KEMENTERIAN Dalam Negeri hari ini mengakui 13 Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara sudah melebihi kapasiti yang sepatutnya.
"Ya, ia sudah sesak," kata Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mahmood Adam, pada satu sidang media di sini.
Beliau yang mengulas laporan akhbar Nasional mengenai isu itu, berkata wujud unsur ‘terlepas pandang’ mengenai masalah tersebut sebelum ini berikutan jumlah tahanan yang sentiasa berubah.
"Ada masa jumlahnya kurang," katanya.
Ditanya mengenai faktor kesesakan itu, beliau berkata ianya berkait dengan proses penghantaran balik tahanan yang kadang kala mengambil masa kerana kerajaan perlu berurusan dengan pihak berkuasa negara asing yang berkenaan.
"Menerusi pengalaman saya dalam Imigresen, ianya bergantung kepada dokumentasi. Kalau ada dokumen lengkap kita boleh hantar mereka balik dalam penerbangan keesokannya.
"Ada kala timbul pertikaian. Contohnya sebuah negara kata tahanan berkenaan bukan rakyat mereka, maka jadi isu. Tahanan terbabit akan berada di sini selama bertahun-tahun," katanya.
Mahmood berkata, pihaknya juga sedang merangka satu Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi meningkatkan pengurusan depot dan ianya dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.
"Akan ada satu SOP baru nanti. Sebelum ini ianya adalah kombinasi SOP Jabatan Penjara, Imigresen dan Polis. Kita juga meminta Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) dan Suhakam untuk membantu kita menggubal SOP baru itu," katanya.
Awal bulan ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, dilaporkan berkata depot tahanan Imigresen akan diurus oleh Jabatan Penjara, Imigresen dan Rela bagi memperkemas dan memantapkan pengurusan depot.
Jabatan Penjara ditugas menguruskan bahagian keselamatan dan kepenjaraan, manakala Jabatan Imigresen akan menguruskan bahagian dokumentasi selain kawalan keselamatan luar yang turut dikendali Rela. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment