Sunday 26 May 2013

ANWAR MUNGKIR PERJANJIAN PRU13






BEKAS Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim memungkiri perjanjian rahsia untuk menghormati keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Malaysia, yang diuruskannya sebagai orang tengah, antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua pembangkang itu.
   
Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) semalam melaporkan Jusuf mendedahkan bahawa perjanjian bertulis dibuat antara Najib dan Anwar pada April iaitu menegah daripada melakukan serangan peribadi semasa berkempen dan menerima keputusan pilihan raya 5 Mei, yang dicadangkan sendiri oleh Anwar.
   
Menurut Jusuf, Anwar menemui beliau berhubung perjanjian itu dua bulan lepas dan meminta Jusuf menemui lawannya serta mendapatkan komitmen beliau berhubung keputusan pilihan raya yang aman.
   
Bagaimanapun, menurut akhbar itu Anwar mendakwa Jusuf yang menemui beliau untuk menawarkan bantuan dalam memastikan keputusan pilihan raya yang teratur.
   
WSJ juga melaporkan Anwar mengakui beliau telah membuat perjanjian bersama Najib, dengan Jusuf sebagai orang tengah, namun Anwar mendakwa Barisan Nasional (BN) telah membatalkannya melalui cara mereka menjalankan kempen.
   
Jusuf juga berkata beliau menghubungi Anwar sehari selepas hari pengundian pada 5 Mei untuk meminta pemimpin pembangkang itu menerima keputusan tersebut.
   
"Kami ada komitmen," Jusuf dipetik sebagai berkata. "Pada Isnin, saya meminta Anwar menerima (keputusan) dan melihat kepada realiti. Tetapi mereka berkata, tidak, tidak, tidak,".
   
PRU13 menyaksikan BN yang diterajui Najib kembali berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen, yang turut menyaksikan Anwar dan pakatan pembangkang yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengadakan perhimpunan di seluruh negara sejak 8 Mei.
   
Tanpa mengkritik mana-mana parti, Jusuf berkata beliau berpendapat kedua-dua pihak menunjukkan komitmen mengelak daripada melakukan serangan peribadi semasa kempen.
   
Jusuf pernah bertindak sebagai orang tengah bagi perjanjian damai dalam pelbagai konflik di Kepulauan Indonesia yang bergolak semasa beliau menjadi naib presiden dari 2004 hingga 2009 dan berperanan dalam perjanjian damai di Thailand dan Sri Lanka. (Bernama)

21 comments:

  1. Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan bersara dari politik walaupun pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya. Lantas beliau tidak menghiraukan janji awalnya akan bersara jika tidak dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN).

    ReplyDelete
  2. Mengapa perlu bersara? tempelak Anwar. Katanya, beliau akan bersara jika Pakatan Rakyat kalah. Namun, tingkahnya, Pakatan Rakyat sebenarnya menang. Cuma konspirasi BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan kemenangan itu.

    ReplyDelete
  3. Selanjutnya, Anwar pun berpidato bahawa kerajaan hari ini adalah tidak sah kerana ia menang melalui penipuan. Lantas, adalah menjadi tanggungjawabnya baginya meneruskan perjuangan untuk menumbangkan kerajaan tidak sah ini.

    ReplyDelete
  4. Maka matlamat ini menjadi semboyan yang mengujanya untuk terus berkecimpung dalam politik Malaysia. Menentang kerajaan kali ini adalah sah dan halal baginya. Justeru beliau akan terus membarakan jiwa juang dan kesedaran rakyat bahawa perjuangan menegakkan sebuah negara benar-benar demokratik belum selesai.

    ReplyDelete
  5. Seperti biasa bagi memberi rencah lebih menggiurkan dalam fasa perjuangan kali ini, Anwar awal-awal lagi membuat ramalan bahawa kemungkinan beliau akan ditangkap adalah besar. Sebab itu beliau sudah menghebahkannya terlebih dahulu kemungkinan itu. Sebab mengapa beliau akan ditahan ialah kerana dituduh cuba mencetuskan penentangan dan menumbangkan kerajaan.

    ReplyDelete
  6. Oleh itu, beliau pun berwasiat bahawa sekalipun beliau ditahan, perjuangan ini perlu diteruskan. Maka gegak gempitalah penyokong-penyokongnya menyahut cabarannya dengan azam untuk berjuang hingga kerajaan BN tunduk dan berundur. Semuanya akan digerakkan oleh Anwar dari celah jeriji besi kamar tahanannya.

    ReplyDelete
  7. Kelak dunia akan tahu kebobrokan politik Malaysia. Maka banyaklah pertubuhan seluruh dunia yang akan menamakan beliau sebagai “pejuang dalam tahanan” (prisoner of conscience).

    ReplyDelete
  8. Ini akan meletakkan namanya sebaris dengan pemimpin-pemimpin ulung dunia seperti Nelson Mandela dan juga Aung San Su Kyi. Daripada sekadar berjuang menggantikan kerajaan yang korup, Anwar akan dikenali sebagai pejuang kebenaran, keadilan sejagat.

