Monday 23 August 2010

LORI ANCAM KESELAMATAN PENDUDUK



BERBAHAYA...lori-lori diletakkan di sepanjang bahu jalan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung. Kelihatan bangunan Tadika-Kemas di tepi bahu jalan tersebut.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PARA penduduk Kampung Bandulan berhampiran Taman Indah Permai, Sepanggar di sini meminta pihak berkuasa, terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengambil tindakan terhadap pemilik lori yang meletakkan kenderaan terbabit di bahu jalan kampung tersebut.

Mereka mendakwa tindakan pemandu-pemandu lori yang sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan berat itu di bahu jalan bukan sahaja merbahaya kepada pengguna jalan raya tetapi juga kepada murid-murid Tadika berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan, Ustaz Ramli Ungking, berkata pihaknya berharap penguatkuasa JPJ dan LPKP memantau keadaan tersebut dan mengambil tindakan yang perlu terhadap pemilik lori terbabit.

Katanya, pemandu-pemandu lori terbabit seharusnya mengambil kira keselamatan orang ramai dan tidak meletakkan kenderaan mereka di tempat yang boleh mengundang bahaya.

"Kita mahu sesuatu harus dilakukan oleh pihak berkuasa supaya pemandu-pemandu lori ini tidak bersikap sesuka hati meletakkan lori mereka mengikut kehendak mereka. Kalau tidak silap setiap kenderaan berat seperti lori ini mempunyai tempat khas bagi mereka meletakkan kenderaan dan bukannya ikut sedap hati mereka," katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan lori-lori tersebut bersama dengan beberapa penduduk.

Ketua Kampung berkenaan, Zainah Godsung, berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemilik lori terbabit sebelum sebarang insiden tidak baik berlaku.

Katanya, penduduk kampung begitu bimbang dengan kehadiran lori-lori tersebut dan keadaannya semakin tidak terkawal akhir-akhir ini kerana tiada pemantauan dilakukan mendorong mereka terus tidak kisah untuk meletakkan kenderaan tersebut secara sesuka hati.

No comments:

Post a Comment