Thursday 2 February 2012

ADUN GESA TANGGUHKAN KERJA ROBOH TERMINAL

ADUN N.33 Bingkor, Datuk Justin Guka meminta pihak Majlis Daerah Keningau (MDK) menangguhkan kerja-kerja meroboh Terminal Bas Express Kimanis Keningau ke satu masa yang akan ditentukan kelak.

Bagaimanapun, pada jam 9.00 pagi kelmarin, MDK telah membuka atap zink pondok bas tersebut, namun Justin telah meminta agar zink yang dibuka dapat dipasang semula.

Menurut Justin, beliau mendapat tahu masalah berikut setelah dimaklumkan oleh Pengerusi Bas Kimanis Express, Fong Yau Chung; setiausahanya, Goa Ah Siew dan beberapa ahli jawatankuasa syarikat tersebut yang sama-sama berbincang tentang perkara tersebut pada pagi kelmarin.

Menurut wakil Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, Jackley Bin Gielbert @ Lontou dalam surat yang dikeluarkan kelmarin, MDKgu:700/3/ mengatakan MDK telah mengambil keputusan untuk membuka pondok bas tersebut.

Bagaimanapun hingga jam 10.00 pagi, hanya sebahagian atap zink terminal bas tersebut yang dibuka dan selepas itu kerja-kerja membuka pondok itu dihentikan setelah Justin datang ke tempat tersebut dan meminta ia ditangguhkan ke suatu masa kelak.

Sementara itu, Pengerusi Bas Kimanis Express Keningau, Fong Yau Chung berkata, beliau enggan mengulas berhubung tindakan Penguatkuasa MDK merobohkan Terminal Bas tersebut dan menyerahkan kepada budibicara Justin untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Fong berkata, beliau telah menyewa daripada MDK premis seluas 40 kaki x 40 kaki dan membayar sewa RM 500 setiap bulan . Mereka tidak pernah mempunyai hutang sewa, namun pada 20/01/2012, MDK telah menulis surat kepada pihak mereka dan memberi tempoh selama seminggu untuk membuka pembinaan terminal bas Kimanis Express.

Namun tanpa diduga, Penguatkuasa MDK telah mengambil tindakan merobohkan pondok bas tersebut tanpa sebarang notis atau makluman. Fong mengucapkan terima kasih kepada Justin kerana membantu menyelesaikan perkara ini demi kebaikan bersama.

Siasatan Sabahkini.net mendapati isu ini timbul berpunca daripada salah faham kerana syarikat bas ini mempunyai 5 orang rakan kongsi. Pada masa ini, syarikat tersebut mempunyai dua bas mini yang baru dan setiap hari membuat perjalanan ulang alik Keningau-Kota Kinabalu sebanyak 8 trip.

Sambutan daripada orang awam juga sangat baik kerana orang awam boleh memilih bas di Keningau ini. Populasi penduduk Keningau tidak kurang 200,000 dan jumlah ini belum termasuk warga asing dan penduduk di daerah-daerah jiran. Keningau juga merupakan pusat di Pedalaman Sabah.

No comments:

Post a Comment