Friday, 27 August 2010

BENARKAH LDP AKAN JADI PEMBANGKANG DI SABAH?




Oleh: HAJI GHULABDIN ENJIH

PERGESERAN antara Timbalan Presiden Parti Liberal Demokeratik (LDP) Sabah, Datuk Chin Su Phin dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman tidak boleh disembunyikan lagi apabila kedua-dua pemimpin itu telah menyatakan perasaan tidak senang dan tidak sebulu di antara mereka.

Apakah LDP menerusi Timbalannya Chin Su Phin berani mencadangkan agar LDP menjadi pembangkang di Sabah dan menyokong BN di peringkat Pusat?

Layanan hambar Musa selaku Pengerusi BN Sabah kepada wakil LDP semasa mesyuarat BN negeri baru-baru ini, yang didakwa oleh Chin Su Phin memperlekehkan perjuangan mereka mengenai isu penting Patung MAZU di Kudat, atas alasan Musa ianya bukan keutamaan untuk dibincangkan.

Sebaliknya, menurut pemimpin nombor 2 LDP itu menggambarkan sikap ‘tidak peduli’ Musa terhadap sebarang isu rakan gabungannya semasa mempengerusikan mesyuarat BN. Jesteru itu ia hanya mahukan pandangannya semata-mata mesti didengar, tetapi Musa tidak mahu mendengar apa yang pemimpin LDP hendak katakan.

Sementara itu, Musa mempertahankan dirinya dan berpandangan tindakan pemimpin LDP yang tidak rasional dengan membangkitkan isu yang dianggapnya telah diselesaikan menerusi Mahkamah tidak perlu lagi ditimbulkan dalam mesyuarat BN.

Apa yang patut diketengahkan dalam mesyuarat penting yang jarang diadakan itu ialah soal politik yang mencakupi persiapan BN dalam memperkukuhkan parti masing-masing termasuklah membincangkan isu utama kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan Individu tertentu dalam LDP semata.

Pada 26 Julai lepas, Mahkamah Persukutuan di Puterajaya menolak permohonan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat yang juga bekas presiden LDP, untuk merayu terhadap keputusan kerajaan negeri menarik balik keputusan membenarkan Patung MAZU (Dewi Laut) setinggi 36 meter di Kudat.

Jadi berdasarkan kepada isu yang dianggap selesai itu, LDP wajar mengunakan tempat bermesyuarat bersama komponen BN yang lain untuk menyuarakan pandangan bagaimana menjadikan Negeri Sabah tempat yang lebih selesa untuk rakyat pelbagai kaum.

Jika telah jelas secara terang yang kedua pemimpin ini mempunyai krisis mereka tersendiri, sehingga dengan lantang Chin Su Phin menyatakan dengan tegas untuk tidak menyokong Musa selaku Ketua BN Sabah dan juga Ketua Menteri, sudah pasti situasi tegang pimpinan BN ini akan menyebabkan kekuatan dan keutuhan BN di Negeri Bawah Bayu yang selama ini menjadi kebanggaan pimpinan BN akan mencairkan ‘Fixed-Defosit’ atau simpanan tetap politik BN pusat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 tidak lama lagi.

Meskipun tegas dengan pendirian tidak menyokong Musa, namun LDP, kata Chin Su Phin masih sanggup bekerjasama dengan Umno dan sekali gus menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dalam merealisasikan Visi 1 Malaysia.

Selepas mesyuarat BN Negeri yang dianggap mengecewakan LDP baru-baru ini, Chin Su Phin dikatakan mengambil langkah drastik untuk mengadakan mesyuarat dengan kalangan Ahli-Ahli Majlis tertinggi LDP kecuali Presidennya Datuk V.K. Liew yang pada ketika itu dalam lawatan sambil bekerja ke Luar Negara.

Apakah mesyuarat LDP itu membincangkan keinginan mereka untuk meminta pucuk pimpinan pusat agar mengantikan Musa dengan pemimpin lain yang sebulu dan boleh diterima oleh LDP serta pimpinannya?.

Api marah membakar LDP dalam perjuangannya selama ini bukan semata-mata akibat pergeseran tentang Patung Mazu, malah ia termasuklah pemecatan beberapa orang pemimpin tempatan penyokong LDP di Kudat yang dikatakan dilakukan oleh Pemimpin Umno kawasan itu, Haji Harun Bidin yang juga Ketua Daerah Kudat, dengan LDP beralasan Musa selaku Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor menghalalkan tindakan itu.

Chin Su Phin tidak yakin bahawa tindakan benar-benar diambil oleh pucuk pimpinan BN sabah terhadap Haji Harun meskipun dia didakwa oleh LDP memberi sokongan kepada pembangkang dan menentang BN dalam pilihanraya umum Mac 2008.

Jawapan Hajiji semasa mesyuarat itu menjelaskan yang beliau telah memanggil Haji Harun dan memberi amaran kepadanya supaya tidak merosakkan imej BN. Sebenarnya dalam hemat LDP tindakan yang lebih tegas harus diambil kepada Haji Harun dengan membuat siasatan lebih menyeluruh dan bukan sekadar membuat amaran yang akhirnya mengundang rasa tidak percaya pimpinan LDP terhadap kredibiliti Musa selaku Ketua Pentadbir Negeri.

Apakah isi kandungan memorandum yang akan dikemukakan kepada Pengerusi Barisan Nasional yang juga Perdana Menteri selepas mesyuarat tanpa dihadiri Presiden LDP, V.K Liew?.

Apakah LDP mahu pimpinan pusat BN agar mengambil tindakan untuk mengantikan Musa atas ketegasan mereka tidak boleh berkerjasama dengannya? Tetapi tidakkah LDP sedar bahawa Musa masih mendapat sokongan yang kuat daripada komponen BN yang lain-lain di Sabah seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), UPKO, MCA, MIC dan Gerakan?.

Apapun, penyokong BN mengharapkan pergeseran ini tidak akan berlarutan yang memperlihatkan LDP membawa haluannya sendiri. Penyokong BN nyata sudah cukup teruja dengan tindakan yang diambil oleh rakan komponennya Parti Maju Sabah (SAPP) yang sekarang berlagak sumbang di luar BN, seharusnya dalam mendepani kemelut ini pemimpin BN Sabah sanggup menjadikan kekuatan dan kemantapan BN sebagai agenda yang utama. Janganlah mengambil sikap mempertahankan diri sendiri seperti Pak Kadok, ‘Menang Sorak Kampung Tergadai.’

No comments:

Post a Comment