Friday 19 October 2012

611 HILANG TEMPAT TINGGAL DI SEMPORNA




           
SERAMAI 611 orang hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang memusnahkan 81 rumah di Kampung Selamat, dekat Semporna hari ini. Pengawai Bomba dan Penyelamat Semporna Mohd Razali Ag Ahmad berkata kebakaran itu turut menyebabkan lima penduduk kampung berkenaan cedera ringan.

"Kelima-lima mereka dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di Semporna.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 11.41 pagi.

Dua jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna dengan bantuan sebuah jentera dan 12 anggota dari balai Tawau dan dua jentera utiliti bersama tujuh anggota dari Kunak, berjaya mengawal kebakaran pada pukul 1.50 petang.
       
"Ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan merebak dengan cepatnya. Kami berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada pukul 3.53 petang," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami ialah kira-kira RM938,000.

Kampung Selamat yang terletak di pinggir pekan Semporna merupakan satu daripada perkampungan yang padat di daerah ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN Senallang Datuk Seri Nasir Tun Sakaran yang ditemui selepas melawat lokasi kejadian, berkata beliau telah meminta jawatankuasa bencana alam Semporna untuk bertindak segera membantu mangsa kebakaran.

Selain ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Semporna, keperluan lain seperti makanan juga akan disalur kepada mangsa, katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment