Thursday 30 May 2013

KEBANGKITAN BARU POLITIK DI SABAH







Oleh : DANIEL JEBON JANAUN



DUA hari lalu, 28 Mei 2013, maka 23 hari telah berlalu PRU 2013. Apabila kita menjumlahkan 2+3, jawapannya 5. Angka ini mengingatkan kita pada tarikh  negara kita mengadakan pilihan raya pada 5 Mei 2013 yang lalu untuk kali yang ke-13.

Sementara itu, apabila kita menjumlahkan 2+8 (iaitu tarikh 28) pula jawapannya 10, sama dengan jumlah 5+5. Angka 10 ini amat signifikan dalam sejarah baru politik di Sabah. Saya akan menerangkan hal ini dengan lebih terperinci dalam artikel ini.

Apabila kita menjumlahkan 5+5+2+0+1+3 (iaitu tarikh 5 Mei 2013), jawapannya 16, sama jumlah apabila digabungkan 2+8+2+0+1+3 (tarikh 28 dan tahun 2013).

Sesungguhnya, angka 16 adalah angka yang relevan dan penting bagi rakyat di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak kerana pada 16 September 1963, Malaysia dibentuk. Inilah asas bagi perjuangan murni menuntut hak-hak Sabah dan rakyatnya yang telah dinafikan oleh pemerintah Malaya.

Dalam konteks artikel ini, STAR merupakan satu-satunya parti politik di Malaysia yang mencatat sejarah yang unik, istimewa, dan hebat dalam PRU 2013.

Sehubungan itu, sejarah tersebut tidak wajar diperkecil atau diperlekehkan oleh mana-mana pihak sebaliknya perlu diperhatikan dengan adil dan saksama.

Memang banyak keunikan yang dicapai oleh STAR, namun, dalam artikel kali ini, saya cuma memberikan fokus terhadap penglibatan dan perjuangan guru. Sesungguhnya Angka 10 yang saya nyatakan di atas itu ada mesejnya.

Angka 10

Tahukah anda bahawa dalam PRU 2013, seramai 10 orang guru telah bertanding atas  tiket STAR? Sesungguhnya, untuk bertanding dalam PRU, guru tersebut perlu meletakkan jawatan terlebih dahulu selaras dengan peraturan Kerajaan bahawa calon yang bertanding hendaklah tidak memegang "jawatan yang berpendapatan"? Siapakah pejuang hebat dan pencipta sejarah baru politik di Sabah ini?

Berikut adalah senarai sepuluh orang guru yang telah bertanding dalam PRU 2013 di Sabah.

N3 Pitas -  MAKLIN BIN MASIAU (Undi: 3,111)
N37 Sook - KUSTIN LADI (Undi: 2,828)
N5 Tandek - JEBON JANAUN (Undi: 2,668)
N40 Labuk - PINUS GONDILI (Undi: 1,238)
N47 Kuamut - EDWARD PODOK (Undi: 1,196)
N36 Kemabong - TAY JIN KIONG @ ALFRED  (Undi: 1,155)
N31 Paginatan - FEDDRIN TULIANG (Undi: 1,139)
N30 Karanaan - JALIBIN PAIDI (Undi: 1,067)
N39 Sugut - MASIA WAN KUNCHING (Undi: 341)
P181 Tenom - HASMIN @ AZROY ABDULLAH (Undi: 2,449)

Perjuangan dan Pengorbanan

Sepuluh orang bukanlah sedikit. Daripada 10 orang guru tersebut, 9 orang daripadanya bertanding di kerusi DUN, manakala 1 orang yang lain bertanding di kerusi Parlimen. Sekali lagi apabila kita menjumlahkan 9+1, jawapannya 10. Angka 10 itu besar ertinya dalam gerakan nasionalisme Sabah pasca PRU 2013.

Tentu saja kita perlu mengambil iktibar dan merenung sedalam-dalamnya mengenai kebangkitan baru politik di Sabah ini. Kenapakah begitu ramai guru yang sanggup berjuang dan berkorban? Apakah sebenarnya yang berlaku ke atas Sabah? Adakah guru-guru ini tidak berfikir akan risiko yang mereka hadapi apabila meletakkan jawatan?

Banyak persoalan yang boleh dibangkitkan. Jawapan kepada kesemua persoalan itu terletak pada kata perjuangan dan pengorbanan demi Sabah tanah air kita yang tercinta ini.

Sesungguhnya, hak Sabah dan rakyatnya seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, Perkara 20, IGC, Suruhanjaya Cobbold tidak dipatuhi oleh pemerintah Malaya. Sabah dan Sarawak dizalimi dari segi politik dan ekonomi.

Kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku ke atas Sabah dan rakyatnya menjadi asas kebangkitan baru pejuang nasionalisme dan patriotisme Sabah dalam kalangan guru. Kebangkitan mereka akan terus terserlah.

Sejarah Unik

Setahu saya, dalam PRU 2013, tiada satu pun parti di Malaysia, baik dari BN mahupun dari PR yang mempunyai calon seramai itu dari kalangan guru yang bertanding dalam pilihan raya.

Malah sejak Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, tidak pernah tercatat dalam sejarah politik di Sabah, begitu ramai guru yang meletakkan jawatan, berjuang di gelanggang. Hanya pada PRU 2013 sejarah demikian tercatat.

Ini bererti, parti STAR sekali lagi mencipta sejarah baru di Sabah. Sejarah ini tidak dapat dipertikaikan dan ia akan direkodkan dalam dokumen sejarah. Sesungguhnya, inilah Kebangkitan Baru Politik Sabah.

Walau tiada seorang pun antara 10 orang guru yang bertanding itu yang menang dalam PRU 2013, mereka sebenarnya telah membawa impak yang besar dalam lanskap politik tanah air. Penglibatan ini tidak akan dilupakan, malah ia membawa sinar dan harapan baru dalam politik Sabah. Hanya saja para pejuang ini perlu terus tampil ke hadapan.

Jadi, Apa Selepas Ini?

Jadi, persoalannya, apa selepas ini? Dari segi kelangsungan hidup mereka, tentu saja setiap orang guru yang telah mengambil keputusan untuk berjuang dan seterusnya melepaskan jawatan mereka sebagai penjawat awam, mempunyai perancangan masing-masing untuk terus membawa impak kepada diri, keluarga, dan masyarakat.

Dari segi politik pula, saya yakin bahawa mereka akan terus terlibat dalam pembangunan komuniti dan mengasah bakat politik mereka dengan lebih tajam dan berkesan.

Sudah tentu, rakyat telah membuka mata mengenai kejujuran dan keikhlasan guru-guru ini berjuang untuk membela nasib rakyat. Jangan ada sesiapa pun cuba memperkecilkan penglibatan guru ini.

Buat masa ini, saya melihat hal ini merupakan satu Kebangkitan Baru Politik Sabah. Ribuan guru telah terlibat dalam gerakan kebangkitan nasionalisme Sabah, baik secara terang-terangan mahupun secara tersembunyi.

Untuk lebih mudah diingat, saya fikir untuk menamakan gerakan kebangkitan ini sebagai M-10 (Ten Movement), iaitu Gerakan Pejuang Sepuluh sebagai penghargaan dan penghormatan kepada 10 orang guru yang telah meletakkan jawatan dan seterusnya diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam PRU 2013.

Namun, perlu saya tegaskan bahawa Gerakan Pejuang Sepuluh (Ten Movement) ini sama sekali tidak menafikan para pejuang yang lain. Mari kita terus berjuang.

No comments:

Post a Comment