Monday 16 August 2010

PROJEK 'TOP UP' SEMAKIN BANYAK DI TENOM?


Saudara Pengarang,

APABILA sahaja terbaca di ruangan Rintihan Pembaca Sabahkini.net tentang kemungkinan penyelewengan telah berlaku berhubung dengan projek pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan di daerah ini, saya terpanggil untuk mengajukan pertanyaan sama ada kos pembiayaan projek yang dilaksanakan benar-benar mengikut piawaian kerajaan atau sebaliknya.

Saya selaku pembayar cukai dan penyokong salah sebuah parti dalam komponen Barisan Nasional di sini, amat bersimpati dengan beban yang terpaksa ditanggung kerajaan ekoran kos perbelanjaan yang tidak selari dengan kos sebenar bagi pembinaan jalan ‘By Pass’ dari jambatan Binaie ke pekan Tenom.

Walaupun jalan tersebut hanya sejauh kira-kira 2 kilometer tetapi kos projek dinyatakan sejumlah RM6 juta; sedangkan harga sebenar bagi pembinaan jalanraya baru berturap hanya RM1.5 juta satu kilometer.

Saya mengemukakan pertanyaan ini kerana sangsi dengan kos projek yang seolah- olah sengaja di ‘To Up’ untuk tujuan tertentu kerana gejala ini, jika dibiarkan akan berlaku ketirisan dan pemborosan wang awam.

Mungkin benarlah kata Menteri diJabatan Perdana Menteri, Dato’ Idris Jala bahawa Malaysia akan ‘Bangkrap’ menjelang tahun 2019 jika tabiat pemborosan dan penyelewengan serta rasuah berterusan diamalkan.

Rakyat gembira dan inginkan pembangunan dilaksanakan dengan pesatnya, tetapi dalam masa yang sama rakyat mahu pembangunan itu dilaksanakan mengikut piawaian dan kemampuan kerajaan berdasarkan keutamaan dan bukan dijadikan kesempatan bagi ahli-ahli politik terutamanya UMNO untuk memperkayakan diri mereka dengan cara memanipulasikan ekonomi negara.

Saya juga salah seorang penyokong kuat BN tetapi parti-parti lain dalam komponen BN tidak tergamak melakukan perbuatan seperti itu kecuali UMNO yang bakal mengheret negara berhadapan dengan ‘Jurang Ekonomi Yang Semakin membesar’ ekoran ketirisan tabung akibat pemborosan yang sangat berleluasa ketika ini.

Sesungguhnya, perbuatan seperti itu yang direncanakan oleh beberapa ahli jawatankuasa UMNO di sini yang didorong oleh sifat boros, tamak dan haloba sehingga sanggup memufliskan negara ini tanpa memikirkan risiko keselamatan jutaan rakyat di negara ini termasuk ratusan ribu rakyat di Tenom.

Dengan demikian, saya mohon pihak SPRM agar menjalankan penyiasatan terhadap perbuatan ini dan jika sabit kesalahan, sumbatkan sahaja petualang negara ke penjara kerana penderhakaan mereka kepada rakyat.

Salam Hormat,

PENYOKONG KUAT BN TENOM

No comments:

Post a Comment