Friday 20 August 2010

ISU PTI BUKAN MASALAH UPKO SAHAJA



SUMBANGAN …Lajim ketika menyampaikan sumbangan untuk Masjid kampung Takuli pada majlis tersebut.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

ANGGOTA Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lajim Haji Ukin berkata UMNO sentiasa terbuka dalam menerima sebarang teguran, pandangan dan juga kritikan yang dilontarkan oleh rakan-rakan dari komponen Barisan Nasional, terutamanya berhubung isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, sebagai parti peneraju kerajaan BN dan dianggap sebagai parti yang terbesar dalam gabungan itu, UMNO sememangnya bersedia menerima apa juga kirtikan dan pandangan yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin kompnen BN untuk diambil perhatian serta tindakan sewajarnya.

“Bagaimanapun apa juga isu dan kritikan yang diutarakan perlu mempunyai asas yang kukuh untuk dibincangkan dan diambil tindakan dalam konsep lekeluargaan BN tanpa menjejaskan hubungan serta semangat setiakawan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat Islam di Masjid Kampung Rancangan Klias, Beaufort.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian sebagai mengulas kritikan dari pemimpin-pemimpin BN di negeri ini, khususnya teguran yang dibuat oleh UPKO mengenai isu pendatang tanpa Izin di Sabah.

Katanya isu PTI bukan sahaja masalah UPKO namun ia adalah masalah bersama termasuk UMNO dan kerajaan.

“Kita perlu menangani masalah ini bersama, kerana kita bimbing jika ianya tidak ditangani ia boleh menghakis hak-hak rakyat di negeri ini serta menutup peluang pekerjaan rakyat tempatan malah tidak mustahil satu ketika nanti PTI pula akan menjadi wakil rakyat,” katanya.

Anggota Parlimen Beaufort itu menambah, bukan sahaja isu ini perlu dibangkitkan malah isu perkongsian kuasa juga boleh dibangkitkan oleh parti-parti kompenan BN, malah menurut beliau UMNO juga akan mengemukakan isu tersebut sekiranya sesuatu kawasan itu diwakili oleh wakil rakyat dari parti kompenan BN yang lain,

“Saya memberi contoh dalam soal lantikan jawatan politik dan soal agihan projek pembangunan. Sekiranya kawasan tersebut diwakili oleh parti Kompenan BN yang lain dan dalam masa yang sama ada ahli-ahli UMNO di kawasan tersebut, mereka juga perlu diberikan peluang dan ruang yang sama,” tambah Lajim

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Beaufort ini juga mengulas isu pembinaan masjid di kampung tersebut yang telahpun diluluskan peruntukan sejumlah RM750 ribu untuk membina masjid baru namun ketiadaan tapak telah membantutkan perlaksanaan projek tersebut.

“Kita kena cari jalan, khususnya jawatankuasa masjid di kampung ini bagi mencari tapak yang sesuai dan ini perlu dilakukan segara bagi membolehkan masjid baru di kampung ini boleh dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Pada majlis tersebut, selain berbuka puasa, sembahyang berjemaah maghrib bersama masyarakat Islam setempat, Lajim juga turut menyampaikan sumbangan peribadi untuk masjid berupa naskah-naskah Al-Quran dan kewangan untuk tabung masjid juga sumbangan zakat untuk golongan kurang upaya, ibu tunggal dan anak-anak yatim di kampung tersebut,

No comments:

Post a Comment