KOTA KINABALU : Mengajar di
sebuah sekolah di pedalaman negeri ini tidak menyekat kreativiti seorang guru
yang berjaya mencipta pen untuk menyelesaikan masalah berkaitan elektromagnet
dalam subjek Fizik.
Androd Sadian, guru sains di
Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, Kota Marudu, berkata dengan pen ciptaannya
yang dikenali Pen Android atau Pen A, pelajar tidak perlu lagi menggunakan jari
tangan untuk menentukan arah yang tepat seperti kaedah pembelajaran sekarang.
"Sekurang-kurangnya Pen
A ini menjamin pelajar memperoleh dua atau tiga markah dalam peperiksaan,"
katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Solidariti dan Apresiasi
Pendidik sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri, di sini, malam tadi.
Menurut Androd, pen itu juga
boleh digunakan sebagai alat tulis biasa.
Pen ini sudah mendapat
kelulusan Kementerian Pelajaran dan akan dipasarkan di Sabah bermula bulan
depan pada harga RM7.50 seunit, sebelum diedar ke seluruh negara secara
berperingkat, katanya yang percaya Pen A adalah yang pertama seumpamanya di
dunia.
Sementara itu, Menteri
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun yang juga
EXCO Pelajaran Sabah, berkata kejayaan Androd adalah bukti kegigihan guru di
kawasan pedalaman dalam mencari kreativiti bagi menangani kekangan bertugas di
kawasan terpencil.
"...mereka berupaya
mencari kaedah kreatif dalam meningkatkan semangat mereka untuk terus bersaing
dalam pembangunan pendidikan," katanya.
Terdahulu, Masidi dalam ucapannya
berkata tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda'
amat bersesuaian dalam menempuh era globalisasi yang berteraskan enam aspirasi
murid iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran
dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.
Pada majlis itu, Masidi
turut melancarkan pen itu serta sebuah buku bertajuk Sejarah Perkembangan
Pendidikan Di Sabah (1881-1981) yang ditulis oleh pensyarah kanan Universiti
Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayu Sansalu.
Menurut Dayu, buku setebal
300 halaman itu menerangkan sejarah pendidikan di Sabah sejak 1,000 tahun lalu.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment