KUALA LUMPUR : Siasatan awal
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukan sekeping gambar yang dimuatkan di
internet kononnya berlaku insiden lampu padam semasa pengiraan undi pada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu adalah fitnah dan lakonan itu
dirakamkan sebelum PRU13 lagi.
Timbalan Pengerusi SPR,
Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau
bersama pegawai-pegawainya.
"Mereka telah
melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya lagi untuk disebarkan di internet
sebagai helah bagi menunjukkan kononnya berlaku kejadian lampu padam, sedangkan
ini semua cerita karut.
"Pada gambar tersebut
ditunjukkan kononnya petugas SPR sedang mengira kertas undi dan terpaksa
menggunakan lampu bantuan kerana lampu padam sedangkan petugas itu langsung
tidak memakai baju SPR," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru
ini.
Beliau berkata bukti paling
nyata apabila gambar tersebut menunjukkan terdapat ramai pemberita dan
jurugambar berada di dalam tempat pengiraan undi sedangkan hakikatnya tidak ada
sesiapa yang boleh berada di tempat tersebut melainkan petugas SPR dan ejen
calon.
"Prosedur Operasi
Standard (SOP) dan tatacara kerja seperti yang ditunjukkan oleh gambar itu
langsung tidak betul... mereka sudah terlupa, hendak menipu tetapi tidak faham
tatacara kerja dan tidak matang.
"Malah dulang yang
digunakan untuk meletak kertas undi juga bukan dulang SPR, bahan dan saiznya
berbeza.. banyak perkara dalam gambar tidak ikut SOP SPR," katanya.
Wan Ahmad berkata sehingga
kini tiada sebarang laporan polis dibuat berkaitan dakwaan lampu padam dan itu
membuktikan bahawa ia ternyata fitnah pembohongan yang direka-reka dan tidak
berasas.
"Kalau ada lampu padam,
tentulah ada ejen-ejen parti membuat laporan polis, mereka mewakili calon,
mereka ada di tempat mengira undi, jika lampu padam dia yang akan mula-mula
sekali berlari buat laporan polis, tetapi tidak.
"Malah pada malam
pengiraan undi itu juga, saya apabila mendapat 'tweet' mengatakan lampu padam
oleh 'cybertrooper' yang tidak bertanggungjawab, kita terus semak kawasan mana,
kita semak dengan pengarah negeri kita, Pegawai Pengurus dan saluran sekolah
yang dituduh tetapi ternyata tidak ada apa-apa," katanya.
Dalam pada itu, mengenai
dakwaan sebuah akhbar pembangkang bahawa 24 petugas SPR di Besut, Terengganu
telah dikurung bagi memangkah kertas undi, Wan Ahmad berkata beliau menyerahkan
kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Beliau berkata namun kesemua
mereka dipercayai masuk ke satu bilik itu untuk memangkah kertas undi
masing-masing memandangkan kesemua mereka mengundi secara pos kerana bertugas
pada PRU13.
"Salah seorang daripada
mereka didapati telah membuat laporan polis... itu keputusan yang bagus dan
betul agar polis dapat membuka kertas siasatan.
"Namun dipercayai
mereka mendapat sampul surat yang berisi kertas undi untuk mengundi cara pos
dan itu hak mereka untuk pangkah di mana-mana lokasi termasuk di dalam bilik
yang dikatakan itu.. namun apa yang sebenarnya berlaku kita tidak tahu,"
katanya.
Katanya, masyarakat tidak
harus membuat andaian dan rumusan sendiri dengan hanya membaca melalui media
pembangkang sedangkan semua yang dilaporkan berkaitan SPR adalah buruk dan
berbaur fitnah.
Sementara itu, Wan Ahmad
berkata cadangan pembangkang agar Tribunal Rakyat ditubuhkan adalah amat
berbahaya kerana ia membelakangkan perlembagaan dan undang-undang negara.
"Siapa yang akan
mewakili Tribunal Rakyat itu? Orang-orang mereka, pemimpin NGO yang selama ini
yang menentang sistem dan dasar pilihan raya? Mereka yang menyemai budaya tidak
baik dan tidak sopan pada anak muda?," katanya. (Bernama)
tidak heran.. pembangkang mmg pembohong
ReplyDelete