Saturday, 4 February 2012

PELABURAN PPR LEBIH SELAMAT UNTUK KWSP



Oleh : MOHD FARHAN DARWIS (TMI)

DATUK Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini memberi jaminan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bernilai RM1.5 bilion tetap akan selamat walaupun badan tersebut membiayai Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu menjelaskan, nilai rumah yang dibiayai akan dicagarkan kepada KWSP dengan nilai untuk setiap rumah tersebut adalah dua kali ganda berbanding jumlah pembiayaan.

“Pelaburan tersebut adalah lebih selamat berikutan badan tersebut melabur dalam sektor hartanah yang mempunyai kestabilan dan nilai yang lebih tinggi. Selain itu, ia turut menyaksikan pulangan bersih sebanyak 5.5 peratus.

“Melalui pelaburan tersebut, KWSP akan ‘menyelam sambil minum air’ kerana selain membiayai pinjaman perumahan, mereka juga akan mendapat ganjaran di akhirat kerana membantu orang susah,” katanya ketika sidang media selepas taklimat bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersama wakil Gabungan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu pejabat DBKL di sini.

Skim Pembiayaan Khas ini telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 28 Januari lalu, yang mana skim berkenaan bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di bandaraya ini.

Sekitar 25,000 bakal pembeli telah diberikan surat tawaran oleh DBKL dan pembiayaan sepenuhnya kepada rumah yang dianggarkan bernilai antara RM21,500 kepada RM35,000 akan diberikan kepada mereka oleh KWSP.

“Setakat ini, 12,675 bakal pemilik telah bersetuju untuk menerima tawaran pembelian tersebut,” kata Nong Chik, yang juga Ketua Umno Lembah Pantai.

“Hanya mereka yang mempunyai rekod bersih baik dari pembayaran sewa mengikut jadual akan mendapat surat tawaran.”

Menurutnya lagi, skim berkenaan tidak memerlukan pembeli mengeluarkan bayaran pendahuluan dan tempoh bayaran balik selama 25 tahun juga akan memastikan mereka membuat bayaran bulanan dengan kadar yang rendah.

“Kelayakan meminjam adalah bagi umur 18 tahun ke atas dan tiada had umur maksimum sekiranya pembiayaan dibuat secara bersama.

“Selain itu, bayaran lain seperti kos guaman, bayaran pindah milik, dan insuran boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah pembiayaan,” katanya.

Antara syarat yang dikenakan kepada bakal pembeli adalah mereka dibenarkan untuk menyewakan kediaman mereka kepada hanya kepada penduduk tempatan dan warga asing dilarang sama sekali menyewa rumah berkenaan.

Bagi tujuan itu, kementeriannya telah melantik Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan Persekutuan (SPWP) bagi menguruskan projek berkenaan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan.

“DBKL turut memberi jaminan akan membeli semula rumah berkenaan terhadap pemilik yang gagal membayar hutang mereka,” tambah Nong Chik.

“Malah, DBKL juga akan mewujudkan Dana Rizab Pembelian Semula berdasarkan 20 peratus daripada hasil jualan rumah di bawah skim ini bagi memastikan ia mempunyai dana untuk membeli semula rumah berkenaan.”

Tegasnya lagi, dana tersebut juga tidak boleh digunakan untuk selain daripada tujuan itu.

Sehubungan itu, pihaknya akan mendakan satu siri jelajah bermula Mac depan bagi memberikan penjelasan terperinci berkenaan skim ini kepada bakal pembeli, dan fasa pertama kumpulan pembeli dijangka bulan Mei ini.

DAP melabelkan skim berkenaan sebagai penyalahgunaan wang awam bagi tujuan politik.

Dalam jawapan balasnya, Nong Chik menegaskan, pihaknya hanya berusaha membantu golongan susah dan berpendapatan rendah memiliki rumah.

“Saya sudah bersama golongan ini sejak 25 tahun lepas, saya faham masalah mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment