Wednesday 25 August 2010

RUMAH DO BERHANTU ATAU HANTU JADI DO?



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

KEADAAN rumah kediaman yang disediakan oleh kerajaan untuk Pegawai Daerah di Kuala Penyu yang terbiar dan ditumbuhi lalang dan semak samun bukan sahaja memberi imej buruk kepada daerah berkenaan, malah ia menimbulkan seribu persoalan kenapa keadaan itu boleh berlaku.

Rumah kediaman Pegawai Daerah itu terletak di kawasan pekan dan keadaannya ketika ini seolah-olah seperti ‘Rumah Hantu’ membangkitkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat, khususnya warga pekan tersebut.

“Apakah rumah DO yang berhantu atau hantu yang menjadi DO?” sindir seorang penduduk, Charles, yang sering melalui kawasan berkenaan setiap hari.

Keadaan rumah kediaman itu dengan sendirinya memberi jawapan bahawa Pegawai Daerah, Edmund Teo mungkin tidak pernah tinggal di pekan tersebut selain menguatkan lagi dakwaan warga di sini bahawa, beliau sebenarnya tinggal di luar daerah Kuala Penyu, lebih-lebih lagi beliau mempunyai rumah di Kota Kinabalu.

Banyak aduan diterima menyatakan, Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah termasuk Penolong Pegawai Daerah di daerah kecil Menumbok tidak menetap di Kuala Penyu dan Menumbok, sebaliknya mereka saban hari bergegas dari jauh untuk datang ke pejabat.

Jika inilah keadaan yang berlaku, maka pihak kerajaan terutama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman perlu memandang serius perkara ini dan jika perlu mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang bermasalah.

Sebaiknya Ketua Pentabir Daerah seperti Pegawai Daerah dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain harus tinggal menetapkan di kawasan mereka bertugas, bagi membolehkan kelancaran dan ketelusan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Sebab itu, pihak kerajaan menyediakan kemudahan perumahan kepada penjawat awam di setiap daerah, tetapi sekiranya ia tidak dimanfaatkan, ini memberi gambaran ada sesuatu tidak kena dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Akhirnya yang rugi adalah rakyat yang sentiasa mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada pegawai dan kakitangan kerajaan.

Keadaan rumah pegawai daerah di Kuala Penyu ini hanya merupakan sebahagian kecil daripada ‘kepincangan’ yang dapat dilihat daripada sikap yang kurang prihatin dan bertangungjawab terhadap kemudahan kerajaan, selain ia tidak mencerminkan kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

Yang menghairankan juga wakil rakyat Kuala Penyu, John Teo Mau Sing tidak pernah membuat teguran terhadap situasi kediaman DO tersebut walaupun beliau setiap hari melalui kawasan tersebut, malah jaraknya hanya beberapa kilometer sahaja dari rumah beliau.

Jika alasan yang diberikan terlepas pandang, ia sudah tentu tidak dapat diterima akal. Justeru, YB berkenaan seharusnya bersikap lebih pro-aktif melihat keadaan di sekelilingnya serta berani membuat teguran jika mendapati ada sesuatu yang janggal di kawasannya. Ini perlu dilakukan demi kepentingan rakyat yang diwakilinya dan bukannya sekadar menghitung hari menanti ketibaan hujung bulan untuk mendapatkan elaun sebagai Adun.

No comments:

Post a Comment