Monday, 30 August 2010

WARGA INDON TIDAK SETUJU DEMONSTRASI


BERKUMPUL…. Salah satu lokasi rakyat Indon berkumpul ketika hari kelepasan am untuk merisik dan berbincang tentang untung nasib mereka di perantauan. Gambar sisipan Mohammad Hatta (kiri), Amir Rahim dan Pin Pagama.

Oleh: MAIL MATHEW

KETEGANGAN yang meletus di kalangan segelintir golongan berhaluan kiri rakyat Indonesia yang berlaku sejak kebelakangan ini dan semakin hangat mengadakan beberapa demostrasi di beberapa tempat di bandaraya utama di negara itu, bagi membantah ketegasan negara ini yang menguatkuasakan undang-undang maritime, bagaimana pun tidak mendapat sokongan warganegara itu yang bekerja di pedalaman Sabah.

Demonstrasi yang didalangi ‘Benteng Demokrasi Rakyat’ (BENDERA) mendakwa bahawa tindakan Negara ini yang menahan tiga nelayan negara itu yang menceroboh perairan negara kononnya keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.

Bagaimanapun, tinjauan secara rambang Sabahkini.net pada Isnin di beberapa lokasi di Tenom, yang menjadi medan warga Indonesia berkumpul ketika waktu kelepasan umum, memberikan reaksi yang berbeza berbanding warga mereka di tanah air sendiri.

Seorang pekerja ladang di Kg Pamalan, Mohd Hatta, 39, menyifatkan tindakan rakyat negara mereka yang membakar bendera adalah melampaui batasan undang-undang, malah ia jelas suatu penghinaan kepada sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia.

Hatta yang telah nenetap di Sabah sejak lebih 20 tahun lalu mengakui bahawa beliau merasa selesa dengan corak penghidupan di Sabah terutama bagi seseorang yang mematuhi peraturan dan undang-undang negara ini.

Ditanya apakah beliau pernah dianiaya oleh pihak berkuasa kerana statusnya seorang warga asing bekerja di sini, Hatta berkata, “Itu tidak pernah. Tetapi jikalau kita salah dari sisi undang-undang Negara, sudah tentu kita diserkap pihak berkuasa. Itu kok, undang-undang namanya,” jelas Hatta yang berasal daripada Jawa Tengah, Jakarta.

Seorang lagi Amir Rahim, 39, yang bekerja di sebuah kilang papan syarikat pembalakan, Sawalong, di jalan Nabawan turut tidak bersetuju dengan tindakan puak BENDERA kerana beliau percaya tidak mendapat sokongan keseluruhan rakyat negara itu yang dianggapnya sebagai puak ekstremist.

“Saya percaya pemerintah Indonesia tidak sebulu dengan apa yang dicetuskan oleh BENDERA. Saya sokong pemerintah negara Indonesia agar ambil tindakan tegas membendung usaha BENDERA itu dari terus menular dan jangan menjadi kacau,” tegasnya.

Manakala Pin Pagama, 42, seorang pekerja projek lebuhraya stesen Marak Parak Ranau turut menyatakan penentangan beliau kepada kegiatan demonstrasi itu sehingga terjadi insiden membakar bendera dan melempar najis ke pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta.

“Kita harus menghormati undang-undang sesebuah negara terbabit dan sebaliknya mereka harus memberikan ruang untuk pemerintah di kedua-dua negara berjiran menyelesaikan masalah itu secara aman damai. Kenapa mesti kelam kabut,” tegasnya.

Ketika ditanya dari mana beliau mendapat informasi berhubung insiden itu, Pin berkata, bahawa setiap malam beliau mengikuti siaran berita wilayah dan dunia untuk mengikuti perkembangan tersebut.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan puak BENDERA yang seolah-olah mencontengkan arang ke muka setiap rakyat Indon yang tidak sebulu dengan mereka (kok) kita di sini hormati undang-undang Malaysia dengan lebih bagus,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment