KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berharap beliau akan diberikan mandat yang besar pada pilihan raya umum akan
datang untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah
negara maju menjelang tahun 2020.
Bercakap dalam satu temu
bual dengan 'CNBC Conversation' yang dihoskan oleh pengacara terkenal Martin
Soong yang disiarkan melalui Astro CNBC (Saluran 518) hari ini, Najib berkata
tempoh lima tahun akan datang adalah sangat penting bagi kerajaan untuk
menunaikan janji dan komitmen yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu
kepada negara.
"Saya ingin mendapat
mandat yang besar, Martin, kerana bagi mencapai visi kami menjadi sebuah negara
maju menjelang 2020, tempoh lima tahun akan datang ini akan menjadi sangat
penting. Sangat penting kerana anda bercakap mengenai pusingan akhir.
"Anda bercakap mengenai
bahagian terakhir ini dan ia adalah bahagian paling penting kerana kami
benar-benar perlu untuk melaksanakannya," katanya.
Najib berkata demikian
sebagai menjawab soalan berhubung betapa pentingnya pilihan raya umum akan
datang baginya dan juga kepentingan bagi mendapat mandat semula terutama bagi
mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Najib berkata transformasi
adalah komitmen tegas yang dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
pada awal 90an dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi melaksanakan sebahagian
daripadanya, dan kini giliran beliau untuk menunaikannya.
Menjawab satu soalan, Najib,
yang juga Menteri Kewangan, bersetuju bahawa mencapai pertumbuhan ekonomi yang
lestari dan inklusif tanpa menjejaskan terlalu banyak landskap politik adalah
satu daripada cabaran untuk menjadi sebuah negara maju.
Bagaimanapun, beliau
menegaskan kunci untuk menjadikan masyarakat lebih saksama adalah dengan
mendapatkan pertumbuhan bagi mengagihkan semula hasil pendapatan itu kembali
kepada rakyat.
Tanpa pertumbuhan, ia
menjadi satu keadaan hilang-hilang. Jadi jika kita mendapat lima hingga enam
peratus dalam tempoh masa itu, maka kita akan dapat pada masa yang sama,
memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama dalam negara ini.
Dalam temu bual setengah jam
itu, Najib berkata usaha (untuk menjana pertumbuhan) itu dapat dilaksanakan dan
jumlah itu kelihatan lebih positif terutama dengan penyertaan Bumiputera.
"...tapi ia bukan hanya
mengenai jumlah ekuiti. Kita juga perlu memastikan bahawa ada pengagihan
pendapatan yang adil antara pelbagai tahap pendapatan dalam negara ini,"
katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment