Sunday 22 August 2010

PEMBATALAN LOJI LESTARI KONSEP 1MALAYSIA



KEPUTUSAN untuk menolak laporan terperinci penilaian kesan alam sekitar (DEIA) berhubung cadangan loji tenaga berasaskan arang batu di Lahad Datu benar-benar menghayati konsep 1Malaysia yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Ketika mengalu-alukan keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), aktivis sosial Sabah Datuk Patrick Sindu berkata kerajaan Sabah melalui JAS, telah bertindak secara profesional.

Katanya kerajaan negeri telah memberikan peluang secukupnya kepada rakyat Sabah terutama badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyuarakan pandangan berhubung loji arang batu yang kontroversi itu.

Beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman kerana memberikan jaminan bahawa kerajaan akan memberi pertimbangan berdasarkan laporan DEIA dan pendapat umum berhubung projek itu.

"Ini yang kami mahukan. Daripada maklum balas, majoriti rakyat termasuk NGO di negeri ini menentang cadangan itu, dan sudah tentu kerajaan negeri Sabah akan memberi perhatian serius mengenainya," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun baru-baru yang mengesahkan keputusan JAS mengenai DEIA berhubung loji tenaga itu.

Masidi juga dipetik sebagai berkata bahawa keputusan Ketua Pengarah itu berdasarkan fakta yang ada yang dikemukakan oleh penyokong projek dan ia mesti dihormati semua pihak.

Pada September tahun lepas, Najib berkata Felda Sahabat di Lahad Datu telah dikenal pasti sebagai tapak cadangan bagi pembinaan projek loji tenaga berasaskan arang batu 300 megawatt.

Pada masa ini, kapasiti bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah adalah 200 megawatt dari loji tenaga berasaskan diesel.

Kumpulan alam sekitar seperti Green Surf telah memprotes berhubung pembinaan loji tenaga itu yang disifatkan sebagai tenaga ‘kotor’ dan meminta kerajaan supaya membatalkan projek itu. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment