Saturday, 6 November 2010

SAPP DAN PKR HAPRAK DI BATU SAPI?



Oleh: ISMAILY BUNGSU

KEKALAHAN PKR dan SAPP memang sudah saya duga di Batu Sapi dan makanya, pada mulanya saya mencadangkan agar Yong Teck Lee bertanding bagi pihak Pakatan, tetapi kelihatannya Pakatanpun mahu dan akhirnya begitulah. Haprak!

Bila saja Pakatan bertanding dan SAPP juga mahu memperlihatkan taringnya, maka dalam kepala saya bahawa kedua parti akan tersungkur dan kerusi itu semula dimiliki oleh BN dan kenyataan memang benar sebab kemenangan BN dahulupun melebihi 3,000 undi sesuatu yang berat untuk dijatuhkan.

BN meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calon dan tujuannya ialah untuk mendapatkan undi simpati dan kelihatannya dia tidak bermasalah meskipun bukan orang politik sepenuh masa dan pemilihan Linda tidak ada masalah di kalangan ahli-ahli BN sendiri dan semuanya berjalan dengan baik.

Sementara di Pakatan pula sebaik saja diumumkan, ramai meninggalkan dewan dan ini bermakna ramai tidak setuju dan ini merupakan titik pertama kekalahan Pakatan dan apa lagi setelah itu ada pula kes gaduh di Lapangan Terbang Sandakan yang mencipta dendam dan kelihatan ketidak sepakatan itu jelas membawa padah dari segi pandangan orang luar dan diketawakan oleh parti pemerintah.

Sementara Yong pula yang mencuba nasib kerana dia berfikiran rakyat masih sukakan dia dan jangan lupa di Batu Sapi bumiputera ialah 60% dan mereka itu kebanyakannya orang Bajau dan PATI, termasuk sedikit Bugis/pengundi yang datangkan di kawasan DUN Datuk Musa dan ini memang sukar buat Yong Teck Lee meskipun dia berkeyakian menang dan punya cita-cita besar yang barangkali menginginkan kerusi Ketua Menteri pada pilihanraya umum akan datang.

Kedua-dua calon baik pakatan atau SAPP adalah orang luar yang tidak ada kaitan di Batu sapi dan kelihatannya kemasukan Nahalan menyokong SAPP ada sedikit/tidak banyak yang bisa membantu Datuk Yong Teck Lee dan ini cukup meyakinkan diri Yong untuk menang, tetapi pengaruh Nahalan sebenanya tidaklah hebat sangat.

PRK bukan untuk menukar kerajaan dan rakyat berfikir sama ada mengundi BN atau keduanya adalah sama, maka lebih baik mereka mengundi BN; apatah lagi BN sendiri menabur wang dan bantuan zing dan segala macam bantuan.

Kelihatannya rakyat Sabah yang memang miskin akan ingat budi orang meski bantuan itu sedikit, tetapi bagi mereka yang miskin itu besar maknanya dan kerana itu BN lebih suka rakyat Sabah miskin agar nanti boleh ‘dibeli’ dan ‘dibuli’ sebab miskin itu menghampiri alam kufur.

Faktor kedua pula, pada mulanya rakyat mengharapkan satu lawan satu untuk mengajar BN, akan tetapi di pihak pembangkang sendiri tidak bersatu dan masing-masing mahu memperlihatkan kehebatan, maka rakyat jadi keliru dan dalam keadaan keliru itulah mereka sukar berfikir dan akhirnya mengundi BN setelah ditabur dengan wang secara sulit.

Dr Jeffrey Kitingan selaku Naib presiden PKR telah mengeluarkan kenyataan agar mengundi mana saja salah satu pembangkang dan kenyataan ini kelihatannya semacam serba salah dan pengundi lagi keliru seolah-olah beliau tidak merestui pilihan Anwar untuk Haji Ansari mewakili Pakatan. Senario cukup mengelirukan rakyat. Sepatut selaku Naib Presiden, meski tidak suka, dia harus menyokong siapa saja calon Pakatan terutama sekali PKR, tetapi sebaliknya tidak ini kelihatannya bukan mengangkat parti, tetapi lebih memikirkan peribadi.

Di mana-mana saja, bila ada pilihanraya kecil, segala jentera kerajaan akan dikerah dan segala peruntukan yang ada di setiap jabatan diumum untuk dicurahkan di kawasan berkenaan dan ini akan menyebabkan durian runtuh bagi sesuatu kawasan pilihanraya dan ini tentu saja bakal menguntungkan kawasan berkenaan. Apa lagi taburan wang ringgit biasanya mencurah-curah dan ketika itu apa saja diminta, biasanya akan diperolehi.

Nah, tentu saja di kawasan itu akan dibanjiri oleh orang luar, Kalangan Menteri Persekutuan dan Negeri yang semacam berpesta dan ini menyebabkan rakyat suka dan lupa. Ketika itu, semuanya berwajah baik belaka dengan janji segala macam kecuali bulan dan bintang, sedang PKR atau SAPP hanya berkempen secara lurus bendul dengan ‘air liur’ dan trend politik di Sabah bukan demikian, tetapi dengan wang dan janji BN. Janji seorang menteri lebih dipercayai dibanding janji PKR atau SAPP yang bukan kerajaan. Inilah hakikatnya.

Oleh sebab di kawasan berkenaan memang kebanyakannya undi PATI dan ketika PKR berkempen tentunya serba salah menyebut hal ini dan kalau ini disebut maka PATI yang mendapat kad akan khuatir dan tentu saja mereka tidak akan mengundi PKR, makanya untuk menyebut perkara ini kena fikir dua tiga kali dan PKR dalam keadaan serba salah.

Memang bermacam lagi kelemahan yang saya lihat dari kaca mata yang jauh meski tidak ke Batu Sapi dan kelemahan paling buruk ialah kedua-dua parti pembangkang ini degil dan mahu memperlihatkan kehebatan masing-masing dan tidak memikirkan kemenangan. Dengan ini barangkali perlu saya ucapkan tahniah kepada DAP yang rela tidak mahu bertanding sebab kes di Badar kota Kinabalu telah cukup mengajar mereka dan kesannya kedua-dua putih mata.

Saya melihat Pakatan masih ada harapan pada pilihanraya umum akan datang dengan syarat SAPP dan DAPP bisa duduk semeja bersama PKR dan PAS dan kalau ini boleh dilakukan, maka saya percaya kerusi Parlimen di kawasan bandar akan jatuh kepada Pakatan. Jika menjadi reality, Pakatan Rakyat akan mendapat lebih kerusi MP dengan bantuan Sarawak/ Sabah kerana sudah pasti BN akan kecundang juga akhirnya (jika diizinkan Allah).

Tapi, persoalannya sekarang dapatkah SAPP duduk semeja dan sama bertindak sekata arah satu hala untuk menumbangkan BN? Kalau tidak, sebaiknya SAPP gulung tikar sahaja dan tidur; serta tidak usah berpolitik selagi ada sikap ‘kepala batu’ dan sebelum tidur dengarlah lagi ‘Black Dog Bone’ berjodol ‘Geram’.

No comments:

Post a Comment