Friday 31 May 2013

PRESIDEN UMNO, NAJIB MUNGKIN DICABAR





         
Oleh : AHMAD FADLI KC   

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau dicabar dalam pemilihan parti itu tahun ini; menjawab beliau tidak tahu tetapi menegaskan bahawa umno adalah sebuah parti yang demokratik.

Menjawab soalan wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibunegara petang ini, Najib berkata:

"Anda semua tahu Umno adalah parti yang demokratik. Jadi saya tidak tahu (sama ada akan dicabar). Kita perlu terima Umno adalah parti yang terbuka - tidak seperti parti-parti lain," kata Najib sambil ketawa kecil dalam sidang media selepas mesyuarat MT Umno di PWTC petang tadi.

Dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kerusi Parlimen yang diperolehi BN merosot kepada 133 kerusi Parlimen - kurang tujuh kerusi (140) daripada pilihan raya umum tahun 2008.

Manakala Pakatan Rakyat memperolehi 89 kerusi Parlimen berbanding dengan 82 pada 2008.

Berikutan itu, sepertimana 2008, BN juga gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Umno sebelum ini telah meminda perlembagaan itu dengan menghapuskan sistem kuota untuk sebarang jawatan parti itu termasuk jawatan presiden, mulai pemilihan parti itu yang dijangka hujung tahun ini.

Sebelum itu, jumlah kuota pencalonan diperlukan untuk layak bertanding bagi jawatan tinggi parti, iaitu:

1. Jawatan Presiden: 30 peratus pencalonan (57 daripada 191 bahagian);

2.Timbalan Presiden (20 peratus/38 bahagian);

3. Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian);

4. Ahli Majlis Tertinggi (5 peratus/10 bahagian);

5. Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri (20 peratus/38 bahagian); dan

6. Naib Ketua Wanita, Pemuda, Puteri (15 peratus/28 bahagian).

Cabaran bagi jawatan tertinggi parti itu bukanlah perkara baru dalam Umno. Sejarah parti telah menyaksikan dua kali presiden parti dicabar pada tahun 1978 dan 1987.

Pada 1978, Tun Hussein Onn telah dicabar oleh Datuk Sulaiman Palestin yang merupakan seorang tokoh Umno yang lantang dan pernah memegang jawatan naib ketua Pemuda Umno dan ketua Penerangan Umno.

Hussein mengekalkan jawatan dengan memperolehi 898 undi manakala Sulaiman mendapat 250 undi.

Manakala tahun 1987 menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden Umno.

Mahathir berjaya menewaskan Tengku Razaleigh dengan 40 undi, tetapi pertandingan itu telah memecahkan Umno dan parti itu diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.

Pengharaman itu berpunca daripada tindakan sekumpulan ahli Umno  mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan pemilihan parti itu yang berlangsung pada 24 April, 1987.

Sementara itu, bercakap lanjut, Najib mengumumkan sekretariat lembaga disiplin Umno menerima 99 aduan sabotaj pada PRU13 dan aduan itu akan disiasat dan diputuskan jawatankuasa khas lembaga disiplin Umno.

Mengenai cadangan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal dan bukan sebuah gabungan parti, Najib menegaskan perkara itu perlu turut mengambil kira pandangan dan penerimaan ahli-ahli Umno.

"Kita perlu adakan perbincangan peringkat makmal (BN) dan perlu juga dibuat tinjauan di kalangan ahli Umno.

"Apa-apa perubahan mestilah berdasarkan penerimaan ahli-ahli Umno sendiri," kata Najib.

No comments:

Post a Comment