Tuesday 28 May 2013

CHONG KAH KIAT TINGGALKAN MAZU?






KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Yayasan Thean Hou Kudat yang berdepan masalah penyiapan Projek Patung Mazu Kudat.

Menurutnya, beliau membuat keputusan itu kerana Kerajaan Negeri hari ini hampir sama dengan Kerajaan Negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Jadi tidak ada cara projek Patung Mazu itu boleh diteruskan di bawah kepimpinan saya. Kerana itu, saya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Pengerusi.

"Persetujuan untuk saya melepaskan jawatan itu telah diberi oleh Dewa Mazu Sabtu lepas.

"Demikian juga, pelantikan pengganti saya, Lee Chin An juga dikeluarkan oleh Dewa Mazu dengan arahan bahawa Projek Patung Mazu di Kudat itu mesti disiapkan," beliau memberitahu Harian Ekspres.

Lee, seorang ahli perniagaan terkenal di Kudat, kini adalah Pengerusi baru Yayasan Thean Hou Kudat.

Chong, bagaimanapun, berkata tidak ada jangka masa tertentu diberikan oleh Dewa Mazu kepada penggantinya itu.

Mengenai sama ada dia diberi tekanan oleh pihak tertentu, beliau menafikan perkara itu.

"Saya ingin katakan bahawa keputusan saya bersumberkan ilham suci untuk memberi laluan kepada orang lain menjadi peneraju dengan harapan untuk melihat Projek Patung Mazu itu dapat disiapkan."

Majlis untuk melepaskan jawatan dan melantik pengganti itu diadakan di tapak Thean Hou Kudat dan dilakukan perantara Mazu dari Penampang. (WIKISABAH)

No comments:

Post a Comment