Sunday 26 May 2013

BN TIDAK CURI KEMENANGAN DALAM PRU13






LUHUR....Najib berkata keluhuran dan ketinggian perlembagaan adalah tiang seri negara namun begitu rakyat mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat masing-masing.

PUTRAJAYA : Barisan Nasional (BN) tidak pernah mencuri kemenangan daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti termaktub dalam perlembagaan negara dan BN memenangi pilihan raya berdasarkan kelebihan jumlah kerusi untuk membentuk kerajaan dan bukan berdasarkan undi popular seperti sistem presiden yang diamalkan di Amerika Syarikat.

“Dakwaan kita mencuri kemenangan parti pembangkang adalah satu kepalsuan sebab kita tidak melakukan penipuan dalam PRU13.

“Tunjukkan kepada saya di mana mat Bangla yang menjadi pengundi? Mereka (pembangkang) mendakwa 40,000 mat Bangla turun lapangan terbang, tunjukkan lapangan terbang mana? Jangan heret orang kerana rupa gelap sikit itu mat Bangla,” katanya pada majlis pelancaran Festival Belia 2013 di sini semalam.

Hadir sama ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib berkata keluhuran dan ketinggian perlembagaan adalah tiang seri negara namun begitu rakyat mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat masing-masing selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.

“Apa sahaja yang kita nak suarakan mesti berpaksikan kepada perlembagaan dan tidak boleh pilih di tepi jalan dengan mendesak dan membuat huru-hara sehingga menimbulkan keadaan tidak tenteram yang tidak selaras dengan perlembagaan.

“Sebagai generasi muda, kita mesti faham tuntutan perubahan mesti berpandukan kepada perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Kalau tidak akan berlaku undang-undang rimba dalam negara kita,” katanya.

Najib menyarankan generasi muda agar berfikiran waras dan rasional serta tidak termakan hasutan dan penipuan khususnya dalam ruang siber.

Beliau berkata keutamaan dalam membina sebuah negara dan masa depan mesti berdasarkan kepada akal fikiran, yakni memilih yang kebenaran atas kepalsuan serta memilih hak daripada batil.

 “Kalau ini dapat disemai, kalau ini dapat dipupuk di kalangan belia, Insya-Allah masa depan kita, masa depan belia dan negara yang tercinta akan terus bersinar dengan harapan untuk masa depan kita,” katanya.

Najib juga memberi jaminan kerajaan mampu melakukan segala perubahan bukan sahaja untuk golongan belia bahkan masa depan negara.

“Percayalah kalau nakkan perubahan kepada negara kita tidak semestinya terlibat dalam himpunan jalanan atau pun meruntuhkan apa yang ada hari ini.

“Yang penting kita mesti faham apa kehendak belia dan suara belia itu dan kita menyediakan kaedah pentadbiran negara yang sesuai kepada golongan belia,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan tiga kategori Anugerah Perdana Belia Negara 2013, yang diperkenalkan pada 1988, bagi mengiktiraf belia dan pertubuhan belia yang banyak menyumbang kepada pembangunan belia negara.

Kategori Pertubuhan Belia dimenangi Kelab Belia Malaysia (MAYC) Simpang Bekoh, Melaka yang menerima wang tunai RM50,000, piala iringan dan sijil penghargaan.

Selain itu kategori Lelaki dimenangi Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Manndzri Nasib manakala kategori Wanita diraih Halimah Abd Rahman daripada Persatuan Puteri Islam Malaysia, Sabah dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, piala iringan dan sijil penghargaan. (Bernama)

28 comments:

  1. Sabtu lalu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim telah mendedahkan bahawa wujudnya konspirasi menggulingkan kerajaan. Konspirasi yang dirancang itu katanya bakal dijalankan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan jika pembangkang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

    ReplyDelete
  2. Dalam dakwaan Tunku Aziz, seorang pemimpin tertinggi DAP pernah membayangkan demonstrasi terlampau seperti Arab Spring bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada. Namun, hari ini kepimpinan DAP dan PAS telah sebulat suara untuk membantu polis melakukan siasatan terhadap konspirasi itu.

