DENGAR....NAJIB Tun Razak mendengar penerangan
daripada Pengarah Projek MRT, Marcus Krakashian (kanan) mengenai Mesin Pengorek
Terowong (TBM) Pelbagai Ketumpatan pada majlis pelancaran mesin itu di depoh
MRT Portal Cochrane, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh
: RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA
LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Mesin Pengorek Terowong (TBM)
Pelbagai Ketumpatan pertama dunia bagi pembinaan terowong projek Mass Rapid
Transit (MRT) yang dibina khas secara bersama oleh syarikat tempatan, MMC
Gamuda KVMRT Tunneling Sdn. Bhd. dengan syarikat Jerman, Herrenknecht AG.
Perdana
Menteri berkata, projek itu membuka satu lembaran baru dalam memartabatkan
kebolehan syarikat serta rakyat Malaysia dan contoh terbaik bagi membolehkan
negara muncul sebagai pelopor dalam bidang yang amat khusus iaitu pembinaan
terowong.
Kata
beliau, keupayaan MMC Gamuda KVMRT bekerjasama dengan Herrenknecht selaku
pembina TBM terulung dunia merupakan bukti keupayaan syarikat tempatan dalam
menjana idea yang mampu mengubah sesebuah industri.
"Industri
pembinaan terowong ini adalah satu industri yang akan terus berkembang di masa
hadapan.
"Jika
Malaysia terus membina keupayaannya dalam bidang ini, satu hari nanti tidak
mustahil Malaysia sendiri akan menjadi pendahulu industri berteknologi tinggi
yang amat kompetitif bukan sahaja di rantau ini tetapi dunia," katanya
ketika berucap melancarkan TBM tersebut di MRT Portal Cochrane di sini hari
ini.
Pelancaran
itu menandakan permulaan penggalian terowong sepanjang 9.5 kilometer untuk
projek MRT jajaran pertama dari Portal Semantan di Jalan Duta ke Portal Maluri
di Cheras.
Yang
hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa merangkap
Pengerusi MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.); Pengerusi Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai
Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid.
Najib
menambah, pelancaran itu membuktikan kerajaan komited dalam memberikan
kemudahan terbaik kepada rakyat terutama di Lembah Klang di bawah Bidang Utama
Ekonomi Negara (NKEA) dan program Transformasi Ekonomi 'Greater Kuala
Lumpur/Klang Valley.'
Katanya,
dalam penggal pertama pentadbirannya yang lalu, beliau memilih untuk
mengutamakan pencapaian sebagai penanda aras kerajaan dan usaha agar Malaysia
mampu menjadi sebuah negara moden dan maju menjelang 2020.
"Dengan
mandat baharu daripada rakyat Malaysia, saya akan memastikan semua inisiatif
yang telah dilancarkan akan diteruskan dan mencapai sasaran ditetapkan,"
katanya.
Dalam
pada itu, Azhar berkata, projek MRT jajaran pertama dari Sungai Buloh-Kajang
dijangka siap pada penghujung 2016 serta mula beroperasi Julai 2017 dan MRT
Corp. kini menunggu cadangan SPAD untuk pembinaan projek jajaran kedua MRT.
"Apabila
diputuskan (projek jajaran kedua MRT), pengumuman akan dibuat oleh kerajaan
pada masa bersesuaian," katanya.
Mengulas
mengenai penggalian terowong MRT menggunakan TBM Pelbagai Ketumpatan itu,
katanya, ia perlu direka khas ekoran kepelbagaian struktur tanah serta batu
yang pelbagai di Lembah Klang, terutama formasi batu kapur yang rumit.
Katanya,
sebanyak enam TBM Pelbagai Ketumpatan berharga RM50 juta sebuah dan empat TBM
'Earth Pressure Balance' (RM30 juta sebuah) digunakan dalam projek MRT dan
setiap satu mampu mengorek sejauh tujuh hingga lapan meter sehari. (UM)
No comments:
Post a Comment