Wednesday 15 February 2012

ORANG ASAL DESAK RODERIC LETAK JAWATAN



MARAH....Para wakil penduduk meluahkan perasaan marah mereka terhadap kenyataan yang dibuat oleh Peguam Besar Negeri.

PENDUDUK Orang Asal di Sabah meluahkan perasaan marah dengan kenyataan kontroversial yang dibuat oleh Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Roderic Fernandez sekaligus bertindak menggesa agar beliau meletak jawatan.

Seramai hampir 30 para wakil penduduk daripada semua daerah termasuk dari pantai timur negeri sebulat suara membuat gesaan tersebut dalam satu perjumpaan di Penampang kelmarin, berikutan kenyataan yang dibuat oleh Peguam Besar Negeri tersebut baru-baru ini yang dipetik sebagai berkata bahwa Tanah Hak Adat Orang Asal atau Native Customary Right (NCR) tidak wujud selepas tahun 1930.

Para wakil penduduk mengatakan bahawa mereka amat kecewa dengan Roderic sambil mendakwa bahawa beliau ternyata kurang faham tentang NCR. Mereka juga menyifatkan kenyataan beliau sebagai tidak menghormati hak asasi Orang Asal dan juga berbahaya.

“Ternyata sekali beliau kurang memahami apa itu NCR. Sebagai Peguam Besar Negeri beliau sepatutnya faham sepenuhnya agar dapat membantu mengatasi pelbagai konflik yang timbul berhubung dengan NCR.

"Kalau beliau kurang kefahaman, siapa lagi yang kami boleh harapkan kerana undang-undang sahaja yang kami dapat berpaut untuk menuntut hak asasi kami. Atas tanggapan yang beliau tidak faham tentang NCR, kami sebulat suara menggesa adalah lebih baik beliau meletak jawatan,” kata salah seorang jurucakap penduduk, Ejim Mankong dari Kg Komborongo, Kudat.

Beliau menambah bahawa komuniti Orang Asal di negeri ini yang telah menduduki tanah mereka dari zaman nenek moyang lagi seharusnya disokong oleh undang-undang untuk mempertahankan hak asasi mereka.

“Tetapi keadaan adalah sebaliknya apabila seorang pegawai kerajaan yang tertinggi yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang membuat kenyataan yang boleh ditafsir sebagai tidak menghormati hak asasi penduduk Orang Asal di negeri ini dan juga berbahaya kerana ia adalah amat sensitif.”

Kenyataan Roderic bukan sahaja telah menimbulkan kemarahan pihak komuniti malah ia juga telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk dari badan-badan bukan kerajaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan para pemimpin politik yang mewakili komuniti Orang Asal.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik yang menguntungkan semua pihak berhubung isu ini sambil mengatakan bahawa kerajaan sentiasa memandang serius isu NCR.

Bagaimanapun, para wakil penduduk menegaskan bahawa isu berhubung dengan hak asasi seseorang tidak boleh dirunding.

“Perundingan sepatutnya tidak wujud dalam hal berhubung dengan hak asasi seseorang,” tegas Hastey Raymond, salah seorang wakil penduduk dari daerah Tongod.

Beliau turut kecewa dengan jaminan yang diberikan oleh Musa sambil mengingatkan bahawa apa pun jalan penyelesaian yang bakal diambil; hak asasi penduduk tidak akan dikompromi demi kepentingan pihak lain.

Hastey menambah bahawa sebagai eksekutif tertinggi kerajaan di negeri ini, penduduk berharap Musa akan mempertahankan hak asasi mereka dengan apa cara pun.

“Kalau bukan dengan Ketua Menteri dan kerajaan, siapa lagi yang boleh kita harapkan?”

NCR diiktiraf oleh undang-undang tanah negeri dan juga instrumen-instrumen antarabangsa seperti Deklarasi Hak Orang Asal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP).

Namun isu ini sering mewujudkan konflik diantara penduduk Orang Asal bukan sahaja di Sabah tetapi di negara ini dengan pelbagai pihak lain khasnya pihak kerajaan dan syarikat. Beberapa kes pernah dibawa ke mahkamah dan keputusan memihak kepada penduduk Orang Asal yang menuntut.

Menurut para wakil penduduk NCR bukan sekadar hal pemilikan tanah yang mereka telah duduki bergenerasi lamanya. Ia adalah cara kehidupan tradisi mereka.

“Tanah adat adalah sinonim dengan identiti dan cara kehidupan kami. Ia adalah hak kami sama seperti orang lain yang mempunyai hak ke atas harta benda mereka apa lagi yang mereka miliki daripada generasi dahulu. Kami minta hak kami dihormati,” kata Hastey.

13 comments:

  1. Roderik tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan tanpa pertimbangan yang sewajarnya. Ini boleh menimbulkan kemarahan rakyat dan menjejaskan imej kerajaan Sabah.

    ReplyDelete
  2. Harap isu Tanah Adat ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin supaya Penduduk NCR boleh mempertahankan tradisi mereka.

    ReplyDelete
  3. The AG should reconsider s well as reinterpret his the Sabah Land Ordinate and rectify the mass discontent over his statement pertaining the native land rights.

    ReplyDelete
  4. As of now, the CM is examining the whole matter with credible people who have an insight over the matter

    ReplyDelete
  5. kenyataan Roderic mengenai NCR sememangnya menaikankan kemarahan dan kebimbangan dikalangan orang asal. Roderic seharusnya memahami apa itu NCR.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Roderic ni sebenarnya sudah berapa lama jadi Peguam Besar Negeri Sabah?

      Delete
    2. Lebih baik dia tidak payah jadi Peguam Besar Negeri Sabah

      Delete
  6. kerajaan Sabah diharap akan beri perhatian akan hal ini dan pastikan hak2 orang asal dilindungi.

    ReplyDelete
  7. kenyataan Roderic telah membangkitkan kemarahan komuniti orang asal. tidak hairanlah jika mereka mendesak Roderik letak jawatan.

    ReplyDelete
  8. Semua menentang kenyataan Roderic. Sama ada beliau bercakap benar atau beliau cuba tegakkan benang yang basah?

    ReplyDelete
  9. Namun tidak perlu risau..Semua yang dikatakan oleh peguam besar itu cuma pendapat peribadi mereka. Maka kita perlulah menunggu keputusan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri kita.

    ReplyDelete
  10. bukan sahaja letak jawatan malah memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Sabah..

    ReplyDelete
  11. Roderic bukan penduduk asal Sabah.. beliau tidak sepatutnya mencampuri hal2 berkaitan dengan hak orang Sabah jika beliau sendiri tidak pasti dengan pandangan beliau..

    ReplyDelete