Sunday, 26 May 2013

GAMBAR BLACK-OUT ADALAH ASLI






ASLI....Gambar ini adalah asli dan berlaku di Sekolah Kebangsaan Serdang di Saluran 3, Seri Serdang.

Saudara Pengarang,

SAYA mengecam kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan bahawa kejadian 'Blackout 505' yang tersebar di internet dan akhbar adalah fitnah dan lakonan yang dirakam sebelum PRU 13.

Ternyata hasil penelitian dan siasatan awal yang dilakukan beliau bersama pegawai-pegawainya adalah sangat lemah dan hanya sekadar ingin menutup kelemahan sistem pilihanraya yang ada dan menafikan kejadian blackout yang benar-benar berlaku.

Saya ingin menyatakan bahawa gambar yang tersebar tersebut adalah benar dan kejadian itu berlaku di Sekolah Kebangsaan Serdang, di bilik pengiraan undi Saluran 3. 'Counting Agent' kami telah mengambil beberapa gambar sebelum dan selepas kejadian blackout tersebut itu berlaku.

Saya juga melihat beberapa kelemahan Timbalan Pengerusi SPR dalam menilai beberapa aspek dikatakan Prosedur Operasi Standard (SOP) SPR sewaktu hari mengundi pada 5 Mei 2013 yang lalu. Bagaimana beliau sendiri tidak tahu pakaian rasmi petugas-petugas SPR berwarna kelabu pada hari tersebut.

Saya juga berasa hairan kerana beliau juga tidak kenal kotak bekas kiraan undi yang digunakan oleh pihak SPR sendiri. Gambar tersebut dengan jelas menampakkan logo SPR di tepi kotak kiraan undi yang digunakan.

Sewaktu kejadian itu berlaku, wakil calon kami juga telah berusaha membekalkan lampu suluh ke bilik kiraan undi tersebut bagi memastikan proses kiraan undi berjalan dengan lancar. Saya menafikan bahawa terdapat wartawan di lokasi kejadian kerana yang ada hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM), petugas SPR, wakil calon dan anggota polis yang bertugas.

Oleh itu, saya menyarankan agar pihak SPR khususnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian yang mendalam dan mengambil ringan isu yang dibangkitkan oleh rakyat. SPR sebagai badan rasmi yang menguruskan pilihanraya ini mesti dilihat profesional, adil dan telus serta tidak berpihak kepada mana-mana parti.

Salam Hormat,

YB NOOR HANIM ISMAIL
ADUN Seri Serdang.
25 Mei 2013 / 15 REJAB 1434

7 comments:

  1. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Ketari, Lee Chin Chen tampil menafikan dakwaan berlaku gangguan elektrik di pusat penjumlahan undi Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong pada malam 5 Mei lalu.

    ReplyDelete
  2. Penafian pemimpin parti sekutu pakatan pembangkang itu sekali gus membuktikan dakwaan berkenaan yang dilemparkan pihak tertentu, tidak berasas sama sekali dan dipercayai hanya mahu menghasut rakyat kononnya berlaku penipuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

    ReplyDelete
  3. Malah, Chin Chen mengaku beliau berada di dewan berkenaan pada 5 Mei lalu, dari jam 8.30 malam hingga selesai proses penjumlahan undi dan terus menunggu sehingga keputusan PRU-13 bagi DUN Ketari, Bilut dan Sabai diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Toantowee Mohd Lotfie.

    ReplyDelete
  4. “Dakwaan berlaku gangguan elektrik ketika proses pengiraan undi (di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah) adalah tidak benar. Saya ada di sana sejak jam 8.30 malam sampai awal pagi... mana ada gangguan bekalan elektrik pun.

    ReplyDelete
  5. “Ramai orang juga ada di sana... wartawan ada, jurugambar ada, wakil calon bertanding pun ada. Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pegawai dan anggota polis pun ada di sana. Kalau betul berlaku (gangguan elektrik), mesti semua yang ada di sana boleh sahkan,” katanya.

    ReplyDelete
  6. Chin Chen yang menang kerusi DUN Ketari selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Wong Choo Yak dengan majoriti 4,243 undi pada PRU-13, mengaku beliau juga pelik dengan dakwaan itu dan tidak pasti pihak mana yang menyebarkan tuduhan berkenaan.

    ReplyDelete
  7. isu blackout hnya mainnan pembangkang saja.

    ReplyDelete