Sunday 26 May 2013

PENYOKONG BN BEAUFORT TERKILAN






Oleh : ABDUL BAKAR ESAH
         
BEAUFORT: Penyokong Barisan Nasional (BN) di sini melahirkan rasa kecewa mereka apabila Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Jemaah Menteri Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Mei lalu.

Ketua Cawangan Umno Beaufort Jaya 1, Sulong Majid, berkata keseluruhan penyokong BN tertamanya jentera pilihanraya bagi Parlimen Beaufort berasa terkilan dan tidak berpuas hati dengan keputusan pucuk pimpinan BN yang tidak menyenaraikan Azizah sebagai Menteri Penuh.

Beliau berkata, sebelum ini pemimpin atasan BN sering membayangkan satu harapan yang besar kepada masyarakat di sini pada majlis-majlis yang diadakan sebelum dan semasa kempen pilihanraya ke-13 (PRU-13) itu tidak ditepati.

“Kita berasa amat kecewa dan saya yakin lebih 90 peratus pengundi BN juga tidak berpuas hati. Kami dijanjikan harapan yang besar sekiranya Datuk Azizah berjaya menumbangkan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.

“Saya masih ingat janji pemimpin BN Negeri ketika berucap di hadapan di hadapan puluhan ribu penyokong BN di padang Pekan Beaufort semasa lawatan Perdana Menteri ke Daerah Beaufort pada 14 Februari lalu.

“Di samping itu, semasa kempen pilihanraya di Kg Bundu Kuala Penyu, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Shahrizat Abd Jalil juga membayangkan Azizah akan dilantik sebagai menteri penuh jika memenangi kawasan yang ditandinginya.

“Namun janji-janji itu kini tidak menjadi kenyataan. Penyokong kecewa dan marah kerana undi mereka tidak dihargai, malah berasa dipermainkan dengan janji kosong, ” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau yang juga Setiusaha Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Beaufort berkata Azizah sepatutnya diberi keutamaan untuk menyandang jawatan menteri penuh berdasarkan beliau adalah satu-satunya Exco Wanita Umno yang bertanding bagi kerusi Parlimen dan mendapat kemenangan di kawasan panas.

“Beliau juga merupakan pemimpin yang berpengalaman, berkelibar dan taat setia kepada parti di mana sehingga kini kira-kira 30 tahun bersama BN. Dan beliau juga adalah salah seorang pemimpin yang terlibat secara langsung membawa Umno ke negeri ini,” katanya sambil berharap pucuk pimpinan BN mengkaji semula barisan kebinet baru yang menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

“Saya berpendapat satu rombakan kecil perlu dilakukan dalam kebinet ini kerana ianya juga menimbulkan rasa tidak puas hati daripada banyak pihak,” katanya.

Ketua Cawangan Umno Ketua Umno Cawangan Kg Bakalau, Moksin Ayub yang menyokong penuh kenyataan Sulong pula berkata Azizah mempunyai pengalaman untuk mentadbir sesebuah kementerian berdasarkan pengalaman beliau sebelum ini.

“Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia pada tahun 2004 hingga 2008 dan menjawat Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah pada tahun 2008 hingga 2013. Justeru saya berpendapat beliaulah yang paling layak untuk menerajui KPWKM itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Gerakan Bahagian Beaufort, Lee Koon Sing @ Robert Lee pula berkata Azizah adalah pemimpin BN yang mempunyai komitmen yang tinggi dalam menunaikan tanggung jawabnya membela rakyat.

“Beliau adalah pemimpin yang bekerja kuat dan sering turun padang untuk mendengar denyut nadi rakyat. Dan sebagai pemimpin dalam komponen BN kami (pemimpin akar umbi BN) sering diingatkan agar sentiasa berusaha menyelesaikan masalah rakyat. Saya berasa sumbangan beliau akan lebih bermakna sekiranya diberi jawatan menteri penuh,” katanya.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Klias, Jaimis Digi yang sebelum ini turut berharap Azizah dilantik sebagai menteri penuh turut meluahkan kekecewaannya.

“Selepas bekerja kuat bersama-sama barisan kepimpinan parti BN di sini kita akhirnya mendapat kemenangan di Parlimen Beaufort yang menjadi kawasan panas dan selepas itu kita amat berharap Datuk Azizah diberi ruang untuk menerajui sebuah kementerian. Tapi kini harapan itu berkecai,” katanya.

Ketua Umno Cawangan Kg Cina, Lim Sin Kok pula berkata rasionalnya pucuk pimpinan BN wajar membalas segala jasa dan bakti Azizah sebagai calon BN yang berjaya menumbangkan Lajim di kawasan yang menjadi tumpuan pada PRU-13 yang lalu.

“Bukan calang-calang calon yang boleh menumpaskan Lajim tetapi Datuk Azizah telah berjaya memenuhi misi dan harapan BN untuk mengalahkan Lajim. Sehubungan itu saya berpendapat beliau wajar diberi kedudukan yang lebih dalam kabinet sebagai menghargai sumbangan beliau kepada BN dan juga sebagai penghormatan kepada semua pengundi dan penyokong beliau,” katanya.

22 comments:

  1. kalau ikutkan rasa terkilan penyokong BN beaufort diatas, penyokong BN di kawasan Parlimen lain juga patut rasa terkilan kerana calon mereka bukan sahaja tidak diberikan jawatan menteri penuh, malah timbalan menteri tidak berpeluang langsung..

    ReplyDelete
  2. mampukan Najib penuhi tuntutan semua penyokong BN seperti diatas jika semua mereka membuat tuntutan yang sama?? calon parlimen BN yang menang bukan sedikit..

    ReplyDelete
  3. sedangkan azizah mohd dun juga tidak rasa terkilan diberikan jawatan timbalan menteri..

    ReplyDelete
  4. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman memberi jaminan kepada penduduk Beaufort bahawa kawasan itu akan terus diberi pembelaan yang sewajarnya meskipun kini menghadapi gelombang politik.

    ReplyDelete
  5. Musa, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, berkata Parlimen Beaufort perlu terus diwakili oleh BN dalam pilihan raya umum akan datang demi masa depan yang lebih cerah.

    ReplyDelete
  6. Oleh itu, beliau mengajak rakyat Beaufort supaya terus memberi sokongan padu kepada kerajaan sedia ada, sekali gus memastikan Parlimen Beaufort dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Klias serta Kuala Penyu kekal sebagai kubu kuat BN.

    ReplyDelete
  7. Beliau (Musa) juga berkata Walaupun ada gelombang tapi itu perkara biasa dalam politik. Apa yang penting rakyat membuat keputusan yang bijak dan baik yang membawa kebaikan dan kemakmuran rakyat termasuk di Beaufort

    ReplyDelete
  8. Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan kesungguhan, melalui pelbagai program transformasi pembangunan, untuk memajukan Sabah dan Sarawak setanding dengan negeri lain di negara ini.

    ReplyDelete
  9. "TUJUH wanita besi, satu barisan." Ungkapan ini mungkin boleh diberikan kepada tujuh anggota Parlimen wanita yang dinobat, masing-masing dua sebagai menteri dan lima sebagai timbalan menteri dalam barisan kabinet baru Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Perlantikan mereka sudah tentunya melakar satu lagi sejarah penting dalam pencapaian kaum hawa di negara ini. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan kepada pentingnya sumbangan wanita untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam menentukan hala tuju pembangunan negara terutama menjelang tarikh luput Wawasan 2020.

    ReplyDelete
  10. TERUS DIHARGAI

    Meskipun peratus penyertaan wanita dalam kabinet untuk 2013-2018 boleh dikatakan kecil jika diambil kira jumlah 58 menteri dan timbalan menteri (32 menteri dan 26 timbalan menteri), pemilihan mereka itu sudah cukup membuktikan sumbangan ahli politik wanita tetap dihargai.

    Untuk rekod, seramai 168 calon wanita bertanding merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas. Barisan Nasional (BN) meletakkan calon wanita paling ramai iaitu 22 orang bagi kerusi Parlimen dan 49 orang di Dun.

    ReplyDelete
  11. GANDINGAN

    Ketujuh-tujuh anggota Parlimen wanita yang diumumkan menganggotai barisan jemaah menteri dan timbalan menteri adalah gandingan muka baru dan lama.

    Nama Datuk Rohani Abdul Karim, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Noriah Kasnon, Datuk Halimah Mohamad Sadique dan Datuk Azizah Mohamad Dun bukan orang baru dalam pentas politik tanah air.

    Dua lagi anggota Parlimen wanita yang mungkin boleh dianggap sebagai muka baru dalam arena politik ialah Nancy Shukri dan Datuk Mary Yap Ken Jin.

    Nancy Shukri memenangi kerusi Parlimen P200 Batang Sadong, Sarawak, menewaskan calon Pas, Mohamad Jolhi dengan majoriti 11,260 undi. Mary Yap pula memenangi kerusi Parlimen P190 Tawau, Sabah dalam pertandingan empat penjuru atas tiket BN-Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau menang dengan undi majoriti 4,979 undi.

    Seperkara yang mungkin menjentik perhatian dalam menganalisis barisan jemaah menteri kali ini ialah ketiadaan wakil wanita Umno dilantik ke jawatan Menteri penuh. Ini memandangkan kedua-dua anggota Parlimen wanita yang dilantik ke jawatan Menteri dalam kabinet Najib adalah dari 'Bumi Kenyalang, Sarawak.

    Mereka ialah Rohani, anggota Parlimen Batang Lupar dan Nancy Shukri. Kedua-duanya bertanding atas tiket BN-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

    ReplyDelete
  12. PEMBANGUNAN WANITA

    Seperkara yang juga pasti menarik perhatian dalam barisan jemaah menteri ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kali ini diterajui dua wakil wanita dari Sarawak dan Sabah.

    Jawatan Menteri untuk KPWKM lazimnya disandang anggota Parlimen Wanita Umno. Menterinya yang terakhir ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, wakil Wanita Umno.

    Beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Kementerian itu selepas 8 April 2012, tarikh yang sama tempoh pelantikannya sebagai Senator berakhir.

    Shahrizat tidak bertanding pada PRU13. Rohani, 58, dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sementara Azizah, 58, dilantik sebagai timbalannya.

    Rohani menunjukkan prestasi cemerlang menang kerusi Parlimen Batang Lupar dengan memperoleh 15,625 undi mengalahkan calon PKR, Abang Zulkifli Abang Engkeh dengan majoriti 10,964 undi.

    Beliau sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebelum PRU13. Sementara itu, Azizah ialah anggota Parlimen Beaufort (Sabah). Beliau memenangi kerusi tersebut dalam pertandingan tiga penjuru.

    Beliau juga adalah mantan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah. Berkelulusan undang-undang, Azizah pernah dilantik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia selepas memenangi kerusi Parlimen Beaufort pada 2004. Pada PRU 2008, beliau bertanding kerusi Dun Klias.

    ReplyDelete
  13. PENDIDIKAN MANTAP

    Perlantikan Nancy Shukri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula sudah tentunya disambut dengan penuh kebanggaan khususnya rakyat Sarawak.

    Nancy, 52, sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

    Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Hull, United Kingdom.

    Sudah tentunya dengan latar belakang pendidikan yang begitu mantap, Nancy dapat memainkan peranan besar untuk menyumbang ide-ide yang bernas kepada formulasi serta perlaksanaan program kerajaan terutama yang berkait dengan kepentingan wanita Malaysia.

    ReplyDelete
  14. PENGALAMAN BARU

    Perlantikan anggota Parlimen Papar, Rosnah ke jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya pula memberi peluang kepada beliau untuk menimba pengalaman baru setelah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan sebelum PRU13.

    Rosnah, 41, adalah juga Ketua Pergerakan Puteri Umno. Seperti Rosnah, anggota Parlimen Sungai Besar (Selangor), Noriah turut berpeluang meraih pengalaman baru dengan perlantikannya sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

    Dalam kabinet Najib sebelum PRU13, beliau menyandang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Pertukaran portfolio ini sudah tentunya akan membuka dimensi baru dalam karier politik kedua-dua ahli Parlimen ini.

