daerah Tenom ketika memberitahu Sabahkini.net.
Tegasnya, beliau turut menyarankan para peniaga dan penghuni taman-taman perumahan supaya turut bersama menyumbangkan tenaga dan fikiran ke arah mencapai objektif JPD yang antara lain, mensyaratkan agar keindahan dan kebersihan perlu mencapai ke tahap maksima.
“Jangan terlalu bergantung kepada kerajaan untuk mencapai sesuatu yang dihajatkan tetapi para peniaga juga harus memainkan peranan supaya ia terlaksana dengan mudah dan cepat,” tegas Siriman.
Berhubung pelan perancangan untuk mencergaskan ekonomi di sini, kata Siriman, pihaknya sudah menyiapkan segala-galanya, namun keberhasilannya banyak bergantung kepada kerjasama yang tulen di antara kedua belah pihak, iaitu kerajaan dan peniaga.
Kenyataan Siriman itu tercetus ekoran terdapat gesaan daripada para peniaga dan pemimpin masyarakat Cina di sini yang bimbang kelembapan ekonomi sejak kebelakangan ini terus menular kerana sebuah hotel telah ditutup dan sebuah lagi sedang dalam proses penjualan disebabkan kemerosotan penginap.
Dalam pada itu, difahamkan setakat ini sebanyak empat buah hotel, dua daripadanya bertaraf tiga bintang masih mampu bertahan, walaupun dikatakan perniagaannya ibarat ‘hidup segan, mati tidak mahu’; apatah lagi kedatangan pelancong yang menginap menurun sehingga ke paras 20 hingga ke 30 peratus.
Sementara itu, Ketua Liberal Demokratik Parti (LDP) Tenom, Kapitan Ng Tet Hau yang juga seorang pengusaha hotel turut menegaskan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah diminta memainkan peranan dalam penyediaan kalendar pelancong yang melawat ke destinasi riadah pedalaman wajib menginap semalam dua di sini.
“Jika tidak, semua pelancong yang melawat di sini semua membuat pakej pergi dan balik dalam sehari dan tidak menginap di hotel-hotel di Tenom seperti yang pernah berlaku di masa lalu. (Jadi)…kami tidak dapat manfaat daripada trip mereka (pelancong) kerana mereka begitu selesa dengan keadaan jalanraya sekarang yang boleh lakukan dalam sekali laluan sahaja,” tegas Kapitan Ng.
No comments:
Post a Comment