MENTERI Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, wanita Malaysia adalah bertuah kerana tidak berdepan dengan diskriminasi dan penderaan seperti yang berlaku kepada seorang wanita Afghanistan yang didera sehingga hidung dan telinganya dipotong oleh suaminya.
Merujuk kepada potret Bibi Aisha yang mendapat Anugerah Foto Media Terbaik Dunia 2010, katanya hak asasi wanita Malaysia dilindungi sepenuhnya.
"Tetapi masih ada ramai wanita dan kanak-kanak yang hidup dalam keadaan seperti itu. Jadi masyarakat seluruh dunia hari ini perlu memainkan peranan bagi memastikan dunia ini bertambah lebih baik," kata Dr Ng selepas merasmikan pameran Foto Media Terbaik Dunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.
Membuat perbandingan dengan pameran sama tahun lepas, katanya pameran tahun ini lebih menarik dengan 177 foto yang memenangi anugerah.
Pameran foto bergerak yang menampilkan karya yang dirakamkan oleh lebih 55 jurufoto dari lebih 23 negara itu dianjurkan oleh Kedutaan Belanda di Malaysia dan ditaja oleh TNT Express Malaysia, sebuah syarikat penghantaran cepat.
Pameran itu akan berlangsung di sini sehingga 12 Feb ini sebelum berpindah ke Melaka, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.
Potret Bibi Aisha dirakamkan jurufoto dari Afrika Selatan, Jodi Bieber.
Imej potret foto wanita yang berasal dari Kabul, Afghanistan didera suami pejuang Taliban sehingga hidung dan telinganya dipotong sebagai hukuman kerana cuba melarikan diri. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment