Monday, 20 February 2012

PEMBANGKANG SEMAKIN BERCELARU



POTONG.....Azizah memotong riben ketika merasmikan rumah PBR di Kg Lajau Beaufort sambil diperhatikan pemiliknya, Sinin.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

RAKYAT di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Klias masih berdiri teguh dan akan terus menyokong Kerajaan Barisan (BN) untuk mentadbir negara ini, kata Ahi Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Katanya, beliau menaruh keyakinan bahawa rakyat masih memerlukan satu kerajaan yang baik bagi memastikan kebajikan mereka akan terus terbela dan program pembangunan akan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Azizah yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata demikian pada majlis kenduri sempena perasmian sebuah rumah penduduk yang dibina di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di Kampung Lajau, Beaufort, malam kelmarin.

Berucap pada majlis yang dihadiri kira-kira 700 penduduk itu, Azizah meminta rakyat tidak terpengaruh dengan janji dan omong kosong pihak pembangkang.

“Kerajaan BN telah dan akan terus melaksanakan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, BN tidak suka menabur janji seperti pihak pembangkang. Rakyat boleh melihat dan menilai sendiri apa yang pembangkang boleh buat untuk rakyat,” katanya.

Menyentuh mengenai Dun Klias yang dikatakan sebagai kawasan panas, Azizah menyifatkan pihak pembangkang kini semakin bercelaru kerana kehabisan isu.

“Seperti kita sedia maklum bahawa di Beaufort ini banyak bendera parti-parti pembangkang dinaikkan. Fikiran mereka yang terlibat sebenarnya sudah bercelaru. Apa yang mereka lakukan adalah mempunyai agenda tersembunyi dan jauh sekali untuk membela rakyat.

"Justeru rakyat tidak harus terkeliru. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan lebih bijak untuk menilai antara intan dan kaca untuk menentukan masa depan generasi kita yang akan datang,” katanya bersemangat disusuli tepukan dari penduduk yang hadir.

Pada majlis yang diserikan dengan persembahan nyanyian yang diiringi dengan kugiran gambus itu pemilik rumah, Sinin mengucapkan sangat berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan BN yang menurutnya, sebuah kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab.

“BN sebuah kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyatnya dan saya akan tetap menyokong kerajaan yang telah lama berjasa kepada rakyatnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment