Wednesday, 3 October 2012

DISKAUN 50% TIDAK SELESAI MASALAH DI LABUAN?



           
Saudara Pengarang,                     

DARI AWAL tahun hingga ke penghujung tahun, ada sahaja harga barangan keperluan harian yang naik. Bagi mereka yang berpendapatan lumayan, kenaikan ini mungkin tidak begitu dirasa; tetapi malang bagi majoriti rakyat Labuan yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sehingga mereka terpaksa 'mengikat perut' untuk meneruskan kelangsungan hidup di 'Pulau Bebas Cukai' ini.

Secara umumnya impak kenaikan tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan  akan menaikkan harga barangan kerana peningkatan kos akan disalurkan secara langsung kepada pengguna melalui harga barangan.

Dengan kata lain kenaikan harga barangan merupakan suatu implikasi yang pasti terhadap kenaikan kos pengangkutan/tambang feri.

Berbeza halnya dari segi impak terhadap penurunan tambang feri yang mungkin disebabkan oleh diskaun yang diberikan. Secara logiknya, Penjimatan kos yang dinikmati oleh pengusaha lori maupun pembekal atau peruncit melalui kos pengangkutan tidak akan menjamin penurunan harga barangan di Labuan kerana keuntungan yang diperolehi oleh pihak terbabit tidak semestinya akan turut disalurkan secara langsung kepada  pengguna melalui penurunan harga barangan.
      
Apakah langkah memberikan diskaun 50% tambang feri untuk kenderaan komersial dapat dilihat sebagai solusi terbaik dalam menangani masalah barangan yang mahal di Labuan berbanding jika kerajaan memutuskan untuk menyalurkan subsidi secara langsung ke atas beberapa barang keperluan asas yang mahal di Labuan?

Perbelanjaan  kerajaan untuk menampung 'Diskaun 50%' tambang feri untuk kenderaan komersial sepatutnya disalurkan kepada “subsidi barangan keperluan asas” yang lebih mahal sehingga 20% hingga 30% di Labuan berbanding Tanah Besar  secara langsung Jika kerajaan ikhlas dalam usaha mereka untuk memenuhi janji untuk mengurangkan beban kos sara hidup ke atas pengguna di Labuan.

Langkah ini seharusnya dilihat lebih menjamin keberkesanannya dalam membantu setiap lapisan masyarakat di Labuan dan sejajar dengan apa yang terkandung dalam Memorandum PKR Labuan bertarikh 13 Mac 2012 yang diserahkan kepada Pejabat Ahli Parlimen dan juga Pejabat Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Labuan.
http://pkrlabuan.wordpress.com/2012/03/27/memorandum-mengenai-isu-kenaikan-harga-barang-di-labuan/

“Subsidi  sepatutnya diberikan oleh kerajaan  untuk mengurangkan masalah penduduk Labuan  yang semakin tertekan  akibat kenaikan harga barang keperluan asas. Penyelesaian jangka pendek ini  harus dilihat sebagai satu tanggungjawab dan bukannya bebanan kepada kerajaan”.

Berikut ialah Teks asal ucapan Belanjawan 2013 yang dibentangkan baru baru ini:

"142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan."

Salam Hormat,

PKR LABUAN

No comments:

Post a Comment