Tuesday 17 August 2010

SENSI BORNEO PENJENAYAH ALAM SEKITAR?



BANJIR......Kelihatan kereta milik Haji Laugan yang sebahagian tayarnya ditenggelami air bertakung yang mula berbau busuk.

Oleh : HAJI GHULABDIN ENJIH

SEBUAH keluarga di Kampung Sabandar, Tuaran menjalani kehidupan yang tidak selesa apabila rumah kediaman serta keseluruhan sekitar halaman rumahnya ditakungi air sejak Jun lalu, akibat ketiadaan sistem perparitan; kesan daripada projek penimbusan tanah untuk projek pelancongan oleh Sensi Borneo, tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Daerah Tuaran.

"Penderitaan yang dihadapi oleh keluarga saya telahpun disampaikan kepada Pegawai Daerah Tuaran, Awang Shamsi Haji Jamih agar pemilik Sensi Borneo tidak melakukan penimbusan kawasannya tanpa menyediakan sistem perparitan terlebih dahulu,” kata ketua keluarga terbabit, Haji Laugan Terki Haji Noor sehingga menyebabkan air bertakung di seluruh kawasan rumahnya.

Selain itu, kata Haji Laugan, beliau mendapati pemaju ini telah menyalahgunakan kawasan tanah simpanan perkampungan Sabandar tanpa sebarang kebenaran bagi mendirikan bangunan untuk projek pelancongan berkenaan.

Sehubungan itu, Haji Laugan menyeru agar Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Tuaran mengadakan siasatan segera bagi menghentikan penderitaan yang mereka alami sejak berbulan lalu.

Haji Laugan yang juga bekas Ketua Daerah Tuaran mendesak Jawatankuasa Perlesenan Majlis Daerah Tuaran (MDT) membuat penyiasatan terhadap kedudukan syarikat bukan milik tempatan ini yang dikhuatiri tidak memiliki lesen perniagaan dan kemungkinan telah melanggar syarat serta peraturan perlesenan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Saya dengan ini memberikan notis satu minggu agar perkara ini di atasi segera. Jika keadaan ini berterusan, saya terpaksa mendapatkan perintah mahkamah dan menyaman semua pihak yang terbabit,” ujar Haji Laugan yang memberitahu mengalami kerugian setelah membuat laporan polis pada 28 julai lalu.

Menurut Laporan Polis tersebut, Haji Laugan membuat dakwaan berikut:

“Pada bulan mei 2010, bertempat di kampung Sabandar, Tuaran, Syarikat Sensi Borneo, Kampung Sabandar telah memajukan kawasan tanah simpanan perumahan bumiputera Kampung Sabandar Tuaran dengan mendirikan beberapa buah rumah, menimbus tanah merah dan sebagainya tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada pihak-pihak tertentu.

Hasil daripada ini, kawasan rumah saya telah menjadi banjir dan air bertakung, lebih-lebih lagi musim hujan. Syarikat tersebut juga telah membuat penimbusan tanpa membuat perparitan. Akibat kejadian ini, telah mendatangkan penyakit disebabkan nyamuk mudah membiak. Keselamatan saya serta ahli keluarga juga turut terjejas dan kehidupan kami terganggu. Surat dari Penolong Pemungut Hasil Tanah Tuaran telah disampaikan kepada syarikat berkenaan untuk menghentikan kegiatan tersebut, tetapi tidak diendahkan. Saya buat laporan ini untuk tindakan jabatan berkenaan.”

Tegas Haji Laugan lagi, beliau tidak menolak pembangunan atau menentang sebarang projek pembangunan pelancongan di Kampung Sabandar; sebaliknya bertegas menentang penjenayah alam sekitar yang mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan nasib penduduk kampung yang terpaksa menanggung derita akibat kerakusan mereka.

Dalam pada itu, siasatan Sabahkini.net mendapati pemilik syarikat ini didapati telah mengabaikan serta tidak mengendahkan dua pucuk surat Pejabat Daerah Tuaran bertarikh 29 Jun tahun ini yang ditandatangani oleh Pegawai Daerah Tuaran, Awang Shamsi sendiri dan surat bertarikh 11 Ogos yang ditandatangani oleh Penolong Pemungut Hasil Daerah Tuaran, Clestinus Lawanding.

Isu ini juga telah dimaklumkan kepada Menteri kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sulaman, Datuk Haji Hajiji Haji Noor untuk membatalkan pembangunan tersebut, namun belum mendapat sebarang reaksi positif kerana kerja pembangunan masih diteruskan.

No comments:

Post a Comment