    ReplyDelete
  15. PERLANTIKAN LAIN

    Anggota Parlimen Tenggara (Johor), Halimah boleh dianggap ahli politik wanita veteran terutamanya dalam pentas politik di negeri Johor Darul Takzim. Beliau memenangi kerusi itu buat kali kedua selepas menang pada pilihan raya umum 2008.

    Halimah ternyata bukan calon yang mudah ditewaskan apabila menang kerusi itu pada PRU13 dengan menewaskan calon Pas, Muhamad Said Jonit dengan memperolehi 25,698 undi, majoriti undi 17,196 undi.

    Ketokohannya membawa kepada perlantikan menduduki kerusi kabinet Najib dengan diberi kepercayaan jawatan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Perlantikan anggota Parlimen Tawau, Sabah, Mary Yap sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 1 mempunyai makna yang sungguh bererti kepada para pendidik tanah air khususnya kerana beliau sendiri adalah tokoh guru.

    Beliau dilaporkan mempunyai lebih 36 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan sebelum bersara pada 2007. Ibarat 'sirih pulang ke gagang', perlantikan Mary Yap sebagai Timbalan

    Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 1 sudah tentunya akan memberi impak besar dalam bidang pendidikan tanah air, khususnya pembangunan modal insan.

    ReplyDelete
  16. PELBAGAI ISU

    Walau apa pun potfolio yang disandang 'wanita-wanita besi' ini, sudah tentunya ramai yang menaruh harapan tinggi supaya mereka akan lantang bersuara dalam memperjuangkan isu kepentingan bersama demi kebaikan semua pihak.

    Masing-masing 'wanita besi' ini mempunyai pengalaman dan kepakaran tersendiri untuk membuat sumbangan dalam merealisasikan program transformasi nasional di samping perlaksanaan manifesto pilihan raya BN.

    Di samping meneruskan usaha memperkasakan kedudukan kaum hawa sama ada yang bekerjaya atau tidak, antara isu lain yang memerlukan perhatian ialah kes-kes gejala sosial yang melibatkan wanita dan remaja wanita termasuk jenayah juvana, peningkatan kelahiran anak tidak sah taraf,'keldai dadah' serta isu-isu kekeluargaan.

    Kesungguhan kerajaan untuk menangani kemelut pembantu rumah dijangka turut menjadi perhatian dengan aku janji menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan Harian 1Malaysia untuk ibu bapa bekerja.

    Walau apa pun, "dayung sudah di tangan, perahu sudah di air" dan tempoh lima tahun mendatang ini sudah pasti menjadi kayu pengukur kepada kemampuan "wanita-wanita besi" ini dalam melaksanakan tugas masing-masing supaya mereka kekal relevan pada PRU14. Tahniah dan Selamat Bertugas untuk mereka!

    ReplyDelete
  17. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kesemua tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang kerana meragui ketelusan suruhanjaya tersebut sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

    ReplyDelete
  18. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, langkah itu selaras dengan tindakan SPR sebelum ini yang telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada 16 Mei lalu berhubung perkara tersebut.

    ReplyDelete
  19. ''Saya dimaklumkan bahawa pihak polis sedang menyiasat dengan teliti setiap tuduhan tidak berasas dan fitnah yang dilemparkan itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

    ReplyDelete
  20. SPR mendapat kerjasama penuh daripada pihak polis bagi menyiasat segala tuduhan itu.

    ReplyDelete
  21. Sebelum ini, pakatan pembangkang mempertikaikan keputusan PRU-13 yang didakwa tidak telus dengan melemparkan pelbagai tuduhan kepada SPR.Bagaimanapun, para pemerhati luar yang terdiri daripada dalam dan luar negara mengakui PRU-13 dijalankan dengan prinsip ketelusan dan semangat demokrasi.

    ReplyDelete
  22. tidak perlulah membesarkan perkara kecil...ada apa2 masalah perlu dibawa berbincang...

    ReplyDelete