Friday 31 May 2013

CUBAAN SELUDUP DADAH TUMPAS





DADAH.....Hamzah (dua kiri) menunjukkan ruang beg yang diubahsuai untuk digunakan menyembunyikan dadah terbabit.

KOTA KINABALU: Cubaan seorang wanita tempatan menyeludup dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM500,000 gagal selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini pada 27 Mei lepas.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri, Hamzah Sundang berkata wanita terbabit ditahan oleh pegawai Kastam Cawangan LTAKK kira-kira jam 11.15 pagi selepas pihaknya berjaya mengesan dadah seberat 2.25 kilogram yang disorokkan di dalam beg suspek.

Jelasnya, dadah berkenaan diletakkan di bahagian sulit di dalam beg yang dipercayai diubahsuai untuk menyembunyikan dadah terbabit.

“Siasatan awal mendapati, beg berisi dadah itu dibawa daripada negara India melalui penerbangan ke Changi, Singapura sebelum dibawa ke LTAKK menggunakan penerbangan Silk Air SQ5092.

“Suspek yang berumur lingkungan 40 tahun itu berasal daripada Kuala Lumpur dan juga seorang guru di salah sebuah sekolah swasta.

“Hasil siasatan turut mendapati wanita ini telah berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Nigeria dan saya percaya ini satu kaedah yang dibuat oleh pengedar dadah untuk memperdayakan wanita tempatan supaya dijadikan ‘keldai dadah’,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sejak Isnin lepas untuk siasatan lanjut.

Hamzah menjelaskan, sejak akhir-akhir ini, penyeludup dadah menggunakan teknik baharu penyeludupan dengan menjadikan lapangan terbang tempatan sebagai transit daripada LTAKK.

Tambahnya, berkemungkinan teknik terbabit bagi mengelak daripada dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) kerana pemeriksaan ketat pihak kastam di situ buat masa ini.

Hamzah berkata, kes terbabit adalah yang ketiga dikesan kastam melibatkan dadah di Sabah tahun ini.

Sebelum ini jelasnya, satu kes dilaporkan di Sandakan dengan jumlah rampasan bernilai RM1,000,000 dan di Tawau melibatkan dadah jenis ketamin bernilai RM500,000.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi mana-mana pejabat kastam berdekatan atau menerusi talian bebas tol 1-8000-88-8855,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment