Wednesday, 25 August 2010

BN BINA SEMAKIN BANYAK ‘PROJEK CEK TENDANG’?



TERBENGKALAI...inilah bangunan Pusat Internet Desa di Kg Pulong yang terbangkalai ditinggalkan kontraktor sejak 2008

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

SIASATAN segera perlu dijalankan ke atas pembinaan Pusat Internet Desa di Kg Pulong, kira-kira 15 kilometer pekan Tenom kerana projek yang sepatutnya dapat meningkatkan taraf celik komputer penduduk itu terbengkalai pembinaannya sejak 2008 yang disifatkan sebagai ‘Projek Cek Tendang’.

Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah memberitahu pihaknya difahamkan bahawa kontraktor yang sepatutnya menyiapkan projek berkenaan telah meninggalkan kerja-kerja pembinaan di separuh jalan dan tidak pernah muncul lagi.

“Sepatutnya pemantauan dibuat ke atas pembinaan Pusat Internet Desa itu agar dapat disiapkan. Kini projek berkenaan ditinggalkan terbiar dan menimbulkan tanda tanya bagaimana projek yang penting dan sudah mendapat peruntukan itu ditinggalkan terbiar, bagaikan cek tendang yang tidak dapat ditunaikan,” kata Jimmy.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Melalap, tidak menolak kemungkinan bahawa projek itu telah melalui proses pelaksanaan yang tidak cekap sehingga menimbulkan masalah kepada sub-kontraktor pelaksana.

Menurut Jimmy, sekiranya benar projek berkenaan telah beralih tangan dari sebuaah syarikat kontraktor kepada kontraktor lain, bagaimana sub-kontraktor terakhir dapat menyiapkan pembinaan apabila jumlah peruntukan tidak lagi dapat menampung kos sebenar pembinaan.

Jimmy seterusnya meminta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) yang bertanggungjawab melantik kontraktor tersebut agar mencari jalan penyelesaian untuk menyiapkan pembinaan kemudahan internet desa itu.

Pusat Internet Desa amat diperlukan di kampung-kampung untuk dimanfaatkan oleh penduduk dan golongan belia agar tidak ketinggalan menggunakan media siber untuk memperolehi pelbagai maklumat yang berguna untuk kehidupan masa kini.

No comments:

Post a Comment