Wednesday, 25 August 2010

RM100 JUTA LESAP KERANA ‘PROJEK TOP-UP’?




Saudara Pengarang,

PENDEDAHAN demi pendedahan dalam kerajaan UMNO-BN kini berlaku khususnya di Pedalaman-Tenom berhubung peruntukan pembangunan yang bukan sedikit nilainya, malah mencecah ratusan juta ringgit yang membuatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Panglima Seri Musa Haji Aman dikatakan melenting dan hairan ke mana perginya wang peruntukkan dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sejumlah RM100 juta untuk projek pembangunan di Pedalaman Sabah.

Baru-baru ini, satu isu turut menggemparkan apabila beberapa pemimpin UMNO Tenom didakwa terlibat dengan perebutan projek pembangunan jutaan ringgit nilainya. Bukan sahaja itu malahan pemimpin-pemimpin terbabit mengengkari prosedur yang dicadangkan oleh Pegawai Penjawat Awam yang meminta cabutan itu dijalankan secara berkomputer supaya ia lebih telus dan tidak timbul keraguan jika dibandingkan cara manual yang digunakan sebelum ini.

Seperkara lagi, kegiatan pemimpin terbabit yang berjaya melonjakkan kos projek sehingga mencecah berjuta-juta iaitu berlipat lipat ganda nilainya daripada kos sebenar, yang boleh menyebabkan berlaku ketirisan kepada ekonomi Negara kerana petualang itu langsung tidak bertimbang rasa terhadap pengurusan wang rakyat selaku pembayar cukai.

Dalam soal ini, kita yakin dan percaya, pihak berwajib khususnya SPRM sudah termaklum perkara ini tetapi amat menghairankan kenapa sehingga ke hari ini SPRM belum bangkit lagi dari lamunan untuk turun padang menyiasat dakwaan tersebut? Apakah SPRM tidak berminat menyiasat dakwaan itu atau SPRM membiarkan sahaja kegiatan ini berterusan sehingga kerajaan menjadi bankrap?

Ibarat pepatah Melayu yang ada mengatakan, ‘Sudah terang lagi bersuluh’, kerana Ketua Menteri Sendiri sudah mendedahkan peruntukkan RM100 juta menghilang entah ke mana dan fakta ini cukup memberi petunjuk kepada SPRM bahawa dakwaan penyelewengan dan korupsi pemimpin-pemimpin UMNO-BN di Pedalaman termasuk Tenom, ada petanda telah berlaku dan seharusnya SPRM ‘membuka fail’ bagi memulakan penyiasatan.

Rakyat perlu membuka mata seluas-luasnya dan memasang telinga sedekat-dekatnya untuk menilai ‘Ketelusan dan Kewibawaan’ mereka sebagai pemimpin yang boleh diharapkan mentadbir negara jika dibanding dengan bentuk penyelewengan dan korupsi yang sangat bermaharajalela di kalangan pemimpin UMNO-BN di Pedalaman terutamanya di Tenom.

Tidak menghairankan jika peruntukkan RM100 juta boleh hilang bila-bila masa dalam sekelip mata jika projek bernilai ratusan ribu sengaja dilonjakkan kepada puluhan juta?. Kenapa tidak cepat habis RM100 juta kalau begitu cara mereka mengurus wang rankyat?

Misalnya, projek mengaspal semula jalanraya ke Hotel Perkasa Tenom sejauh 900m yang nilai sebenar kos projek sekitar RM1 juta tetapi mengapa projek itu kosnya melonjak sehingga lebih RM3 juta?. Begitu juga dengan Road by Pass Binaie ke Pekan sejauh 1.8km kosnya melonjak sehingga RM6 juta? Sedangkan mengikut anggaran sebenar hanya sekadar RM2.8 juta? Selebihnya RM3.2 juta untuk siapa?

Sekian, Salam Buat SPRM,

RAKYAT PEMBAYAR CUKAI DI SABAH

No comments:

Post a Comment