Saudara Pengarang,
PADA mulanya saya agak gembira kerana Polis Di Semenanjung Malaysia mula bertindak memberkas Along kerana memberi pinjam wang tanpa lesen dan melakukan keganasan ketika memungut hutang disebabkan mangsa tidak mampu membayar kadar bunga yang tinggi.
Namun agak berbeza di Sabah apabila saya lihat Along begitu mesra dengan pegawai kanan polis dan bebas menjalankan kegiatan termasuk mengiklan perniagaan mereka dengan menampal kertas di pondok bas, tiang elektrik, dinding bangunan dan sebagainya.
Adalah mustahil pihak polis yang melakukan rondaan setiap hari tidak nampak iklan yang dipasang Along dan boleh menghubungi mereka agar menanggalkan notis iklan berkenaan atau menasihati agar Along tidak menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Sebaliknya, saya lihat ada seorang Inspektor di Balai Polis Penampang turut menemani Along memungut hutang dalam keadaan memakai uniform polis sehingga membuatkan mangsa terpaksa menjelaskan bunga dan pokok pinjaman yang tinggi kepada Along yang sering datang mengugutnya.
Jika Along berleluasa di Sabah, apalah ertinya kita menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos ini jika kita masih dibelenggu oleh Along yang menggunakan pelbagai cara untuk memaksa mangsa meminjam dan membayar bunga yang tinggi sedangkan institusi kewangan yang ada semakin merosot dan terpaksa bergabung kerana tidak mampu untuk meneruskan perniagaan pinjaman wang secara sah kerana terpaksa bersaing dengan Along yang boleh menawarkan pinjaman segera daripada 2 jam hingga 24 jam!
Salam Hormat dan semoga polis membersihkan kawasan perumahan dan perniagaan daripada gejala Along.
HAMPIR JADI MANGSA ALONG
No comments:
Post a Comment