Sunday 7 October 2012

IMIGRESEN TIDAK KELUAR PAS KERJA PUSAT HIBURAN





KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia tidak mengeluarkan pas pekerjaan untuk pekerja asing di pusat hiburan termasuk rumah urut melainkan pekerja dalam kategori spa, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat baru-baru ini, mengikut rekod Bahagian Pengurusan Pekerja Asing Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebanyak 148 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah dikeluarkan kepada pekerja asing dalam kategori spa melibatkan 12 majikan antara Januari hingga Ogos lepas.

Katanya sebanyak 191 serbuan dijalankan terhadap pusat-pusat hiburan termasuk rumah urut antara Januari hingga Jun tahun ini melibatkan 1,150 tangkapan atas kesalahan menyalahgunakan pas.

Kes kesalahan menyalahgunakan pas membabitkan Pas Lawatan Sosial ialah sebanyak 1,324 pada tahun lepas dan 1,038 kes pada tahun ini setakat ini, katanya dalam soalan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang bertanya jumlah serbuan atau tindakan terhadap pusat-pusat hiburan termasuk rumah urut

“Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang membabitkan suami atau isteri warganegara membabitkan 75 kes pada tahun 2011 dan 48 kes pada 2012. Pas pelajar pula membabitkan 28 kes pada tahun lalu dan 64 kes pula pada tahun ini,” katanya.

Kepada soalan tambahan Dr Siti Mariah mengenai jumlah yang terbabit dalam aktiviti tidak bermoral yang memasuki negara ini secara sah namun menyalahgunakan pas, Abu Seman berkata:

“Tindakan memperdagangkan orang terutama kegiatan pelacuran, banyak operasi dilakukan polis terhadap golongan berkenaan terutama membabitkan tangkapan.

“Dari segi tangkapan yang dibuat terhadap pelacur bagi tahun 2010 membabitkan warga asing seramai 12,631 orang, 11,832 orang (2011) dan 6,222 pada tahun ini (setakat ini),” katanya. (NST)

No comments:

Post a Comment