AJAIB.... 'Now You See, Now You Dont' seperti iklan Choc Fudge
Oleh: IBRAHIM TABIR
"WALAUPUN kain pemidang (banner) itu milik PAS, namun kami sebagai rakan Pakatan Rakyat di Kunak, PKR juga turut kesal dengan kehilangan banner tersebut pada Khamis lalu. Insiden ini saya simpulkan sebagai suatu cabaran buat parti pakatan yang tumbuh di Kunak,” kata Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Citra Masadi.
Citra yang juga Exco Angkatan Muda Pusat berkata kehilangan banner ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menentang BN yang mula bermain kotor dan berpendapat ada hubung kait dengan anti Pakatan Rakyat.
Dua kain pemidang ucapan Ramadan yang dipasang oleh jawatankuasa PAS penaja cawangan Kunak didapati 'hilang' pada Khamis lepas di dua lokasi berasingan masing-masing banner yang diletak berhampiran Masjid pekan dan satu lagi di kawasan berdekatan bulatan jalan Simpang Empat, di sini.
Citra berkata, beliau masih menunggu rakan pakatan dari penaja PAS Kunak untuk bertemu dengannya bagi membincangkan beberapa perkara, terutama strategi menumpaskan UMNO pada pilihanraya umum akan datang.
Pemasangan kain pemidang ucapan Selamat Berpuasa Ramadan oleh jawatankuasa PAS Kunak dipercayai telah diturunkan ataupun dicuri oleh pihak tertentu yang mungkin merasakan kehadiran rakan pakatan itu di Kunak telah menambahkan lagi sokongan masyarakat khususnya majoriti pengundi melayu di kawasan tersebut.
"Perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat bersama rakan pakatan apabila mereka (PAS) bersedia bersemuka dan mengadakan perbincangan dengan kami (PKR Kunak) di sini," kata Citra sambil menambah, rakan penaja PAS itu boleh menghubungi beliau di talian 019-5822714 atau 016-8048914 pada bila-bila masa.
Kata Citra, PAS harus bergerak bersama PKR bagi memperutuh dan menambah baik segala kelemahan dan kesulitan yang dialami sebelum ini, terutama dalam matlamat perjuangan parti yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran, dugaan sama ada ketika pilihanraya lalu, masa sekarang dan akan datang.
Citra menarik perhatian, beliau mengetahui kehilangan kain pemidang milik PAS itu selepas membaca satu artikel di blog Dewan Pemuda PAS Tawau yang boleh dilayari di pemuda-tawau.blogspot.com.
Menurut Citra, dalam portal blog tersebut menyatakan kekesalan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Tawau, Darmansah Lamasa berhubung kehilangan kain pemidang ucapan Ramadan yang mereka pasang di dua lokasi tumpuan umum di Kunak baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Citra meminta kerjasama PAS Tawau atau pihak penaja PAS Kunak supaya melihat insiden seperti itu (kehilangan banner) adalah perkara biasa dalam arena politik.
Kejadian seumpama itu, kata Citra juga pernah dihadapi oleh Parti Keadilan di Kunak beberapa tahun lepas apabila bendera parti pernah dicabut dan dirosakkan semasa PKR membuat majlis sambutan perasmian pejabat parti oleh Presiden PKR pada Julai tahun 2007 di sini, tiga tahun lalu.
Kejadian itu pernah dilaporkan kepada pihak Polis.
"Bagaimanapun, insiden terbaru ini yang melibatkan kehilangan banner milik PAS, kami tidak dapat pastikan lagi perbuatan siapa tetapi ia akan diperhalusi menerusi perbincangan bersama rakan pakatan kelak", ujarnya.
No comments:
Post a Comment