Friday 31 May 2013

SPR BUKAN PARTI POLITIK






Oleh : FMT STAFF

PETALING JAYA: Bekas Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim membidas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Omar yang mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim memboikot parlimen jika benar-benar yakin berlaku penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya datang dari seorang Timbalan Pengerusi SPR.

“SPR bukan parti politik dan Wan Ahmad tidak sepatutnya bertindak seolah beliau seorang wakil rakyat.

“(Dan) SPR sepatutnya bertindak secara berkecuali dan profesional dengan menangani segala kritikan dan dakwaan dari mana-mana pihak sekalipun secara berhemah dan mengikut prosedur undang-undang.

“Mereka sepatutnya mampu mengawal diri dalam apa jua keadaan dan tidak melenting seperti cacing kepanasan apabila dikritik keras,” kata Mat Zain dalam suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Salinannya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun.

Ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong

Setiap ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 114 Perlembagaan untuk mengendalikan pilihan raya Persekutuan atau Negeri dengan bersih dan adil mengikut prosedur undang-undang.

Menurut Mat Zain, sekiranya benar pihak SPR sebuah badan berkecuali dan profesional, mereka sepatutnya boleh membuat siasatan sendiri bagi mengesahkan sama ada benar atau tidak, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-6 pada 3.April 2009.

Katanya, ini kerana sumpah itu dengan tidak mengikut Jadual Keenam Perlembagaan seperti yang didakwa.

“SPR hanya perlu menonton semula rakaman upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri oleh Najib di-hadapan Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 3 April 2009, serta membandingkan apa yang dilafazkannya dalam upacara tersebut, dengan perkataan sumpah yang wajib beliau angkat sepertimana yang dinyatakan dalam Jadual Keenam Perlembagaan.

“Verifikasi ini boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 5 minit pun. Malahan orang ramai juga boleh membuat semakan sendiri dengan menggunakan kaedah yang sama,” kata Mat Zain lagi.

Beliau juga menyarankan SPR mendapatkan kerjasama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru Datuk Seri Ahmad Shabbery Cheek untuk menyiarkan acara angkat sumpah Perdana Menteri pada 3.April 2009 itu.

`Filem Tanda Putera’

Ini supaya lebih ramai rakyat yang tidak mempunyai ekses kepada internet, peluang untuk membuat verifikasi yang sama serta sekaligus, dapat memahami isu yang dibangkitkan ini.

“Jika Menteri Penerangan telah menunjukkan keghairahannya untuk filem Tanda Putera ditayangkan kepada umum,maka saya yakin beliau tidak keberatan menayangkan rakaman majlis angkat sumpah yang ringkas itu,” katanya lagi.

Beliau menambah, rakyat boleh membuat penilaian samada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri-nya memang sentiasa menghormati dan mematuhi peraturan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti yang mereka sering laungkan, atau ianya sekadar retorik.

Katanya, beliau yakin rakyat akan lebih menyanjung Menteri Penerangan yang baru ini, jika beliau dapat menyiarkan proses perlantikan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di kalangan Ahli Dewan Negara yang belum dilantik sebagai Senator seperti kekalutan yang berlaku baru-baru ini, sebagai penambahan ilmu kepada rakyat.

Menurutnya, penerangan seperti ini-lah yang akan dialu-alukan oleh segenap lapisan rakyat khasnya masyarakat luar bandar di mana mereka boleh menilai sama ada Menteri dan Timbalan Menteri mereka itu jujur ataupun mereka sekadar kaki temberang sahaja.

Mat Zain berkata,  persoalan undang-undang melibatkan Perlembagaan hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, (Akta 91.

Harap SPR nyatakan pendirian

Untuk itu beliau berharap  SPR dapat menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka bersedia merujukkan perkara dalam persoalan ini kepada badan tersebut atau sebaliknya.

Dalam isu berkaitan, bekas pegawai kanan polis itu mengulas mengenai  dua menteri dan tiga timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong tetapi belum dilantik sebagai Senator.

Kata Mat Zain ia perbuatan yang sangat biadap terhadap Yang Di Pertuan Agong kerana telah meletakkan susunan keutamaan Baginda, di-belakang kedudukan Yang Di-Pertua Dewan Negara.

Sekiranya perbuatan ini bukan suatu pengkhianatan dan penghinaan serta mencemarkan keadaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, Mat Zain berkata, Najib wajar menjelaskan kepada rakyat apakah maksud tindakan beliau.

Perdana Menteri, tambahnya juga wajar menjelaskan kepada rakyat sama ada dua orang menteri dan tiga orang timbalan menteri tersebut layak melaksanakan fungsi jawatan masing-masing setelah peruntukan Perlembagaan Persekutuan ditunggang-langgangkan.

Jika di kalangan sejumlah 61 orang menteri dan timbalan menteri yang ada sekarang ini,terdapat  lima orang atau lebih 8% daripada jumlah itu adalah “ahli haram”, maka keseluruhan Kabinet itu juga terpalit menjadi haram.

Disebabkan nila setitik,rosak susu sebelanga, kata Mat Zain.

No comments:

Post a Comment