Friday 10 May 2013

DPMM AKAN TUBUH NERC.






SIDANG....Datuk Syed Ali Alattas mengadakan sidang media khas berhubung pilihan raya di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan menubuhkan Majlis Penyepaduan Ekonomi Nasional (NERC) bagi mewujudkan jaringan kerjasama perniagaan antara kaum.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Datuk Syed Ali Alattas, berkata dalam sesuatu perniagaan perkara yang paling penting adalah jaringan antara ramai peniaga.
“Jika kerjasama tak ada macam mana nak berniaga... sebagai contoh kalau nak bina sesuatu bangunan, kita mesti ada pembekal dan ketika ini pembekal semua terdiri daripada orang Cina.


“Sebab itu kita kena tubuhkan NERC bagi mengelakkan ada perniagaan terjejas dan tergugat,” katanya pada sidang media di Bangunan DPMM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis berkenaan akan dianggotai 30 ahli yang terdiri daripada beberapa perwakilan perniagaan seluruh negara membabitkan 10 wakil daripada DPMM dan MTEM, 10 wakil parti politik serta 10 kalangan profesional.

Ditanya mengenai pembentukan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), Syed Ali berharap supaya kerajaan dapat mewujudkan kembali kementerian itu bagi menggalakkan pembangunan usahawan yang berkualiti di kalangan Bumiputera.

“Kementerian ini adalah cadangan asal daripada DPMM pada Kongres Ekonomi Melayu ke-4, namun ia dibatalkan pada 2009. Saya dah beritahu Perdana Menteri bahawa orang Melayu tak gembira dengan pemansuhan kementerian itu,” katanya.
MECD ditubuhkan pada 2004, berperanan sebagai agensi utama bagi pembangunan usahawan Bumiputera.

No comments:

Post a Comment