    ReplyDelete
  3. Mungkin mereka telah sedar impak yang buruk bakal melanda negara jika terjadinya rusuhan dan demonstrasi tersebut. Walaupun Karpal Singh mengecam tindakan Tunku Aziz kerana mendedahkan rahsia DAP, tindakan DAP untuk bersama membantu polis adalah satu tindakan yang bijak.

    ReplyDelete
  4. Ini kerana, jika benar perkara ini terjadi ianya akan menggugat keamanan negara dan menjatuhkan imej negara. Sekali gus, ekonomi negara dan juga industri pelancongan akan turut terjejas.

    ReplyDelete
  5. Dalam pada itu, dua parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS dan DAP telah menyatakan keterlibatan mereka membantu polis untuk menjalankan siasatan konspirasi tersebut. Tetapi, Anwar Ibrahim masih belum mengambil apa-apa tindakan ataupun pendirian berkenaan perkara ini.

    ReplyDelete
  6. Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan polis sekiranya diminta membantu dalam siasatan berhubung dakwaan konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

    ReplyDelete
  7. Menurutnya, Pas mengulangi pendirian bahawa parti itu tidak menyokong mana-mana pihak yang mahu menggunakan kekerasan dalam perjuangan kerana ia boleh menimbulkan huru-hara dan ketidakstabilan kepada negara.

    ReplyDelete
  8. Malah, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz mengajak orang ramai memikirkan kemenangan melalui kesabaran, bukannya melalui ledakan di jalan raya.

    ReplyDelete
  9. “Anda terfikir untuk ‘spring’ dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya? Itu adalah gopoh. “Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum,” katanya menerusi laman Facebook.

    ReplyDelete
  10. Lim Kit Siang dalam satu temubual dengan Radio Australia juga menolak sebarang bentuk kacau bilau ala Arab Spring dan apa juga bentuk kacau ganggu seumpamanya.

    ReplyDelete
  11. Nampaknya, hanya Anwar yang memang bercita-cita untuk mewujudkan kekacauan dalam negara yang nyata menjadi salah satu agendanya apabila gagal dalam pilihan raya. Mungkin itu merupakan cara beliau untuk menunjukkan protes sehingga menggadaikan keselamatan dan masa depan negara.

    ReplyDelete
  12. Sedarlah bahawa rakyat tidak akan mendapat apa-apa keuntungan dengan konspirasi sebegini. Negara yang mengalami konspirasi sebegini tidak pernah aman dan kekal mundur tanpa ada sebarang pembangunan dan itu adalah satu kerugian besar buat negara.

    ReplyDelete
  13. Untuk sedarkan Anwar Ibrahim adalah satu perkara yang mustahil, namun masih belum terlewat untuk anak-anak muda yang terikut-ikut cara demonstrasi Anwar ini untuk berfikir dengan lebih waras. Jangan sampai terlewat untuk membetulkan keadaan sehingga negara kita berada dalam keadaan yang terumbang-ambing.

    ReplyDelete
  14. Mandat baharu yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) yang kembali membentuk kerajaan pusat pada pagi ini membuktikan rakyat Malaysia tetap mengutamakan kesederhanaan (wasatiyyah) sebagai cara hidup terbaik dalam negara bermasyarakat majmuk.

    ReplyDelete
  15. Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa BN memenangi majoriti mudah 112 kerusi daripada sejumlah 222 kerusi Parlimen pada pukul 12.50 pagi. Ini diikuti dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kejayaan BN itu pada satu sidang media yang disiarkan secara langsung melalui televisyen ke seluruh negara.

    ReplyDelete
  16. Walaupun ditawarkan pelbagai janji manis oleh Pakatan Rakyat, namun rakyat yang mengundi pada Ahad, melihat lebih kepada para pemberi janji itu yang di mata mereka mungkin ekstrem dalam kempen untuk menarik sokongan dan undi, yang bukan sahaja terlalu ghairah malah sehingga menakutkan pengundi.

