Wednesday 24 November 2010

PPHT SEMPORNA TIDAK ADA KUASA BATAL PT?




Saudara Pengarang,

SUKACITA saya menujukan surat terbuka ini kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah Semporna (PPHT), Pengarah Tanah dan Ukur serta Ketua Menteri Sabah berhubung permohonan tanah saya PT 95120160 di Jalan Kastam, Semporna.

Saya juga ingin merujuk surat PPHT SEMPORNA bertarikh 23 November 2010 Bil:PPHT/SEM:16/02/16 VOL.III iaitu tindakan yang diambil selepas hampir 10 tahun permohonan dibuat dan tidak pernah menjawab atau memberitahu sebarang kedudukan sejak 2002 sehingga 2010 berhubung PT yang telah saya diusahakan.

Nampaknya PPHT (Pegawai Daerah Semporna) tidak bekerja dengan professional dan bertindak secara tidak adil dan tidak beretika serta mengikut kehendak hawa nafsu dan perasaan sendiri apabila tidak bersetuju dengan soal tanah yang beliau rasa ada kuasa menentukannya (Tetapi sebenarnya beliau tiada hak berbuat demikian).

Sayang sekali PPHT Semporna, sebagai seorang Pegawai Daerah bertindak seperti dijangka iaitu ‘melontar batu lalu menyembunyikan tangan’ dengan menggunakan orang bawahannya untuk mengeluarkkan surat pembatalan permohonan yang telah diluluskan secara teratur, lengkap dan menunggu proses pengukuran serta geran daripada Setiausaha Hasil Bumi, Kota Kinabalu.

PPHT Semporna, Ibnu AK Baba telah mengarah Penolong Pegawai Daerah Semporna, Narsih Bin Nasuri melalui SMS untuk membatalkan permohonan tanah saya setelah beliau gagal bertindak secara professional dan marah kerana saya terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut Hak Tanah Rakyat Semporna.

Tindakan PPHT ini adalah ‘Ultra-Vires’ kerana membuat sesuatu tindakan di luar bidang kuasanya dan menyembunyikan fakta sebenar serta ada unsur tidak sihat.

Sepatutnya PPHT merangkap Pegawai Daerah ini disumbat ke lokap dan disiasat SPRM kerana terlibat dengan Skandal Projek Pelancongan bernilai RM1.5 juta yang tidak mendapat sokongan Persatuan Pelancungan Daerah Semporna sehingga mengheret Menteri Pelancongan dalam pertikaian tersebut.

PT di atas telah diusahakan sejak 1996 itu dengan ratusan ribu ringgit wang peribadi dikeluarkan setelah mendapat kebenaran dari PPHT terdahulu; namun PPHT yang baru tidak mengiktiraf keputusan PPHT lama.

Sebagai anak negeri Sabah, saya telah berusaha bersaing dalam bidang pelancoungan untuk memajukan diri bersama pihak luar daerah itu, namun usaha itu dipandang sebagai ancaman kepada golongan kapitalis dan dihalang pula oleh Pegawai Daerah ini tanpa usul periksa.

Secara kronologinya, pada 1994 -Tanah berkenaan telah diluluskan oleh pihak Hasil Bumi khasnya, Ketua Menteri Sabah iaitu pada 24 Disember 1994 secara prinsipnya melalui surat JKM SUS 38(94) dan Rujukan SUHB MNR.109/56 VOL.2/116. Bertarikh 8hb.Feb 1995, kepada Pemohon. (Surat Kelulusan dan Nota Bidai Ketua Menteri ada disertakan).



Pada 1995 -Didaftarkan atas PT: 95120160 pada 19 April 1995, sementara Jadual 13 Land Ordinan Cap. 68 di bawah seksyen 13 telah dilaksanakan sepenuhnya pada 13 Disember 1995 dan keputusan ‘TANPA BANTAHAN’ daripada orang yang berkepentingan.

Selanjutnya, pada 1996 - Perakuan kelulusan telah dikemukakan kepada Pengarah Tanah Kota Kinabalu iaitu pada 5 Feb 1996 melalui Rujukan Dos ( L ) 114/95 oleh PPHT Semporna.

Pada 1998 - Pengarah Tanah dan Ukur Kota Kinabalu telah mengemukakan ‘Perakuan Kelulusan’ kepada SUHB pada sejak 17 April 1998 melalui satu rasminya L.S 1202.1.1362/20.

Pada 18 Oktober 2001, satu surat dikeluarkan oleh PPHT Semporna melalui jawabannya kepada SUHB, hasil dari penyelesaian dengan pihak SUHB mengenai pertikaian ‘Tafsiran Zoning’ terhadap surat yang dikeluarkan sekarang iaitu selepas 10 tahun dan seramai lima Pegawai Daerah telah bertukar dari Semporna.

Dengan adanya surat di atas, SUHB 14 September 2001 sudah ‘Tidak Relevan’ lagi dan tidak boleh dijadikan alasan pembatalan tanah PT di atas kerana ‘Proses Pemilikan Tanah’ telah berterusan di antara saya dan pihak kerajaan.

Pada 2002 - Saya juga telah mendapat kebenaran khas untuk memasuki tanah ini sejak 12 September 2001 melalui satu surat Ruj : Dos (L) 114/95, proses membangun secara perlahan telah dilaksanakan sejak tarikh tersebut melalui peraturan dan kuasa-kuasa tanah telah dilaksanakan.

Pada 2005, berlaku perbalahan antara Pemohon PT 95120160 dan Kepalai Resort Sdn Bhd, sebuah syarikat pelancongan yang telah menyebabkan seorang penduduk tempatan ‘dilokap’ kerana Kepalai Resort telah memohon Pulau Kepalai dan akhirnya diberikan kepada Kepalai Resort Sdn Bhd; sementara penduduk tempatan, Abdul Gaffar terpaksa masuk lokap kerana konspirasi di kalangan orang tertentu.

Pada masa yang sama, Kepalai Resort berkehendakkan tanah berkenaan iaitu PT di atas dengan mempengaruhi beberapa kakitangan PPHT untuk membuat ‘kerja kotor’, namum penyelesaian telah dicapai di hadapan Timbalan Pengarah Tanah Sabah (Haji Dahlan) kerana sempadan telah ditetapkan oleh pihak Juru ukur sendiri.

Pada 22 Jun 2005, satu laporan Merinyu Tanah telah dibuat oleh Juru Ukur Daerah Semporna yang menyatakan kedudukan sempadan tanah PT di atas secara tepat dan kami menganggap masalah pertindihan antara dua belah pihak telah selesai.

Masalah timbul semula apabila PPHT telah melanggar sekali lagi kawasan ini dan membena bangunan CIQS (Custom Immigresen Quarantine Semporna) pada tahun ini kerana pembenaan Bangunan itu termasuk dalam tanah yang telah diluluskan untuk pembangunan kepada saya.

Bantahan telah dibuat kepada PPHT Semporna secara lisan dan PPHT meminta di-ukur semula kedudukan sempadan tanah, tetapi PPHT tidak membuat kerjanya selain mencari jalan keluar kerana telah melanggar satu peraturan tanah terhadap hak rakyat tempatan.

Mungkin PPHT mencari jalan keluar kerana kesilapan bertindak tanpa usul periksa terhadap Tanah dan Hak orang orang tertentu.

Pada masa yang sama golonga kapitalis terus menikmati tanah tanah di kawasan itu walaupun secara songsang.

Kelulusan dan geran tanah baru yang dikeluarkan di kawasan berkenaan hanya menandakan betapa ‘TIDAK ADIL’nya tindakan PPHT kepada saya selaku Anak Negeri Sabah (Bumiputera).

Mengikut semakan saya, PPHT telah mengeluarkan geran kepada;

1. Semporna Ocean Sdn Bhd - Datuk Gan Nam Lee - 10 ekar Tambahan 4 ekar
2. Dolton Sdn Bhd - YB Jimmy Wong - 10 ekar
3. Kepalai Resort Sdn Bhd – Chun Choau Long - ½ ekar
4. SEDCO Sdn Bhd – Subsidiaries Kerajaan Negeri Sabah - 40 ekar
5. Seafest Hotel – Datuk Chua – 4 ekar dan terbaharu Tanah SPA 10 ekar.
6. Dan banyak lagi saya tidak ketahui.

Sebagai Anak Negeri Sabah yang memohon satu ekar dengan menurut semua proses pendaftaran dan undang-undang Tanah Bab 68, serta pemohon tunggal Bumiputera di kawasan berkenaan nampaknya diperbodohkan oleh pegawai kerajaan terutama Pegawai Daerah Semporna ini.

Saya harap perkara ini dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa sebelum rakyat bangkit menyatakan bantahan. Saya memohon kepada Pegawai Daerah Semporna dan PPHT Semporna supaya bertindak adil dan saksama kepada penduduk tempatan dan Bumiputera untuk menguat-kuasakan Peraturan Tanah Dan Undang Undang Tanah di daerah ini kepada semua pihak dan bukan kepada pihak penduduk tempatan serta Bumiputera sahaja.

Saya turut menggesa agar PPHT merobohkan semua struktur Pelancongan yang tiada kelulusan di Daerah Semporna dan saya difahamkan 99% struktur pelancongan di daerah ini dibuat secara ‘HARAM’ dan sewajarnya membuka mata SPRM yang berada di seberang lautan.

Saya turut mendesak agar PPHT merobohkan dan membatalkan permohonan Kepalai Resort Sdn Bhd yang membena Jeti di atas Tanah Kerajaan di Jalan Kastam sejak 15 tahun lalu tanpa sebarang permohonan dan kelulusan dari pihak berkuasa.

Begitu juga dengan permohonan tanah Datuk Gan Nam Lee yang telah mengambil 20 kaki hak awam ‘Road Reserve’ yang telah ditimbus untuk kepentingan diri sendiri sejak 20 tahun lalu wajar disiasat SPRM kerana ada pihak yang mencuri di siang bolong.

PPHT sewajarnya membatalkan beberapa kelulusan yang diberikan kepada YB atau ADUN di kawasan Hutan Simpan Paya reserve Bakau, Laut dan kawasan lain yang diambil secara songsang dan tidak berperaturan.

Saya mendesak agar PPHT berlaku adil kepada semua rakyat Daerah ini kerana PPHT bukanlah SULTAN MAHMUD SAH yang secara wewenang merampas hak rakyat di Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan jangan memperbodohkan rakyat dengan tindakan birokrasi yang tidak adil ini.

Undang-Undang haruslah dikuat-kuasakan untuk semua, bukan untuk golongan tertentu sahaja kerana pertimbangan sewajar harus diberikan kepada bumiputera dan penduduk tempatan yang amat memerlukan sokongan pihak berkuasa untuk berjaya dan maju, berbanding golongan kapitalis yang datang dengan wang dan modal besar.

Wassalam.

Salam Hormat,

ABDULLAH SANI HJ ABDUL SALLEH
Pemilik PT 95120160.

(Nota: Surat aduan rasmi kepada SPRM akan difailkan dalam waktu 14 hari setelah surat terbuka ini disiarkan)

1 comment: