Oleh : AZMAN ARIFFIN
PENULIS tidak berhajat mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Disiplin DAP membebaskan Ahli Parlimen Taiping merangkap ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming dari dakwaan menyalahgunakan kuasa sebagai Exco Kerajaan Negeri untuk mempengaruhi proses tender Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 2008.
Dalam kes tersebut, sebuah syarikat di mana isteri Nga mempunyai kepentingan langsung telah dianugerahkan kontrak membekalkan ‘Lounge Suit’ oleh Majlis Bandaraya Ipoh, walaupun sebutharganya lebih tinggi daripada penender yang lain.
Cuma yang menarik minat penulis ialah ulasan jawatankuasa disiplin DAP (yang turut dianggotai seorang wakil dari PAS) seperti dinyatakan di bawah:-
“Tidak timbul Isu penyalahgunaan kuasa oleh Nga. Status Nga sebagai ADUN dan anggota exco tidak menghalang isterinya daripada menjadi rakan kongsi syarikat. Selain itu, Nga tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam syarikat tersebut. Hanya akan terdapat konflik kepentingan jika Nga menggunakan kedudukan untuk mempengaruhi keputusan lembaga tender.”
(Petikan MalaysiaKini)
Jika dihalusi, kes membabitkan Nga ini sebenarnya mirip dengan situasi sama yang sedang menjadi isu nasional sekarang iaitu NFC.
Walaupun punya latar belakang berbeza, baik dari segi fakta kes dan jumlah wang yang terlibat, tetapi dari segi prinsipnya, kedua-dua kes ini mempunyai persamaan yang nyata.
Jika dalam kes Nga, isterinya mempunyai kepentingan, dalam kes NFC pula suami Shahrizat mempunyai kepentingan. Jika dalam kes Nga, beliau dikatakan tidak mempengaruhi keputusan lembaga tender, manakala Shahrizat juga tidak terlibat dalam jawatankuasa yang meluluskan pinjaman RM 250 juta kepada syarikat suaminya (setakat dibuktikan sekarang).
Tapi diakhirnya, rakyat melihat DAP membebaskan Nga tapi dalam masa yang sama, mendesak Shahrizat meletakkan jawatan.
Penulis ingin bertanya, apa modal DAP untuk mempertahankan diri jika UMNO mengambil keputusan tidak mengambil tindakan ke atas Shahrizat dalam isu NFC nanti, menggunakan alasan yang sama seperti dalam kes membabitkan Nga?
Tidakkah situasi ini menggambarkan DAP sebagai sebuah parti yang hipokrit dan tidak punya intergriti? Tidak setakat itu, DAP turut menyeret PAS sekali kerana salah seorang Ahli Jawatankuasa Disiplin tersebut adalah dari PAS.
Bukan rahsia Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham adalah dua orang bersaudara yang menjadi tulang belakang DAP Perak. Walaupun disebut sebagai panel bebas, persepsi masyarakat ialah wujudnya tangan-tangan halus yang mempengaruhi kes Nga ini.
Kita tidak bercakap tentang konsep perundangan ala-ala mahkamah yang menggunakan standard ‘Beyond Reasonable Doubt’ yang amat tinggi; tetapi yang kita hadapi sekarang ialah persepsi masyarakat yang jauh lebih longgar dari itu. Keutamaannya sekarang ialah persepsi rakyat kerana yang bakal mengundi ialah rakyat, bukan mahkamah.
Sekarang pun, suara-suara yang mempertikaikan kredibiliti DAP dalam hal ini sudah kuat kedengaran dan penulis percaya ia adalah diperingkat awal. Pada hemat penulis, Nga tidak punya nilai sesen pun, yang lebih utama ialah kejayaan Pakatan Rakyat merampas kembali Perak dari BN.
Penulis tidak nampak bagaimana keputusan sedemikian boleh membantu Pakatan Rakyat menjayakan usaha itu.
No comments:
Post a Comment