Thursday, 19 August 2010

“TANGKAP DULU PATI, BARU CARI SAYA!”



DUTA.... Apakah Salleh layak digelar sebagai 'Duta Keamanan' atau Duta PATI?

Oleh: ALIMAN KASSIM

ANGKATAN Muda Parti Keadilan Rakyat mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menaiktaraf ‘Standard Operation Prosedure’ (SOP) yang diamalkan polis di Sabah ketika menjalankan siasatan kerana terlalu mundur dan menyusahkan pelanggan.

“Saya membuat laporan polis di Balai Polis Kunak pada 22 Februari 2010 tetapi kes ini dirujuk ke balai polis Lahad Datu dan diberi nombor LD/RPT/1079/2010 berhubung tindakan Ahli Parlimen Silam menggaji seorang PATI bernama Nasri Subairah, namun sehingga kelmarin, hampir enam bulan berlalu tidak sebarang tindakan diambil,” ujar Ketua Angkatan Muda PKR Kunak, Citra Masadi.

Setelah isu ini tersebar dengan meluas di Sabahkini.net, kata Citra, barulah seorang pegawai polis, Inspektor Sharul Zaman menghubung beliau melalui telefon bimbit 0168228*** yang meminta beliau datang ke balai polis Lahad Datu untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya.

“Tangkap dulu PATI itu, baru saya akan datang memberi keterangan. Kenapa Inspektor itu tidak berani tangkap Nasri yang berada di pejabat Ahli Parlimen Silam setelah JPN mengesahkan kad pengenalan yang digunakan Nasri adalah palsu; sebaliknya sanggup menghubungi saya yang berada di Kunak. Inikah SOP untuk menyiasat kes jenayah?,” tanya Citra yang menolak untuk memberi keterangan selagi PATI yang dilapor tidak ditahan untuk siasatan polis.

Kata Citra, Ketua Polis Negara wajar memberi garis panduan agar semua laporan polis berhubung kes jenayah termasuk PATI disiasat dalam masa satu minggu daripada tarikh mereka menerima laporan dan bukannya enam bulan kemudian.

“Bagaimana pembayar cukai dan warganegara mahu membantu kerajaan menangani masalah pendatang asing tanpa izin jika polis enggan menjalankan siasatan dan lebih gemar menangkap penduduk kampung yang bercucuk tanam di tanah adat yang telah dikeluarkan geran atas nama taukeh Cina yang kaya?,” soal Citra yang jengkel dengan sikap polis Sabah yang sering mencampuri urusan tanah bergeran atau tanah adat yang di luar bidang kuasa mereka.

Sikap sebegini kata Citra, menyebabkan rakyat benci kepada polis sehingga wawasan kerajaan untuk membasmi pati tidak akan tercapai dan mereka semakin bebas bermaharaja lela di negara ini kerana polis turut bersubahat melindungi mereka.

Sehubungan itu kata Citra, polis wajib membuka kertas siasatan terhadap laporan yang dibuatnya terhadap Nasri dan juga Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Haji Kalbi di bawah undang-undang jenayah.

“Saya tidak akan berganjak dengan keputusan saya untuk tidak memberi sebarang keterangan kerana polis cuai menjalankan tugas dan memandang remeh laporan polis yang saya buat. Saya harap Ketua Polis Negara mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai polis yang gagal menjalankan siasatan sehingga PATI yang dilaporkan, semakin besar kepala,” kata Citra yang kesal dengan sikap tidak professional polis Lahad Datu.

Dalam pada itu, dalam laporan polis yang dibuat pada 22 Februari 2010, Citra mendakwa bahawa;

“Pada jam lebih kurang 10 pagi tadi, saya mendapat maklumat bahawa Ahli Parlimen Silam, YB Haji Salleh Haji Kalbi masih menggunakan khidmat seorang pendatang asing tanpa izin, Nasri Subairah yang menggunakan MyKad bernombor 810925-12-5209. Kenyataan saya bertajuk 'Betulkan Umno Sebelum Guna MyID' disiarkan di laman web www.sabahkini.net pada 24 januari 2010. Saya datang ke balai membuat laporan, agar polis menyiasat dan menangkap Nasri di bawah undang-undang jenayah. Laporan ini juga dibuat terhadap Haji Salleh Haji Kalbi sebagai salah seorang penggubal undang-undang kerana menggaji pendatang tanpa izin dan menulis surat sokongan kepada Menteri Dalam Negeri menyokong agar diluluskan mykad yang digunakan Nasri yang dikenalpasti sebagai tiada dalam rekod JPN.”

Dalam pada itu, Citra turut mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi bagaimana PATI seperti Nasri berjaya mendapat lebih enam projek kecil bernilai antara RM30,000 hingga RM50,000 daripada peruntukan Ahli Parlimen melalui modus operandi meminjam lesen ‘Kelas F’ milik beberapa Ketua Cawangan.

“Betapa hebatnya PATI ini dan betapa hinanya Ahli Parlimen Silam yang sanggup memberikan peruntukan pembangunan kepada PATI sedangkan penduduk tempatan terus terpinggir tanpa sebarang bantuan,” ujar Citra yang memaklumkan banyak projek yang dilaksanakan tidak siap atau gagal mencapai piawaian yang ditetapkan, namun bayaran sepenuh telah dibuat.

Polis dan SPRM juga kata Citra, harus menyiasat penyamaran yang dilakukan Salleh untuk mendapatkan layanan iringan kereta peronda polis (rider) bagi beberapa acara yang tidak penting, sedangkan beliau bukanlah VVIP yang layak mendapat kemudahan berkenaan; sebaliknya menggunakan status 'Duta Keamanan PBB' sebagai 'Lesen' untuk mendapat kemudahan tersebut; sedangkan Salleh hanya 'Duta Keamanan UPF' yang tidak layak mendapat sebarang layanan istimewa.

No comments:

Post a Comment