Thursday, 19 August 2010

TANGGUHKAN MESYUARAT AGUNG PKR



Oleh : KREW SABAHKINI.NET

MASALAH melanda sebilangan ahli PKR yang mendapati nama-nama mereka telah dipindah ke cabang lain dari senarai ahli di cabang asal pilihan mereka, menganggap ianya angkara khianat kumpulan tertentu yang merancang memusnahkan PKR dari dalam.

Krew sabahkini.net yang membuat liputan dan cuba mendapat komen daripada ahli-ahli PKR di seluruh negeri Sabah mengenai kejadian nama ahli PKR dipindah dari satu cabang ke cabang lain, mendapati ramai ahli terkejut dengan apa yang terjadi kerana selama ini mereka tidak pernah mengubah keahlian mereka.

Respon kepada soalan krew Sabahkini.net, rata-rata memberi pendapat bahawa dalang di sebalik memindah nama mereka ini wajib dipecat dari parti.

Sebahagian menggesa Majlis Tertinggi Parti agar Mesyuarat Pemilihan PKR yang telah dijadual diadakan pada 19 September 2010 dan 25 September 2010 ditangguhkan ke satu tarikh lebih sesuai bagi membolehkan senarai nama ahli dikemaskini.

OKK Hassnar Hj. Ebrahim yang namanya disebut akan turut bertanding jawatan Ketua Cabang Batu Sapi pula berpendapat, jika tidak ada alternatif, penangguhan adalah jalan terbaik demi menjaga imej parti .

Sementara itu, terdapat pula sebilangan ahli berpendapat oleh kerana bahang pemilihan sudah dirasai dengan calon-calon berpotensi mengorak langkah menyusun strategi bagi menghadapi pemilihan, mahu supaya urusan pemilihan diteruskan dengan hanya memindahkan balik ke cabang asal nama mereka yang telah dipindah.

Pemilihan Ketua Cabang PKR Tahun 2010 ini dijangka akan merubah seluruh struktur kepimpinan PKR Negeri Sabah.

Ramai ahli setia kepada perjuangan PKR yang ditemuduga mahu melihat perubahan drastik berlaku dalam barisan kepimpinan PKR Peringkat Negeri Sabah. Menurut mereka kejayaan PKR menawan lima buah negeri di Semenanjung Malaysia adalah berkat kerjasama antara pemimpin di sana yang tidak terdapat di kalangan barisan kepimpinan di Negeri Sabah sekarang.

Pergeseran berterusan sejak tahun 2004 menampakkan ada adegan tangan-tangan ghaib mengadu domba barisan kepimpinan PKR Negeri Sabah supaya terus bercakaran sesama sendiri.

Jonathan Yasin, mantan Ketua Cabang Kundasang dijangka tidak akan menghadapi halangan luar biasa untuk mengekalkan kedudukannya sebagai ketua cabang.

Bagi Cabang PKR Kota Kinabalu, Dr. Chong Eng Leong, seorang veteran dan tidak asing lagi dalam politik Sabah dijangka akan turut bertanding merebut jawatan ketua cabang yang dahulunya disandang Christina Liew.

Sementara itu, krew Sabahkini.net yang membuat liputan di bahagian pendalaman mendapati lain pula kisahnya. Terdapat dakwaan dari kalangan beberapa ahli PKR daripada suku kaum Murut meragui tindakan Datuk Dr. Jefri Kitingan mengambil notis Mesyuarat Agung daripada Pejabat PKR Negeri Sabah yang dialamatkan kepada En. Danny Andipai.

Datuk Dr. Jeffry Kitingan adalah ketua cabang PKR dan ahli berdaftar dicabang Keningau tetapi kini namanya dipindah ke cabang Pensiangan.

Danny Andipai selaku Ketua Cabang Pensiangan bercadang membuat laporan Polis jika terbukti pihak terbabit mengambil Notis mesyuarat Agung yang dialamatkan kepadanya selaku Ketua Cabang Pensiangan itu bertujuan mensabotaj keputusannya bertanding semula dan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang.

Pada tahun 2008, Danny Andipai adalah calon PKR bagi kawasan Pilihanraya Parlimen kawasan Pensiangan. Pemerhati politik di negeri Sabah berpendapat Danny adalah pilihan terbaik menjadi calon PKR untuk menawan semula kawasan Pilihanraya Pensiangan daripada BN yang kini diwakili oleh Tan Sri Joseph Kurup.

Menurut sebilangan pemerhati kemenangan Tan Sri Joseph Kurup bukanlah kerana popularitinya tetapi kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pensiangan adalah diberi oleh kuasa Mahkamah yang fungsinya terletak dibawah kawalan BN.

Pada tahun 2008 kertas pencalonan Danny Andipai telah ditolak oleh Pegawai Pilihanraya kawasan Pensiangan. Apabila dibawa ke mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mendapati ada unsur salahguna kuasa dan penipuan dilakukan. Bagaimanapun keputusan Hakim Mahkamah Tinggi itu kemudian telah dibatal oleh Mahkamah Rayuan.

No comments:

Post a Comment