Thursday, 23 February 2012

NIK AZIZ SUDAH FAHAM, KINI GILIRAN DAP

Oleh : AZMAN ARIFFIN

PENERIMAAN Datuk Nik Aziz Nik Mat ke atas penjelasan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam soal melindungi keselamatan Israel yang hebat diperkatakan sejak ia tersiar dalam akhbar The Wall Street Journal (TWSJ) pada Januari lepas, begitu menggembirakan penulis.

Walaupun tidak disebutkan di mana-mana tapi berdasarkan kenyataan media Anwar tadi, penulis rasa Nik Aziz sudah menerima kenyataan bahawa melindungi keselamatan Israel yang disebutkan Anwar dalam temuramah dengan TWSJ itu adalah sebahagian daripada konsep penyelesaian dua negara yang diterima banyak pihak di dunia.

Penulis akui, Anwar tidak menjawab terus kepada Majlis Syura Ulama seperti mana harapan PAS pada awalnya, tapi ini adalah masalah kecil. Nik Aziz atas kapasiti sebagai ketua Majlis Syura Ulama boleh menjelaskan kepada ahli-ahli majlis tersebut dalam suasana yang difikirkan lebih kondusif untuk mereka.

Lagipun penulis rasa, bukan sebarang orang mampu melihat kenyataan Anwar itu dari konteks yang betul seperti Nik Aziz, apatah lagi di kalangan ahli-ahli Majlis Syura Ulama yang terlalu dibayangi dengan pemikiran sempit mengenai konflik antarabangsa Palestin-Israel ini.

Begitu juga halnya dengan keengganan Anwar mematuhi kata dua Majlis Syura Ulama PAS yang mahukan beliau menarik balik kenyataan tersebut atau menyaman TWSJ, ia juga tidak seharusnya dipanjangkan lagi setelah Nik Aziz sendiri menerima penjelasan Anwar berhubung hal tersebut.

Selain tidak tertakluk kepada arahan Majlis Syura Ulama, bukan layaknya Anwar sebagai pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat menjawab kepada ahli-ahli biasa Majlis Syura Ulama PAS. Takut-takut nanti lain yang disampaikan, lain pulak yang difahami mereka. Cukuplah kepada Nik Aziz sahaja.

Lebih utama lagi, sememangnya inilah harapan penyokong Pakatan Rakyat untuk melihat wujudnya kesefahaman antara pemimpin parti komponen kita dalam sesuatu isu melibatkan dasar.

Dari awal lagi penulis sudah katakan bahawa Nik Aziz telah diberikan maklumat yang salah berkenaan dengan isu ini dan terbukti setelah mendengar sendiri penjelasan Anwar, Nik Aziz menerimanya dengan baik.

Penulis yakin UMNO akan memandang hal ini sebagai kelemahan Nik Aziz kerana ‘tunduk’ kepada Anwar. Ini adalah hakikat yang sudah dalam perkiraan dan jangkaan. Sememangnya UMNO/BN tidak senang dengan persepakatan baik yang tercipta antara Anwar dan Nik Aziz.

Hakikatnya ini bukan soal siapa tunduk kepada siapa, ini soal menjelaskan kenyataan sebenar yang telah diputar belitkan banyak pihak.

Tugas seterusnya ialah memberi kefahaman yang sama kepada DAP pula. Seperti yang penulis laporkan sebelum ini, pemimpin-pemimpin DAP juga tidak senang dengan kenyataan Anwar itu seperti dinyatakan oleh Setiausaha Publisitinya, Tony Pua.

Bagaimanapun penulis tidak melihat satu masalah yang besar untuk memahamkan DAP dalam isu ini. Dengan latar belakang dan kematangan DAP dengan senario politik semasa dan antarabangsa, DAP diyakini lebih mudah menerima kenyataan Anwar ini setelah dijelaskan dalam konteks yang sebenarnya.

Setelah semua permasalahan ini diselesaikan, penulis harap Majlis Syura Ulama dapat ‘melonggarkan’ sedikit ego masing-masing dan memohon maaf kepada Anwar dengan seberapa segera.

Kita perlu menghantar mesej yang betul kepada rakyat bahawa perbalahan ini adalah semata-mata timbul kerana kurang kefahaman akan isu yang dibincangkan, bukan kerana mahu mencetuskan perbalahan.

6 comments:

  1. Pembangkang perlulah menyelesaikan salah faham ini antara mereka sendiri.

    ReplyDelete
  2. Nik Aziz terima juga penjelasan tersebut akhirnya.

    ReplyDelete
  3. kalau betul Nik Aziz diberikan maklumat yang salah, bermakna WSJ telah memfitnah Anwar.. kenapa Anwar tidak saman saja WSJ??

    ReplyDelete
  4. Nik Aziz terpaksa menipu diri sendiri semata-mata politik. Jika Nik Aziz seperti dulu subah pasti Nik Aziz akan memaki Anwar tapi sekarang lain.

    ReplyDelete
  5. Kita perlu menghantar mesej yang betul kepada rakyat bahawa perbalahan ini adalah semata-mata timbul kerana kurang kefahaman akan isu yang dibincangkan, bukan kerana mahu mencetuskan perbalahan.

    Therefore, stop from being too judgmental before knowing the truth.

    ReplyDelete