Sunday 22 August 2010

SALLEH SOKONG RAIS DALAM ISU EKUITI



TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak berkata soal ekuiti Bumiputera tidak harus dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Sambil menyokong kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam bahawa perkara itu tidak wajar dibangkitkan, Salleh berkata soal berkenaan sudahpun termaktub dalam Perlembagaan.

"Mungkin beliau (Dr Chua) membuat kenyataan itu untuk tujuan political mileage, tetapi ia tidak sepatutnya berlaku. Kita kesal kerana beliau tergamak membawakan isu sedemikian tanpa memikirkan implikasinya," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut merujuk Perkara 153, Perlembagaan negara yang memberi hak yang terasas kepada orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak serta pihak-pihak yang dilindungi oleh semua peruntukan undang-undang.

Pada Jumaat, Rais berkata kenyataan Dr Chua berhubung pengurangan ekuiti Bumiputera adalah nyata menentang Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

"Mungkin beliau tidak sedar perkara ini tetapi saya ingin mengingatkan iaitu Perkara 153 bukan merupakan satu peruntukan yang mudah, malah ia tidak boleh dipinda oleh mana-mana pihak kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan juga sesuai dengan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud berharap mana-mana pemimpin politik perlu berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan dengan mengambil kira sensitiviti semua kaum.

"Dalam BN, kita ada ruang dan wadah memberikan pandangan atau cadangan, maka MCA perlu menggunakan wadah itu," kata beliau (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment