Tuesday, 24 August 2010

SELESAI SEGERA ISU KEBOCORAN PAIP NAJIS?




Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEBOCORAN beberapa batang paip saluran najis dan paip air yang berlaku di pasar besar Sandakan di bahagian jualan pakaian telah menimbulkan kemarahan di kalangan peniaga di situ.

Air yang menitik daripada batang paip tersebut telah membasahi sebahagian barangan jualan mereka seperti baju dan kasut yang diletakkan di gerai mereka.

Wartawan Sabahkini.net yang dimaklumkan oleh orang ramai mengenai insiden itu bergegas pergi ke pasar tersebut untuk merakamkan gambar dan mendapati keadaan masih tidak berubah.

Dalam pada itu, salah seorang peniaga yang menjadi mangsa keadaan itu yang dikenali sebagai Madam Koh Hui Toi yang menjual pelbagai jenis kasut, sempat ditemu bual.

Antara lain, beliau mendakwa bahawa kerja-kerja pengubahsuaian pasar besar itu baru saja siap sepenuhnya dalam masa tiga minggu yang lalu.

Katanya lagi, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Ir James Wong bersama-sama Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap ADUN Tanjung Papat, Datuk Raymond Tan Shu Kiah baru saja mengadakan lawatan untuk memeriksa kerja-kerja projek pengubahsuaian tersebut oleh salah sebuah kontraktor.

Belumpun sampai seminggu, jelas Madam Koh, terdapat beberapa batang paip untuk saluran najis dan paip air didapati bocor semula dan ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada beberapa orang peniaga terbabit.

Sementara seorang lagi peniaga, Rosmah Basri yang gerainya bersebelahan dengan Madam Koh turut menjadi mangsa kecuaian MPS.

“Saya minta agar MPS dapat membaiki segera kerosakan kedua-dua batang paip tersebut demi keselesaan para peniaga di sini,” ujar Rosmah yang menyifatkan kecuaian kontraktor dan ketidak prihatinan MPS menyebabkan mereka teraniaya.

No comments:

Post a Comment