    ReplyDelete
  17. BN telah memenangi dengan mandat rakyat iaitu kita boleh lihat 2/3 kemenangan di Sabah dan Sarawak yang banyak menyumbang kepada kepada kemenangan BN keseluruhan. Di semenanjung pembangkang banyak mempengaruhi minda masyarakat di sana menyebab banayak beralih arah juga. Apapun BN menerima seadanya.

    ReplyDelete
  18. Satu contoh jelas ialah penentangan keterlaluan DAP terhadap pelaksanaan undang-undang syariah dan hukum hudud manakala kesungguhan keterlaluan di pihak PAS melaungkan janji kononnya tetap akan melaksanakan hukum hudud.

    ReplyDelete
  19. Majoriti rakyat yang mahu status quo dalam hal itu tetap tidak goyah, tentunya memilih untuk mengundi BN yang sejak sekian lama mengendalikan isu itu dengan baik tanpa menjadikannya polemik yang dimanipulasi untuk memancing undi semata-mata.

    ReplyDelete
  20. Bn juga memenangi pilihan raya ini disebabkan banyak golongan belia yang memberi sokongan padu kepada parti BN terserbut.

    ReplyDelete
  21. Selain daripada itu, sumbangan BN di kawasan pedalaman turut dibalas oleh penduduk kampung dengan baik.

    ReplyDelete
  22. Jelas menunjukkan bahawa pada kali ini juga negeri yang BN tewas iaitu 5 pada tahun 2008 sekarang menjadi 3 buah sahaja. Menunjukkan rakyat beralih kembali kepada BN.

    ReplyDelete
  23. Penganalisis politik Dr Ibrahim Ghafar berkata rakyat juga melihat tawaran yang dibuat dalam manifesto Pakatan Rakyat sebagai janji yang ekstrem seperti penurunan harga kereta dan minyak secara mendadak, penghapusan pinjaman PTPTN, pelbagai pemberian tunai dan gaji minimum RM1,200.

    ReplyDelete
  24. “Rakyat bukan tidak mahu semua itu tetapi mereka mengamatinya dengan waspada. Bagaimana jika cukai pendapatan akhirnya terpaksa dinaikkan berkali ganda kerana pembangkang, jika menang, terpaksa melakukannya untuk meningkatkan hasil negara bagi menampung biaya besar semua janji-janji manisnya.

    “Itupun kalau janji dalam manifesto pembangkang seperti penghapusan tol akan ditepati,” katanya.

    ReplyDelete
  25. Lantaran itu, katanya, rakyat lebih cenderung mempercayai kesedarhanaan yang ditawarkan BN, yang dijanjikan akan dilaksanakan secara sedikit demi sedikit dan berhemah sehingga tidak membebankan kewangan kerajaan.

    ReplyDelete
  26. “Bagaimanapun kerajaan baharu BN ini wajarlah juga memerhatikan dengan lebih jauh di mana yang boleh mereka turunkan harga barangan dan perkhidmatan untuk membalas budi rakyat yang mengembalikan BN ke tampuk pemerintahan dalam PRU ini,” tambahnya.

    ReplyDelete
  27. Ibrahim menyokong penuh hasrat yang diumumkan Najib pada sidang media kemenangan BN untuk melakukan penyatuan negara, yang dianggapnya sangat wajar untuk membolehkan ‘biduk lalu kiambang bertaut’ memandangkan Wawasan 2020 hanya tinggal tujuh tahun saja lagi dan memerlukan sokongan padu semua pihak.

    ReplyDelete
  28. “Namun penyatuan itu tidak boleh sepihak oleh Najib dan BN sahaja tetapi mestilah juga dengan keikhlasan pihak pembangkang juga. Rakyat telah membuat pilihan secara demokratik dan dalam sistem demokrasi, suara majoriti itu perlu dihormati dan diterima dengan baik.

    ReplyDelete