Monday, 20 February 2012

TENDER SARANG BURUNG 'OLOK-OLOK'?


Oleh : SHAIMON S JUMADI

KETUA Pewaris Sarang Burung Gua Gomantong, Pengiran Ismail Pengiran Abdul Hamid mendakwa bahawa Jabatan Hidupan Liar Sabah telah melakukan penyelewengan dan sabotaj terhadap para penender lainnya, di samping menggunakan kuasa 'veto' untuk meluluskan kepada kroni mereka.

"Sebagai Ketua Pewaris, saya ingin meminta penjelasan dengan terperinci daripada Jabatan Hidupan Liar berhubung Skandal Tender Sarang Burung setelah lebih 80 peratus penender mengadu kepada saya bahawa tender hanya olok-olok sahaja kerana penender sudah dipilih lebih awal," Kata Pg Ismail dengan nada kesal.

Pg Ismail mendedahkan perkara ini kepada Sabahkini.Net semalam kerana tidak rasa berpuas hati dengan sikap Jabatan Hidupan Liar yang langsung tidak memberi peluang kepada penender-penender lain untuk sama-sama mendapatkan sarang burung di Gua tersebut.

“Kami difahamkan dengan jelas bahawa ada pihak yang membuat dakwaan palsu kononnya Ketua Menteri Sabah telah meluluskan tender berkenaan kepada Ketua Pemuda UMNO Negeri bagi lubang 1,3,5 dan 7," kata Pg Ismail yang mengatakan bahawa inilah senario yang menyebabkan rakyat marah kerana ada pihak mencipta 'arahan palsu' untuk kepentingan diri.

Tegas Pg Ismail, jika benar Ketua Menteri Sabah memberikan arahan sedemikian, maka tidak guna lagi sarang burung ini ditender; sebaliknya kerajaan Negeri Sabah hanya melantik syarikat konsesi untuk memungut sarang dan membangunkan prasarana Gomantong.

“Sebagai pewaris Gua Gumantong, kami akur dengan sebarang keputusan Kerajaan Negeri sehingga ke hari ini; malahan menyahut seruan Perdana Menteri mengenai Konsep 1Malaysia; malangnya pada hari ini timbul rasa tidak puas hati di atas Sistem Tender Jabatan Hidupan Liar yang memberikan harapan palsu kepada kami," ujar Pg Ismail yang mengakui terpaksa menghebahkan isu ini kepada pengetahuan Kerajaan Negeri Sabah.

Sehubungan itu, kata Pg Ismail, beliau yang mewakili keluarga pewaris Sarang Burung Gua Gumantong meminta pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terperinci kerana percaya wujud penyelewengan dan amalan rasuah berlaku di kalangan pegawai-pegawai Hidupan Liar terbabit.

“Satu lagi pesanan saya, sekiranya rayuan kami tidak juga dihiraukan kami terpaksa memilih jalan pintas untuk mengadakan demonstrasi yang membabitkan lebih 300 orang keluarga perawis di hadapan kediaman rasmi Ketua Menteri di Kampung Sungei Kayu kerana Setiausaha Politiknya enggan melayan aduan kami," kata Pg Ismail sebagai peringatan.

No comments:

Post a Comment