Thursday 2 February 2012

SABAH BAYAR BALIK 100 PERATUS AIM

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima rekod 100 peratus bayaran balik daripada peminjam di Sabah pada setiap tahun sejak Skim Pembiayaan Ikhtiar di negeri itu bermula pada 1997.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata prestasi bayaran balik itu merupakan hasil usaha keras kakitangan AIM di Sabah selain sistem dan komitmen kepimpinan anggota Sahabat AIM.

"Apa yang membanggakan (di Sabah) dengan begitu banyak peminjam membuat bayaran balik sehingga 99.5 peratus berbanding mana-mana bank. Peratusan ini adalah perkara baik kerana mereka bayar balik selepas mendapat keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan dan memberi peluang kepada ahli lain untuk berkecimpung dalam perniagaan," katanya di sini pada Selasa.

Nor Mohamed berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Projek Kuih Kering yang diusahakan oleh Dayang Itam Yusof di Kampung Laut Papar, sempena program ramah mesra sehari bersama Sahabat AIM Wilayah Sabah di sini.

Beliau berkata jumlah peminjam di Sabah ialah sebanyak 52,600 dengan pinjaman yang dibuat sebanyak RM240 juta sehingga tahun lepas manakala sejumlah RM280 juta disediakan kepada 10,000 anggota baru Sahabat AIM di Sabah pada tahun ini.

Sehingga kini, jumlah peminjam Sahabat AIM di seluruh negara ialah 275,000 orang, dengan jumlah pinjaman melebihi RM6 bilion sejak ditubuhkan pada 1987.

SME Bank, Mara dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) turut menyediakan dana.

Nor Mohamed berkata kerajaan akan menggunakan pelbagai langkah dan mekanisme dalam membela nasib rakyat termasuk mencari mekanisme baru untuk menemui rakyat di peringkat akar umbi.

Menurutnya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) memberi bantuan yang sama kepada penduduk di semua kawasan bagi memastikan mereka dapat mengecapi kualiti kehidupan yang terbaik dan lebih selesa.

Nor Mohamed turut mengadakan lawatan ke Projek Perikanan dan Projek Pembuatan Belacan sebelum mengunjungi Homestay Garama Bed & Breakfast Resort Sahabat AIM di Beaufort. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment