Tuesday 10 August 2010

PBS TERAS MEMPERKASA PERJUANGAN BN




MERIAH….Ketibaan Michael di Dewan Masyarakat Sandakan disambut meriah oleh para penyokong setia PBS.


Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEPUTUSAN Parti Bersatu Sabah (PBS) kembali semula ke dalam Barisan Nasional pada lebih tujuh tahun lalu telah memberikan makna yang besar kepada perjuangan ribuan ahli-ahli, khususnya di kawasan Sekong.

Ia bukan saja bagi meneruskan prinsip perjuangan yang menjadi teras utama parti memberikan pembelaan kepada rakyat, tetapi juga dalam konteks memberikan keseimbangan kepimpinan kepada keperluan dan tuntutan politik masyarakat yang berbilang kaum terutama ribuan masyarakat bumiputera Islam yang masih setia dengan PBS,” jelas Ketua Bahagian PBS Kawasan Sekong, Bonney Narceso P Juanico.

Bonney menjelaskan demikian ketika berucap di majlis Mesyuarat Agung Tahunan PBS Kawasan Sekong Kali Ke 25 Tahun 2010 di sini kelmarin.

Katanya kerjasama erat dan jitu antara komponen parti ini terus menjadi kukuh dan mantap kelihatan setiap kali BN menghadapi kempen dua musim pilihanraya umum yang lalu.



SEMANGAT…Kelihatan para penyokong begitu semangat ketika menyanyikan lagu. Gambar sisipan, Bonney.


Memang tidak dapat dinafikan, jelas Bonney, seluruh kepimpinan parti baik dari kalangan Pemuda, Wanita dan seluruh ahlinya di peringkat cawangan sentiasa memberikan sokongan yang padu kepada seluruh jentera BN dan lebih penting lagi telah memberikan sokongan padu kepada sesiapa juga calon yang diletakan BN di kawasan Sekong dan juga kawasan Batu Sapi.

“Kita akan memainkan peranan secara ‘All Out’ untuk kejayaan parti bertanding di kawasan ini dan memberi kemenangan mutlak kepada Ahli Parlimen Batu Sapi yang mewakili PBS Datuk Edmund Chong Ket Wah dan termasuk ADUN Sekong yang mewakili UMNO, Datuk Hj Samsudin Yahya,” ujar Bonney lagi.

Sementara dalam ucapan perasmian Timbalan Presiden PBS Datuk Michael Asang antara lain menyarankan ahli-ahli PBS sama ada di peringkat Bahagian mahupun cawangan haruslah menggembleng tenaga bagi memantapkan perjuangan PBS bukan saja di kawasan Sekong dan Batu Sapi tetapi juga di seluruh pelusuk negeri ini.

“Saya perlukan tekankan di sini, bahawa sebagai rakan dalam komponen BN kita harus mengamalkan konsep kerjasama yang erat dengan mana-mana parti komponen demi mewujudkan perpaduan yang erat supaya BN terus kekal menjadi tampuk pemerintahan negeri Sabah,” tegasnya.

Sebarang bergeseran yang terdapat di dalam parti PBS, kata Michael, harus diketepikan kerana kesan daripada kurangnya kerjasama dan sikap tekan-menekan semasa sendiri ini akan melemahkan perjuangan parti itu sendiri.

Mesyuarat yang diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan telah dihadiri seramai 700 orang ahli PBS yang datangnya dari pelbagai cawangan yang membabitkan 126 perwakilan termasuk pemuda dan wanita daripada 21 cawangan PBS di kawasan Sekong.

Turut hadir juga Timbalan Presiden PBS Pusat, Datu Alimuddin Kaidah dan ahli-ahli komponen BN lainnya.

No comments:

Post a Comment