    ReplyDelete
  9. Sebenarnya apabila sampai di tahap itu, Anwar tentu berasa selamat dan lebih aman untuk mengarahkan gerakan menumbangkan pemerintah seperti berlaku di beberapa negara Arab yang dinamakan Arab Spring.

    ReplyDelete
  10. Menilai tindak tanduknya sejak 5 Mei lalu, Anwar memang mahu merintis jalan ini. Egonya besar mahu menjadi perdana menteri. Maka apabila cita-citanya tidak tercapai beliau perlu alasan yang kukuh. Demikianlah alasannya, Pakatan Rakyat tidak kalah tetapi kemenangannya dirampas oleh SPR! Biar dunia tahu.

    ReplyDelete
  11. Di sebalik kecekalan, kegigihan dan ego besar Anwar ini rakyat dihalakan kepada satu lagi perspektif lain yang mungkin memperjelaskan kenapa Anwar begitu kemaruk untuk menjatuhkan kerajaan BN yang baru mengangkat sumpah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 awal bulan ini.

    ReplyDelete
  12. Teropong politik ini bukan datang dari dalam negara tetapi dipancarkan oleh sebuah badan penyelidikan dari Kanada yang dikenali sebagai Global Research Foundation yang agak mengejutkan.

    ReplyDelete
  13. Laporan yang ditulis oleh Tony Carlucci menyifatkan kejayaan BN dalam PRU ke 13 lalu ialah satu kemenangan menyekat Malaysia menjadi bidak percaturan Amerika Syarikat dan Britain yang mahu mengembangkan hegemoni mereka dan menyekat kemaraan China daripada menjadi kuasa ekonomi dan ketenteraan dunia.

    ReplyDelete
  14. Carlucci membentangkan kaitan tajaan beberapa konglomerat Amerika Syarikat seperti Boeing, Goldman Sachs, dan Exxon serta Dewan Perdagangan Amerika Syarikat melalui pertubuhan seperti National Endowment Fund for Democracy (NED) demi menghidupkan demokrasi seluruh dunia.

    ReplyDelete
  15. Walhal, kata Carlucci tujuan sebenar NED ialah menumbangkan kerajaan di sesebuah negara yang mahu dikuasai Amerika Syarikat. Antara yang mendapat habuan NED ialah badan penyelidikan Merdeka Centre for Democracy dan juga pergerakan Bersih “untuk pilihan raya yang bersih dan adil”. Sejak pendedahan ini dibuat pada 9 Mei lalu, belum ada penafian daripada Bersih mahupun Merdeka Centre. Anwar juga belum memberi sebarang ulasan mengenai dakwaan itu.

    ReplyDelete
  16. Taktik pertubuhan-pertubuhan yang ditaja oleh NED ini umumnya adalah sama. Pertama, war-warkan kemungkinan ada penipuan dalam pilihan raya sebelum penamaan calon diumumkan. Ini diikuti dengan usaha mempertikaikan wibawa badan pengendali pilihan raya dan akhir sekali jika “calon-calon Amerika” ini kalah, ledakan demonstrasi jalanan seperti Arab Spring.

    ReplyDelete
  17. Di tengah-tengah kemelut yang cuba diwujudkan di Malaysia ini ialah Anwar Ibrahim. PAS dengan tegas dan jelas menjarakkan diri dari taktik ini. DAP pula berhati-hati dalam membuat pendirian dan membabitkan diri terbabit dengan bertopengkan alasan ia adalah aktiviti kerajaan negeri yang tidak perlu permit polis.

    ReplyDelete
  18. Nampaknya yang masih tegar meniupkan api kebencian terhadap kerajaan ialah Anwar Ibrahim. Di samping itu beliau pun mengacah-acah pihak berkuasa untuk menahannya. Ini adalah satu provokasi. Jika ditahan Anwar berharap akan dipandang sebagai wira.

    ReplyDelete
  19. Sebenarnya, sejak keluar penjara pada tahun 2004, Anwar Ibrahim sudah terlalu lelah. Beliau perlu berihat. Untuk berundur rasa malu. Egonya besar. Sebab itu, beliau lebih senang ditahan untuk mendapatkan rihatnya.

    ReplyDelete
  20. Langkah seterusnya harus dipacu oleh rakyat. Sama ada benar atau tidak Anwar dan konco-konconya ditaja oleh kuasa-kuasa “neo colonialis” tidak berapa penting. Yang lebih utama rakyat buka mata dan menjawab soalan, apabila berlaku Arab Spring, siapakah yang mengaut untung daripada keruntuhan sistem negara di Mesir, Libya dan kini Syria?

    ReplyDelete
  21. Anwar mmg sejak dulu dikenali sebagai orang yang suka memungkiri janji.

    ReplyDelete