Friday 31 May 2013

EMBARGO TERHADAP NURUL TIDAK SAH?






Oleh : NURUL IZZAH ANWAR

SEMALAM, 30 Mei 2013, saya telah ditahan apabila kad pengenalan saya diambil di pintu masuk imigresen untuk menghalang saya daripada memasuki negeri Sabah, walaupun hak saya selaku warganegara Malaysia termaktub di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63:
67. Hak untuk masuk ke Negeri Malaysia Timur bagi menjalankan hak-hak politik.

Seksyen 66 (1) hendaklah tidak berkuatkuasa dalam hubungan dengan seseorang warganegara yang memasuki Negeri Malaysia Timur hanya untuk menceburkan diri dalam aktiviti politik yang sah; tetapi beban membuktikan bahawa seseorang itu berhak memasuki Negeri Malaysia Timur di bawah seksyen ini terletak ke atasnya.

Lawatan saya ke Sabah adalah untuk menghadirkan diri dalam program Parti Keadilan Rakyat Sabah di samping menyambut pesta Kaamatan bersama warga tempatan.

Alasan yang diberikan atas penahanan saya adalah atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah. Saya juga difahamkan ada nama-nama lain, termasuk aktivis tempatan beserta ahli politik Pakatan Rakyat yang akan juga dinafikan kemasukan ke dalam negeri Sabah atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia, dan warganegara Malaysia, tindakan menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik. Permohonan saya untuk mendapatkan senarai nama mereka yang terlarang ditolak atas sebab-sebab kerahsiaan. Tiada alasan lain diberikan dalam tangkapan dan penafian masuk saya ke Sabah.

Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut. Rasional yang sama juga perlu diberikan dalam kes Tian Chua, Ahli Parlimen Batu dan Naib Presiden KEADILAN, yang juga dinafikan kemasukan pada 7 April yang lalu.

Isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan. Malang, tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan – termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini, bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan UMNO mahupun BN.

Justeru itu, isu keselamatan dan kedaulatan negara sepatutnya tidak diperlekehkan dengan menjadikan ia alat politik menindas rakyat.

KEADILAN akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengemukakan aduan rasmi serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai isu ini. KEADILAN akan turut meminta senarai nama-nama mereka yang dihalang memasuki negeri Sabah, serta sebab-sebab mereka dihalang.

Pada masa yang sama, saya sedang berbincang dengan Darrell Leiking, Ahli Parlimen Penampang, serta teman-teman guaman di Sabah untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri yang akan difailkan di Kota Kinabalu kelak.

(NOTA : Nurul Izzah ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai & Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat).

No comments:

Post a Comment